LATEST INFO KES LINA JOY

Nukilan Khairul Faizi bin Ahmad Kamil | 5/30/2007 12:55:00 PM | 1 Pandangan »

Harakahdaily Wed May 30, 07 11:44:11 AM

Terkini! PUTRAJAYA, 30 Mei (Hrkh) - Akhirnya, keputusan yang dinanti-nanti umat Islam tercapai apabila majoriti hakim 2:1 menolak permohonan Azlina Jailani untuk membuang status agamanya daripada kad pengenalan beliau.

Ketua Hakim Negara, Tun Ahmad Fairuz Sheikh Abdul Halim bersama seorang lagi hakim Dato' Alauddin Dato' Mohd Sheriff mengetepikan permohonan Azlina, yang lebih popular dengan nama Lina Joy, manakala seorang lagi hakim, Hakim Besar Sabah dan Sarawak Dato' Richard Malanjun membenarkan permohonan tersebut.

Keputusan yang ditunggu-tunggu itu disambut dengan gemuruh takbir oleh lebih 500 umat Islam yang hadir sejak awal pagi di perkarangan Mahkamah Persekutuan, dekat sini.

Walaupun permohonan Lina Joy seolah-olah tiada kaitan dengan isu menukar agama tetapi implikasi sebenarnya adalah berkaitan hal murtad, yang begitu sensitif kepada umat Islam.

AKTIVITI PADA 27 MEI 2007

Nukilan Khairul Faizi bin Ahmad Kamil | 5/30/2007 12:16:00 PM | 0 Pandangan »


Sepanjang hari Ahad yang lalu (27 Mei 2007) ada beberapa buah program yang berlangsung dalam diari aktiviti saya.


Pukul 10 pagi saya merasmikan Kejohanan Sepak Takraw Tertutup Johor anjuran Dewan Pemuda PAS Kawasan Segamat. Kejohanan telah diadakan di Gelanggang Sepak Takraw di Bandar Segamat.

Pukul 12.30 hari, saya menghadiri Seminar Aku Insan Cemerlang anjuran Yayasan Amal Malaysia Cawangan Johor di Simpang Renggam.



Ditempat yang sama, program menderma darah turut diadakan dengan kerjasama Klinik C'Sara dan Hospital Daerah Segamat, hampir 30 orang telah hadir untuk memberikan sumbangan darah mereka.

Selepas itu saya terus bergegas balik ke rumah bonda saya kerana hari ini adalah hari berlangsungnya majlis perkahwinan adik-adik saya (Khairul Dzarif & Khairul Azhar). Alhamdulillah, sampai di rumah pada pukul 2 petang dan terus menjalankan tugas sebagai abang yang paling sulung (nasib baik bondaku memahami tugas ku sebagai khadam kepada perjuangan).
Pukul 5 petang, isteri tersayang menghantar saya ke perhentian bas untuk menaiki bas ekspress ke Kuala Lumpur dan seterusnya sampai ke Pulau Pinang.

Harap maaf kerana terlewat untuk siarkan beberapa aktiviti yang berlaku kerana kesuntukan masa.


Sorry ye...

RUNTUH LAGI!!!

Nukilan Khairul Faizi bin Ahmad Kamil | 5/29/2007 08:51:00 PM | 0 Pandangan »


Ketua Pemuda PAS Pulai sedang menunjukkan runtuhan bumbung makmal komputer yang berlaku baru-baru ini di kawasan Pulai malangnya tidak mendapat liputan dalam media massa. Sila klik http://www.pemudapaspulai.blogspot.com/ untuk mendapat maklumat lebih lanjut.

Nukilan Khairul Faizi bin Ahmad Kamil | 5/29/2007 01:00:00 PM | 0 Pandangan »


PENGUMUMAN PENTING!!!

Nukilan Khairul Faizi bin Ahmad Kamil | 5/29/2007 12:45:00 PM | 0 Pandangan »

MENJELANG KEPUTUSAN MAHKAMAH PERSEKUTUAN
TERHADAP KES MURTAD LINA JOY
TARIKH: RABU 30 MEI 2007
------------------------------------------------------
Menjelang keputusan Mahkamah Persekutuan Putrajaya ke atas kes Azlina Jailani (Lina Joy) yang bakal diumumkan pada hari Rabu, 30 Mei 2007 ini, Front Bertindak Anti Murtad (FORKAD) & Pertubuhan-Pertubuhan Pembela Islam (PEMBELA) menyeru & menggesa seluruh Ummat Islam yang prihatin khususnya terhadap isu 'aqidah ini untuk bersama;


1. Melakukan Solat Hajat di Seluruh Negara Pada Malam Ini;


Seruan untuk seluruh Ummat Islam di Malaysia & seluruh dunia amnya, diminta untuk bersama mengerjakan Solat Hajat secara berjamaah selepas Solah Isyak di seluruh masjid-masjid dan surau-surau di seluruh negara pada malam ini, Selasa 29 Mei 2007. Solah Hajat ini dikhususkan agar keputusan Mahkamah Persekutuan pada hari Rabu 30 Mei 2007 ke atas kes Azlina Jailani (Lina Joy) memihak kepada Islam, dan memastikan Islam akan terus dibela sepanjang masa.

FORKAD & PEMBELA menggesa dan meminta agar semua Ummat Islam & pihak yang prihatin tentang isu ini untuk menyebarkan mesej ini & menggerakkan majlis Solat Hajat ini di tempat masing-masing.


2. Berkumpul Di Hadapan Mahkamah Persekutuan Rabu 30 Mei 2007;

Seluruh Ummat Islam yang prihatin diminta untuk berkumpul di hadapan Mahkamah Persekutuan Putrajaya, pada hari Rabu 30 Mei 2007, 8.00 pagi, bagi menyatakan sokongan & pendirian tegas terhadap apa jua keputusan yang bakal diputuskan agar berpihak kepada Islam, dan tiada penghinaan boleh dilakukan oleh mana-mana pihak.

Perhimpunan ini bagi menzahirkan keprihatinan kita terhadap masa depan Islam di negara kita khususnya, terutamanya terhadap pembelaan 'aqidah Ummat Islam. Ia tidak bertujuan menimbulkan provokasi & permusuhan dengan mana-mana pihak, jauh sama sekali mencetuskan suasana ketegangan. Sebarang silap-laku di pihak umat Islam yang hadir akan digunakan untuk memburukkan imej Islam dan Ummat Islam di Malaysia. Juga tidak mustahil bahawa ada pihak-pihak tertentu yang akan cuba mencetuskan ketegangan tersebut untuk menjatuhkan imej Islam.

Keputusan ini sebenarnya adalah keputusan yang amat dinantikan oleh media antarabangsa dengan pelbagai liputan media antarangsa akan berkumpul pada tarikh tersebut, khususnya daripada negara-negara yang menaja ke arah keruntuhan aqidah Ummat Islam tersebut, dan membiayai sokongan ke atas kes Lina Joy ini.


Peringatan untuk seluruh Ummat Islam yang hadir untuk;

a. Mengambil tempat dengan dan menunggu dalam keadaan duduk. Sangat digalakkan berada dalam keadaan berwudhuk dan mengisi waktu dengan munajat dan dzikrullah.

b. Pimpinan utama organisasi dan peguam berkaitan perlu diberikan keutamaan untuk masuk ke ruang dalam Mahkamah Persekutuan.

c. Seluruh Ummat Islam yang tidak memasuki kamar perbicaraan diminta berkumpul di luar perkarangan Mahkamah Persekutuan.

d. Dilarang meninggikan suara, mencerca atau melakukan perbuatan provokasi. Perhimpunan ini adalah perhimpunan Ummat Islam secara aman demi menyatakan ketegasan kita sebagai pembela aqidah Islam. Perhimpunan ini hanyalah salah satu cara kita untuk menyampaikan mesej kita terhadap semua pihak agar jangan sesekali menghina maruah & 'aqidah Islam. Tindakan susulan akan dilakukan kelak.

e. Laporan & arahan secara terus & selari mengenai keadaan di dalam Mahkamah akan diberikan dari masa ke semasa, dan sebarang arahan akan dibuat secara berpusat dari FORKAD & PEMBELA. Sila patuhi arahan langsung tanpa melakukan sebarang tindakan secara individu.

f. Pastikan keadaan berkumpul secara terkawal & aman, dan berikan kerjasama kepada pihak berkuasa & pengawal.



Larutan kanta lekap ditarik balik serta-merta (The STAR Online)
28-05-2007 03:29:58 PM

PETALING JAYA: Pengguna kanta lekap yang memakai larutan Advanced Medical Optics' (AMO) Complete MoisturePlus harus berhenti menggunakannya serta-merta.

AMO berkata ia dengan sukarela menarik balik produk itu dari pasaran walaupun, menurutnya, tidak terdapat bukti wujud pencemaran pada produk tersebut. "Langkah ini tidak memberi kesan kepada produk lain jagaan kanta lekap AMO, termasuk larutan nyahjangkitan hidrogen peroksida."

DPPNJ AKAN MEMBAWA ISU WILAYAH PEMBANGUNAN ISKANDAR (WPI) KE MUKTAMAR DPP PUSAT

Nukilan Khairul Faizi bin Ahmad Kamil | 5/28/2007 08:42:00 PM | 0 Pandangan »

Dewan Pemuda PAS Negeri Johor (DPPNJ) telah bersetuju untuk membawa Isu Wilayah Pembangunan Iskandar (WPI) dalam perbahasan Ucaptema Ketua DPP Pusat yang akan berlangsung pada 30~31 Mei 2007 nanti.
Isu WPI perlu diberikan perhatian yang cukup serius oleh semua pihak kerana ia melibatkan masa depan dan kedaulatan negara khususnya negeri Johor yang pastinya akan menerima akibat buruk daripada tangan-tangan pemimpin yang terlalu dangkal jangkauan pemikiran mereka.
Insya Allah, ucapan tersebut akan disiarkan dalam blog ini dan blog DPPNJ nanti.

ISU BAHASA INGGERIS DALAM MATEMATIK DAN SAINS

Nukilan Khairul Faizi bin Ahmad Kamil | 5/28/2007 08:24:00 PM | 0 Pandangan »

Coretan ini saya petik daripada harakahdaily.net

Tolonglah timbulkan balik isu bahasa Inggeris
Bapa Malang Wed May 23, 07 10:47:42 PM

Saya perhatikan isu pengajaran sains dan matematik dalam bahasa Inggeris tidak lagi menjadi fokus masyarakat, seolah-olah masalah yang timbul daripadanya sudah dianggap selesai.

Walhal krisis yang besar itu belum pun ditangani. Anak-anak Melayu yang sedia lemah dalam dua subjek penting itu kian ketinggalan. Lebih malang, khususnya dalam pelajaran sains, yang lebih memerlukan kemahiran berbahasa Inggeris, ibu bapa pun tak boleh menolong anak-anak belajar. Ini kerana mereka sendiri buta bahasa Inggeris.
-----------------------------------
Khairul Faizi : Dalam timbunan tugas yang tersusun layu di atas meja, terkadang kita terabai terhadap isu yang sepatutnya kita perjuangkan.
Isu kenaikan harga barang, isu murtad, isu penindasan rakyat dan pelbagai isu-isu yang perlu kita garap dan terjemahkan kepada masyarakat perlu kita tangani tetapi seringkali kita mengabaikan isu yang sebenarnya penting untuk masa depan kita dan keluarga kita iaitu isu Matematik dan Sains dalam Bahasa Inggeris.
Pernah satu ketika, ada seseorang menghantar SMS kepada saya yang mengkritik saya kerana berpadangan terkebelakang kerana tidak bersetuju dengan Etems. Bagi saya, itu pandangan masing-masing sedangkan apabila tol dinaikkan pun ada yang SANGAT SETUJU!. Itulah minda rakyat Malaysia.
Berbalik kepada isu Etems ini, saya akan cuba bangkitkan dalam muktamar Dewan Pemuda PAS Pusat pada 30~31 Mei 2007 yang akan datang melalui wakil DPPNJ iaitu Ustaz Mohd Azam Bin Abd Razak yang akan menjadi jurubicara kami.
Diharapkan, isu ini akan diketengahkan kembali.

BUKAN MUDAH MENIGGALKAN DUNIA BLOGGER WALAUPUN SEMENTARA

Nukilan Khairul Faizi bin Ahmad Kamil | 5/28/2007 08:11:00 PM | 1 Pandangan »

Assalamu'alaikum dan salam perjuangan,
Berada jauh di Pulau Mutiara untuk tempoh 5 hari ini agak membosankan sebenarnya. Sudahlah jauh daripada keluarga tercinta, teman-teman dan sahabat seperjuangan tetapi yang paling utama adalah kekangan yang menghimpit diri untuk terus berada di persada politik negara.
Terlalu banyak masa (walaupun 5 hari) yang terpaksa diisi sepanjang hari bagi memenuhi syarat untuk mendaftar sebagai seorang pelajar. Walaupun telah lama meninggalkan alam sebagai seorang pelajar tetapi segala keperitan dan titik bengik perlu ditolak ketepi, malah terus dilontarkan sahaja ke laut Cina Selatan supaya tiada halangan yang akan timbul selepas ini.
Semangat untuk belajar kembali sebenarnya telah lama tersemat tetapi hasrat tersebut terpaksa dipendamkan, bukannya mengalah pada desakan zaman tetapi mencatur masa yang sesuai.
Harapan saya, pengajian ini mesti diselesaikan dalam tempoh yang ditetapkan. Setiap sumbangan ahli PAS untuk membiayai saya sepanjang pengajian ini perlu saya tunaikan hak mereka.
Apapun, doakan saya akan terus bersemangat!!!
Khairul Faizi Ahmad Kamil
Pulau Pinang
28 Mei 2007, 8.21 malam

SEKITAR SUKAN PASTI JOHOR 2007 - KOLEKSI 2

Nukilan Khairul Faizi bin Ahmad Kamil | 5/24/2007 05:20:00 AM | 1 Pandangan »

SEKITAR SUKAN PASTI JOHOR 2007 - KOLEKSI 1

Nukilan Khairul Faizi bin Ahmad Kamil | 5/24/2007 05:11:00 AM | 0 Pandangan »

SUKAN PASTI JOHOR MERIAH

Nukilan Khairul Faizi bin Ahmad Kamil | 5/23/2007 10:01:00 AM | 0 Pandangan »


Saya berbangga dan bersyukur kerana PASTI Johor semakin berkembang dan semakin pro-aktif dalam menjalankan amanah mereka. Sukan PASTI yang diadakan pada hari Ahad yang lalu telah diadakan dengan gemilang. Laporan lanjut akan disiarkan dalam blog DPPNJ dalam masa terdekat nanti.

Syabas PASTI Johor!!!

APABILA KEHADIRAN PAS TELAH DIRASAI

Nukilan Khairul Faizi bin Ahmad Kamil | 5/23/2007 09:42:00 AM | 0 Pandangan »


Mungkin inilah yang dikatakan "Antara Dua Darjat". Papan tanda PAS Cawangan Taman Megah Ria telah diconteng sedangkan papan tanda disebelahnya masih 'suci' lagi. Tindakan ini sudah tentu dilakukan oleh mereka yang tak berhati perut dan busuk hati dengan PAS yang semakin diterima oleh rakyat.

Saya dimaklumkan bahawa banyak lagi papan tanda PAS di sekitar Pasir Gudang telah dilakukan sebegitu rupa.

Nampaknya, kehadiran PAS di Johor semakin dirasai. Bukan sekadar sebagai sebuah parti pembangkang tetapi parti yang mampu membela nasib rakyat. PAS Kawasan Pasir Gudang & Pemuda PAS Kawasan Pasir Gudang memang terkehadapan dalam isu kebajikan rakyat sama ada sebelum ataupun selepas banjir besar yang lalu.

Anggaplah semua ini sebagai pemangkin kepada gerakerja kita. Biarkanlah papan tanda tersebut disitu. Semoga rakyat setempat akan dapat melihat kerja buat mereka yang irihati dengan perkembangan PAS.

Teruskan perjuangan sahabat-sahabatku!!!

PILIHANRAYA DAH DEKAT DAH!!!

Nukilan Khairul Faizi bin Ahmad Kamil | 5/23/2007 09:11:00 AM | 0 Pandangan »

Bukan gaji pilihan raya – Abdullah (Utusan - Muka Depan)

Oleh Aznan Bakar

TOKYO 22 Mei – Perdana Menteri, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi berkata, kenaikan gaji kakitangan awam yang diumumkan semalam tidak ada kaitan dengan pilihan raya umum.

Menurut beliau, kerajaan telah lama menimbangkan permintaan untuk menaikkan gaji kakitangan awam tetapi tidak dapat membuat keputusan sebelum ini kerana ketika itu kerajaan tidak mempunyai kemampuan kewangan.

“Apa yang kita buat untuk sektor awam adalah sesuatu yang mereka perlukan. Dulu bila mereka minta, kita tidak ada duit nak beri. Sekarang kita mampu, maka kita berilah. Buat apa nak tunggu lagi,” kata Abdullah pada sidang akhbar dengan wartawan Malaysia di sini hari ini.

----------------------------------------------
Khairul Faizi : Ye la tu Pak Lah, secara rasminya cakap macam tu. Kakitangan awam naik gaji, pesara pencen yang dah tak berkhidmat pun dapat naik gaji dan pekerja swasta pun disarankan supaya naikkan gaji (jika mampu).

Sekarang Malaysia dah mampu (kononnya) nak naikkan gaji kakitangan awam. Bila gaji dah naik agaknya harapan kerajaan UMNO BN selepas ni dah tak dengar dah bantahan rakyat bila harga tol naik tahun depan dan segala bentuk cukai yang naik.

Kesan kenaikan gaji ni bukan dapat dilihat dalam masa yang terdekat ni. Tunggulah...bila harga barangan sudah melonjak nanti, pasti ramai yang akan mengeluh.

TAHNIAH MARINA AHMAD!!!

Nukilan Khairul Faizi bin Ahmad Kamil | 5/23/2007 07:46:00 AM | 1 Pandangan »


Tahniah kepada Marina Ahmad kerana berjaya menjadi wanita pertama Malaysia menjejakkan kaki ke puncak Gunung Everest.

Paling menarik yang saya ingin catatkan di sini sebenarnya peranan ibubapa Marina yang meletakkan harapan dan pergantungan kepada Allah untuk memastikan keselamatan anaknya.

"Kami tidak putus-putus berdoa dan mengerjakan sembahyang hajat bagi kesejahteraan dan kejayaan misi anak mereka," kata ibu bapa wanita pertama negara yang berjaya menakluk puncak tertinggi dunia, Gunung Everest, Marina Ahmad.

Saya tidak pasti, adakah Marina Ahmad juga merupakan wanita Islam pertama sampai ke puncak gunung Everest?

SMS DARI GURU PASTI

Nukilan Khairul Faizi bin Ahmad Kamil | 5/22/2007 01:13:00 PM | 0 Pandangan »

Saya menerima beberapa SMS dan email daripada pelbagai pihak yang memberikan pandangan terhadap tulisan saya bertajuk "Guru PASTI : Pengorbanan Guru Kelas Pertama" yang tersiar di dalam blog ini dan beberapa laman web yang lain. Tulisan ini juga telah disiarkan di dalam akhbar Mingguan Wasilah.


Saya ingin berkongsi dua SMS yang dihantar kepada saya pagi tadi.

SMS 1

Terima kasih kerana memberikan kepercayaan kepada kami guru PASTI untuk mendidik generasi muda yang akan membawa obor Islam

- Cikgu Abadah Salleh (Guru Cemerlang PASTI Pusat 2006)

SMS 2

Terima kasih atas ucapan hari guru untuk guru PASTI dalam Mingguan Wasilah. Sebenarnya, rezeki yang Allah berikan bukan dari gaji di PASTI tapi Allah salurkan melalui suami dan lain-lain. Yang penting adalah keikhlasan, redha, ketenangan dan nikmat yang tidak dapat digambarkan dengan kata-kata.

Maksu korbankan nyawa dan seluruh kehidupan untuk jamaah. Pesan Maksu kepada anak-anak, mak tidak mahu anak-anak mengejar pangkat dan harta tapi jadilah petugas kepada perjuangan Islam sepanjang hayat. Allah sudah menjanjikan rezeki kepada pejuang agamaNya.

Pengalaman Maksu yang terlalu mahal dalam PASTI. Doakan Maksu terus istiqamah dalam perjuangan ini. Niat hanya untuk Mati di Jalan Allah. Moga diampun dosa ibubapa dan suami tercinta.

- Maksu Liza (PASTI Kedah)

TERUSKAN PERJUANGAN WAHAI TEMAN-TEMANKU

Nukilan Khairul Faizi bin Ahmad Kamil | 5/22/2007 10:01:00 AM | 0 Pandangan »

Apabila Perdana Menteri Malaysia mengistiharkan kenaikan gaji kakitangan awam dan Elaun Kos Sara Hidup (Cola) pada majlis perhimpunan Hari Pekerja Sektor Awam 2007 di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya semalam, ada teman yang menghantar SMS dengan nada yang kurang bersemangat dengan menyatakan bahawa pastinya perjuangan kita akan lebih perit selepas ini. Katanya, kakitangan awam telah berjaya dibeli oleh kerajaan UMNO/BN yang sudah tentu menggunakan peluang ini untuk melembutkan hati mereka untuk terus memberikan sokongan.

Ada juga teman-teman yang semacam mahu menyerahkan kepada takdir dalam menghadapi pilihanraya umum yang akan datang. Seolah-olahnya dunia sudah kiamat apabila anugerah itu dilihat sebagai ‘pukulan maut’ kepada PAS/BA.

Sebagai anak muda yang masih mentah dalam medan perjuangan ini, saya menasihatkan kepada teman-teman seangkatan agar jangan mudah mengalah dan mengaku kalah. Ini bukan sifat orang beriman dan sifat sebagai pejuang Islam.

Dalam perjuangan ini, kita diajar untuk tidak mudah mengalah. Apalah nak dibandingkan dengan cabaran, dugaan dan ujian yang kita lalui jika kita ingin bandingkan dengan junjungan besar kita Nabi Muhamad S.A.W, para sahabat-sahabat dan para perjuang yang terdahulu.

Firman Allah dengan maksudNya;

“Kalau apa yang kamu (Muhamad) serukan kepada mereka itu satu keuntungan yang mudah diperolehi dan perjalanan yang sederhana jauhnya patinya mereka akan mengikutimu tetapi tempat yang dituju itu amat jauh terasa oleh mereka” – Surah At-Taubah : 42

Kerajaan UMNO/BN akan tetap sama walaupun tindakan mereka ini dilihat sebagai senjata yang cukup hebat untuk menghadapi pilihanraya yang akan datang. Kita mesti ingat bahawa Islam masih belum dimartabatkan malah terus dihina, dicerca dan diperlekeh oleh pimpinan UMNO./BN. Rasuah semakin membarah, gejala sosial semakin tidak terkawal, jenayah semakin membimbangkan, harga barang terus naik dan pelbagai lagi.

Ini adalah tanggungjawab kita, ini adalah amanah yang perlu kita laksanakan. Jika bukan kita yang diharapkan untuk memperjuangkan kebenaran, siapa lagi yang kita nak harapkan?.

Marilah kita perbetulkan niat dan perbaharui tekad kita.

Allahu Akbar!!!

MERCU TANDA KEGEMILANGAN PAS

Nukilan Khairul Faizi bin Ahmad Kamil | 5/22/2007 09:00:00 AM | 0 Pandangan »



Sebagai anak muda dalam Parti Islam SeMalaysia (PAS) sudah tentunya saya berbangga dengan bangunan baru PAS Pusat yang tersergam indah di tengah ibu kota Kuala Lumpur.

Semoga ia akan menjadi pemangkin kepada PAS untuk terus memperkemaskini pentadbiran secara keseluruhannya.

Paling utama, biarlah dengan kewujudan bangunan ini betul-betul dapat dirasai oleh ahli diperingkat bawahan. Walaupun mereka mungkin tidak dapat menjejakkan kaki walaupun pada anak tangga bangunan ini tetapi sekurang-kurangnya ia dapat membngkitkan semangat ahli untuk terus berjuang.

Tahniah PAS!

WPI : RAKYAT SINGAPURA SEMAKIN GHAIRAH

Nukilan Khairul Faizi bin Ahmad Kamil | 5/21/2007 07:48:00 AM | 0 Pandangan »


20/05: Iskandar Development Region in Johor Malaysia

Category: General
Posted by: Raja Petra
Radio Singapore

Coming up in this edition of Perspective, join me, Melanie Yip as I visit the Iskandar Development Region in Johor, Malaysia.

It's billed as Malaysia's "economic super corridor" and will cost some US$105 billion in investments over the next two decades. The Iskandar Development Region or IDR is the latest economic project initiated by the Malaysian government.

When completed, the 2,217 square kilometre economic zone - which is almost three times the size of Singapore - will boast facilities that will include an education hub, a medical hub, a new Johor State Administrative Center, an international destination resort, and residential buildings.

Klik http://malaysia-today.net/blog2006/newsncom.php?itemid=4777

WPI - KENAPA NAK GADAI MASA DEPAN KAMI RAKYAT JOHOR?

Nukilan Khairul Faizi bin Ahmad Kamil | 5/19/2007 02:05:00 AM | 0 Pandangan »



Terlalu banyak tulisan yang mengkritik tindakan Pak Lah @ Dolah Badawi dalam isu WPI ini. Sebagai pemimpin nombor satu negara pada ketika ini, tindakan yang dilakukan oleh Dolah Badawi sebenar cukup menjerat dan mengerat masa depan kita.


Dalam isu WPI ini, saya mengambil beberapa pandangan daripada bloggers yang secara tidak langsung menganggah tindakan Pak Lah ini yang disifatkan tidak bijak.

Dalam tulisan bekas ahli Parlimen Parit Sulong, Datuk Ruhanie Ahmad http://kuda-kepang.blogspot.com/ mepersoalkan tindakan mewujudkan sistem Smart Card (kad pintar) untuk memudahkan rakyat asing terutamanya rakyat Singapura untuk keluar masuk ke Johor sedangkan sebelum itu cadangan mewujudkan Zon Akses Bebas (ZAB) telah mendapat bantahan termasuk dari Tun Dr Mahathir.


Sang Kelembai http://sangkelembai2006.blogspot.com/ pula menulis artikel bertajuk Orang Cina Malaysia dan Pembinaan Singapura Ketiga mengolah kelemahan Pak Lah dan kerajaan UMNO/BN dalam menangani isu dengan Singapura sehingga kita terpaksa tunduk kepada mereka.


Ketua Perusuh http://ketuaperusuh.wordpress.com/ mengulas dengan lebih lanjut berkaitan dengan siapa memegang siapa yang cuba memberikan gambaran siapa yang berada dibelakang Singapura yang akan menguasai WPI.


Persoalan-persoalan ini dan saya yakin keraguan dikalangan rakyat terutamanya di Johor terhadap nasib dan masa depan mereka sudah tentunya menjadi tanda tanya yang berakar umbi di fikiran.


Sesuatu perlu dilakukan. Apakah tindakan kita ataupun lebih tepat apakah tindakan Pemuda PAS Johor terhadap isu ini?.


AZHAN ATAN KETUA PEMUDA PAS TANJUNG PIAI

Nukilan Khairul Faizi bin Ahmad Kamil | 5/18/2007 08:03:00 AM | 1 Pandangan »


Di saat UMNO sedang rancak mengumpul sokongan dari kalangan samseng dan mat rempit, PAS melakar sejarah dengan pemilihan Azhan Atan, seorang insan kurang upaya (OKU) bagi menerajui Dewan Pemuda PAS Tanjung Piai.

Kepekaan dan kepedulian PAS terhadap warga OKU haruslah menjadi contoh tauladan kepada kita. Ketika sebahagian rakyat menganggap betapa OKU ini hanyalah beban masyarakat semata-mata, Azhan membuktikan persepsi mereka itu salah dan tidak tepat.

klik http://www.adilmalaysian.blogspot.com/
---------------------------------------
Tun Adil telah menulis berkaitan dengan sahabat saya sdr Azhan Atan yang merupakan Ketua Pemuda PAS Tanjung Piai yang baru. Saya cukup terharu dengan tulisan ini.

Disebalik perlantikan sdr Azhan ini, saya ingin memberikan sedikit gambaran tentang beliau. Sdr Azhan adalah seorang pemuda yang serba boleh. Kerjaya beliau adalah sebagai seorang tukang urut refleksi, mahir dalam muzik dan mempunyai suara yang baik serta sering membuat persembahan nasyid khususnya di Johor.

Tulisan Tun Adil memberikan saya satu idea untuk menggerakkan sdr Azhan bersama-sama membela nasib OKU ini. Terima kasih Tun Adil...

RAJA DR NAZRIN SHAH SELAMAT DIIJABKABULKAN

Nukilan Khairul Faizi bin Ahmad Kamil | 5/18/2007 07:46:00 AM | 0 Pandangan »

Pasangan diraja, Raja Muda Perak, Raja Dr. Nazrin Shah dan Zara Salim Davidson selamat diijab kabul sebagai suami isteri pada satu istiadat pernikahan diraja di Istana Iskandariah, Bukit Chandan semalam.

Raja Dr Nazrin Shah memang seorang Raja Muda yang sangat saya hormati. Walaupun saya dilahirkan di Johor tetapi saya juga dibesarkan di Perak dan saudara-mara juga ramai di Perak.

Saya mula-mula 'respect' pada Raja Dr Nazrin bila saya pernah melihat beliau bermain hoki di Stadium Sultan Azlan Shah di Ipoh dan saya bersama-sama teman-teman STAR turut sama berada di situ untuk latihan hoki.

Kita tidak akan dapat membezakan anak raja dengan rakyat biasa di atas padang. Setiap kali bila bola hoki terkeluar daripada kawasan padang kerana kesilapan baginda menahan bola, bagi sendiri yang berlari mengutip bola tersebut tanpa meminta pemain lain untuk mengambilkannya.

Apapun, tahniah kepada baginda kerana mengakhiri zaman bujangnya.

SAMPAI BILA NAK MEMANTAU?

Nukilan Khairul Faizi bin Ahmad Kamil | 5/17/2007 08:03:00 AM | 1 Pandangan »


Najib arah Shafie beri penjelasan kenaikan harga barang - Utusan online

Oleh Fauzi Jaafar dan Sadatul Mahiran Rosli

KUALA LUMPUR 16 Mei – Datuk Seri Najib Tun Razak berkata, Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna akan memberi penjelasan kepada orang ramai berhubung kenaikan harga tepung gandum dan barang keperluan lain.

Timbalan Perdana Menteri berkata, walaupun perkara itu sudah dibincangkan dalam mesyuarat Kabinet tetapi menteri kementerian itu, Datuk Mohd. Shafie Apdal perlu menjelaskannya kepada rakyat.

--------------------------------------
Khairul Faizi : Terasa 'naik muak' bila setiap kali berlakunya kenaikan harga barang, pemimpin-pemimpin sibuk dengan arahan supaya memantau, memantau, memantau...rasa macam 'nak muntah' saja.

Najib arahkan Mohd Shafie, Mohd Shafie arahkan penguatkuasa dan seterusnya tapi barang terus naik harga. Roti canai akan naik 10 sen bulan depan. Kerajaan akan jawab, apa usah sangat...boikot saja roti canai ataupun beri amaran keras kepada peniaga roti canai.

Rata-rata berita dalam media cetak hari ini melahirkan rasa kebimbangan terhadap kenaikan harga tepung gandum ini tetapi pemimpin negara terus memberikan arahan "Pantau harga barang!!!"

Tadi, TV3 menyiarkan bahawa ikut perjanjian, Januari tahun depan tol akan naik lagi. Pastiya, rakyat akan menanggung bebannya.

Wahai rakyat, marilah kita buat perubahan. Cukuplah dengan 'sandiwara' pemimpin UMNO/BN selama ini...Nak sokong BN lagi ke?

PAK LAH SEMAKIN LEMAH : JOHOR SEMAKIN GOYAH

Nukilan Khairul Faizi bin Ahmad Kamil | 5/17/2007 07:29:00 AM | 0 Pandangan »

Wajah pemimpin yang berwawasan jauh...sehingga tiada penghujung

‘Kita bukan mengalah’ - Utusan Online, 17 Mei 2007

KUALA LUMPUR: Dewan Negara diberitahu penubuhan jawatankuasa khas peringkat menteri antara Malaysia dan Singapura membabitkan Wilayah Pembangunan Iskandar (WPI) di selatan Johor bukan bermakna negara ini lemah, mudah mengalah dan bertolak ansur dengan republik itu.

Setiausaha Parlimen Kementerian Luar, Ahmad Shabery Cheek, berkata dakwaan atau tanggapan Malaysia lemah tidak timbul sama sekali kerana apa yang dibuat bertujuan menarik pelabur negara jiran itu ke WPI, sama seperti usaha negara menarik pelabur lain pada peringkat antarabangsa ke wilayah berkenaan.

"Untuk membangunkan wilayah itu kita memerlukan pembabitan masyarakat antarabangsa, misalnya kita mengundang pelabur Asia Barat seperti Kuwait, Qatar serta Emiriah Arab Bersatu (UAE), yang kini kurang membawa wang mereka ke Amerika Syarikat kerana pandangan negatif terhadap Islam.

"Jadi WPI tempat yang baik, kita mahu (pelabur) seperti dari Jepun dan Australia menyertainya tetapi kita tak boleh kata Singapura tidak boleh (melabur) sedangkan Singapura juga satu potensi besar untuk kita menarik pelabur mereka dan dimanfaatkan secara bersama," katanya menjawab soalan tambahan dikemukakan Senator Datuk Musa Sheikh Fadzir.

----------------------------------------

Rakyat Malaysia samada yang berpendidikan tinggi atau pun rendah, sudah pasti tidak dapat menerima hakikat bahawa Malaysia terlalu berlembut dengan Singapura dalam isu WPI. Dalam soal menarik pelabur asing ke Malaysia, tidak bermakna kita terpaksa mengikut telunjuk dan kehendak negara asing.

Apakah selepas ini dalam usaha menarik minat pelabur dari negara yang lain juga Malaysia perlu menubuhkan jawatankuasa khas? Bermakna, kita perlu ikut kata negara lain untuk memajukan negara sendiri.

Apakah pemimpin Malaysia adalah dikalangan pemimpin 'melayu mudah lupa' seperti yang pernah diluahkan oleh Tun Dr Mahathir? Apabila Malaysia nak bina jambatan indah, apa sikap Singapura kepada kita? Sebab itulah kerajaan Singapura tidak menghormati kita sebab pemimpin kita memang lemah, lemah segala-galanya.

Saya yakin, WPI sebenarnya akan menjadi projek gajah putih yang terkini ciptaan kerajaan UMNO/BN. Pelabur asing masih tidak yakin kepada cita-cita @ angan-angan Pak Lah. Kembimbangannya, sejarah Singapura terkeluar daripada Malaysia akan menghantui rakyat di Johor. Apakah Johor selepas ini akan menjadi Singapura kedua?

DISKRIMINASI GENDER DI PARLIMEN : AHLI PARLIMEN BN MEMANG SUKA BUANG MASA KITA

Nukilan Khairul Faizi bin Ahmad Kamil | 5/17/2007 12:11:00 AM | 0 Pandangan »


Isu 'tiap-tiap bulan bocor' yang disebut oleh Datuk Bung Mokhtar Radin (BN- Kinabatangan) terhadap Ahli Parlimen DAP Batu Gajah YB Fong telah dilihat sebagai menghina wanita. Pelbagai pihak telah mengadakan himpunan aman di hadapan kementerian wanita dan menyerahkan memorandum terhadap Datuk Sri Shahrizat Abdul Jalil.

Apapun, saya harapkan agar isu ini akan memberikan kesedaran terutamanya AP BN yang terlalu celupar mulut mereka namun kita harus lebih fokus terhadap masalah yang lebih utama seperti penyalahgunaan kuasa, penyelewengan, rasuah dan sebagainya.

Tahniah kepada kaum wanita daripada pelbagai parti politik dan NGO yang bertindak segera dalam isu ini.

KENYATAAN MEDIA PAS NEGERI JOHOR

Nukilan Khairul Faizi bin Ahmad Kamil | 5/16/2007 02:23:00 PM | 0 Pandangan »


DATO’ DR MAHFODZ MOHAMED

PESURUHJAYA PAS NEGERI JOHOR

16hb. MEI 2007

JAWATANKUASA KHAS PERINGKAT MENTERI ANTARA MALAYSIA DENGAN SINGAPURA BAGI MEMANTAU PERLAKSANAAN PEMBANGUNAN WILAYAH PEMBANGUNAN ISKANDAR (WPI)

Akbar Berita Harian dan Utusan Malaysia pada hari ini telah menyiarkan kenyataan Perdana Menteri Malaysia yang bersetuju untuk menubuhkan Jawatankuasa Khas di peringkat Menteri dengan kerajaan Singapura bagi memantau perlaksanaan pembangunan Wilayah Pembangunan Iskandar (WPI). Bahkan jawatankuasa tersebut akan memperhalusi sebarang cadangan berhubung kerjasama pembangunan di WPI.

WPI yang dilancarkan pada 4hb. November, 2006 oleh Perdana Menteri adalah untuk menjadikan kawasan di selatan Johor Bahru yang bekeluasan 2,217 km persegi (iaitu 2.5 kali lebih besar dari Singapura dan 48 kali lebih besar dari Putrajaya) menjadi sebuah “Bandaraya Metropolitan Bertaraf Antarabangsa” yang akan dilengkapi dengan kemudahan asas bertaraf dunia seperti Hong Kong dan Shenzen di China. Dengan kata lain pembangunan WPI adalah ditawarkan kepada masyarakat pelaburan antarabangsa.

KEDAULATAN NEGARA

Persoalan asas adalah kenapa kerajaan Malaysia perlu menubuhkan Jawatankusa Khas di peringkat Menteri dengan Singapura sedangkan projek WPI adalah milik Malaysia dan bukannya milik Singapura. WPI juga bukannya kawasan tuntutan bertindih seperti Pulau Batu Puteh atau Pulau Sipadan.

Penubuhan Jawatankuasa Khas ini juga menunjukkan seolah-olah Malaysia kekurangan tenaga pakar dan profesional bagi mengurus dan memantau perlaksanaan pembangunan WPI. Apa sudah jadi dengan slogan keramat Perdana Meneteri selama ini “Malaysia Boleh” dan “Modal Insan”?.

JAWATANKUASA MENGUNTUNGKAN SINGAPURA

Kenapakah kerajaan Singapura menunjukkan minat yang terlalu ketara dalam projek pembangunan WPI. Adakah WPI menjadi alternatif kepada kerja-kerja menambak laut untuk meluaskan wilayah Singapura yang terhenti bilamana Malaysia dan Indonesia memberhentikan bekalan pasir. Perdana Menteri Singapura, Lee Hsein Loong mencadangkan supaya satu kemudahan disediakan bagi melancarkan urusan keluar masuk rakyat Singapura yang bekerja atau melabur di WPI. Bahkan Perdana Menteri Malaysia besetuju pada dasarnya untuk menggunakan “Kad Pintar”.

Persoalannya kenapa sebelum ini kerajaan Singapura tidak pernah berusaha untuk memudahkan urusan keluar masuk ribuan pekerja Malaysia yang setiap hari masuk ke Singapura. Bahkan beberapa langkah yang di ambil oleh Singapura banyak menguntungkan mereka seperti menggalakkan pekerja Malaysia membeli kenderaan Singapura bagi mempercepatkan urusan Immigresen. Kenapa Singapura menolak cadangan merobohkan tambak Johor dan cadangan pembinaan Jambatan Bengkok di perairan Malaysia. Bukankah projek ini juga akan memudah dan melancarkan proses keluar masuk rakyat kedua-dua negara. Jelas dari senario ini menunjukkan kepintaran kerajaan Singapura berurusan dengan kerajaan Malaysia. Dalam apa juga keadaan kepentingan Singapura sentiasa terpelihara.

KEMEWAHAN PAKEJ INSENTIF PELABURAN WPI

Kerajaan Malaysia sebenarnya telah menawarkan pakej yang sudah terlalu mewah kepada pelabur di WPI khususnya dari Singapura. Pengecualian pembayaran cukai koperat selama 10 tahun, tiada had mengambil pekerja asing, pemilikan harta tanpa kelulusan dari Foreign Investment Committee (FIC), penghapusan cukai keuntungan harta tanah dan penghapusan kuota 30% penyertaan ekuiti dan pekerja bumiputera dalam syarikat asing. Kenapa masih perlu melayan tuntutan Singapura melalui penubuhan Jawatankuasa Khas dan penggunaan Kad Pintar. Tindakan ini seolah-olah menunjukkan bahawa kejayaan atau kegagalan WPI adalah ditentukan oleh kerajaan dan pelabur dari Singapura. Hong Kong, Shenzen dan Macau walaupun menjadi bandaraya pusat pelaburan antarabangsa tetapi mereka masih menguasai polisi, perancangan dan perlaksanaan pembangunan secara ekslusif tanpa campur tangan pihak atau negara lain.

JANGAN JUAL WPI KEPADA SINGAPURA

Pada tahun 1965, Perdana Menteri Malaysia, Tuanku Abdul Rahmah telah membuat satu kesilapan yang besar dengan mengeluarkan Singapura dari Malaysia. Rakyat Malaysia khususnya rakyat Negeri Johor tidak mahu melihat sejarah hitam berulang kembali dengan kita menjual WPI kepada Singapura. Cukuplah dengan beberapa rundingan sebelum ini yang banyak merugikan Malaysia dan banyak menguntungkan Singapura seperti Perjanjian Air antara Malaysia-Singapura, Perjanjian Empangan Lingiu antara Malaysia-Singapura, isu pencerobohan Singapaura ke atas Pulau Pisang dan isu pembinaan Jambatan Bengkok, isu penjualan pasir ke Singapura dan isu pencerobohan ruang angkasa Johor oleh Singapura..

Sekian, terima kasih.

SAMBUTAN 50 TAHUN SEKOLAH TUANKU ABDUL RAHMAN (STAR) IPOH

Nukilan Khairul Faizi bin Ahmad Kamil | 5/16/2007 02:09:00 PM | 0 Pandangan »


Teman-teman, saya terpanggil untuk sama-sama berkongsi pengalaman menjadi warga STAR yang menyambut ulang tahun ke 50 pada 14 Mei 2007 yang lalu. Sesiapa juapun yang pernah menjadi warga STAR pasti tidak dapat menafikan betapa STAR telah mendewasakan pelajarnya menjadi warga negara Malaysia yang cemerlang.

Sebagai bekas pelajar 1986-1990 saya juga mempunyai pelbagai pengalaman dan kenangan yang akhirnya menjelmakan saya seperti yang ada pada hari ini.

Sebelum saya berbicara panjang, klik gambar di atas yang saya ambil daripada Buletin STAROBA pada tahun 2004 yang memaparkan kelibat bekas pelajar STAR yang terlibat dalam politik dan bertanding dalam pilihnraya Umum ke 11 pada tahun 2004.

Yang pastinya, calon yang paling muda adalah saya!

SELAMAT HARI GURU

Nukilan Khairul Faizi bin Ahmad Kamil | 5/16/2007 07:53:00 AM | 0 Pandangan »

MAT TAIB KATA JANGAN PERCAYA PADA BLOG

Nukilan Khairul Faizi bin Ahmad Kamil | 5/16/2007 01:22:00 AM | 0 Pandangan »


14/05: Jangan percaya semua yang dalam blog: Ketua Penerangan Umno (Malaysia Today)


Oleh Zulkifli Abd Rahman

Ketua Penerangan Umno Tan Sri Muhammad Muhammad Taib berkata, orang ramai tidak patut mengambil tulisan dalam laman blog dan blog sebagai asas kepercayaan mereka.

Muhammad mendakwa terdapat sesetengah blogger yang menulis dan cenderung kepada pandangan pembangkang.

Muhammad berkata Perdana Menteri Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi nampak sihat walaupun ada yang melaporkan sebaliknya dalam Internet pada Ahad baru-baru ini.

"Beliau bergurau dan bertemu dengan media. Walau bagaimanapun, apa yang dilaporkan dalam blog adalah berbeza.

"Laporan di Internet sangat jahat dengan niat menimbulkan panik dalam Umno dan Barisan Nasional, dan ia boleh timbulkan situasi negatif dalam negara.
-------------------------------------

Apalah nak jadi dengan Ketua Penerangan UMNO yang juga bekas Menteri besar Selangor ini. Kenyataan yang dibuat lebih kepada nak mengampu Pak Lah @ Dolah Badawi. Apalah sangat yang nak dipanikkan tu. Setakat laporan kata Pak Lah pengsan tak kan boleh menimbulkan huru-hara dalam negara. Tapi kalau dalam UMNO dan BN tu mungkin jugalah.

Perangai UMNO memang akan kelam-kabut bila ada pemimpin terutamanya bila pemimpin itu adalah wakil rakyat sakit ataupun sedang nazak. Kelam-kabut bukan disebabkan pemimpin tersebut sakit tetapi nak fikirkan siapa yang akan menggantikan tempat pemimpin tersebut bila dia mati nanti.


Janganlah sensitif sangat dengan laporan dalam blog ni, kata negara kita ni demokrasi tapi bila bloggers bercakap soal kelemahan kerajaan, kepincangan pemerintah dan salahlaku pemimpin, blog ini akan dilabelkan sebagai blog pro pembangkang.

Sedarlah sikit, media arus perdana yang ada dalam negara ini beritanya dikawal oleh kerajaan UMNO/BN. Semua yang kerajaan buat baik belaka tapi parti pembangkang semuanya buruk.

Rakyat Malaysia semakin lama semakin bijak untuk menilai yang baik dan yang buruk. Mungkin pemimpin UMNO/BN yang patut belajar daripada rakyat biasa bagaimana untuk bersikap lebih terbuka.

MULA-MULA TAK BOLEH TAPI SEKARANG BOLEH!

Nukilan Khairul Faizi bin Ahmad Kamil | 5/15/2007 06:55:00 PM | 0 Pandangan »

Cuba baca petikan berita yang disiarkan di dalam Bernama ini;

Petikan 1;

BERNAMA : Peniaga jangan naikkan harga sesuka hati
15-05-2007 01:19:22pm

PUTRAJAYA: Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna hari ini memberi amaran akan mengambil tindakan tegas terhadap peniaga yang menaikkan harga barangan sewenang-wenangnya.

"Saya nak beri amaran kepada peniaga jangan mengambil kesempatan, dan jika ada tindakan tegas diambil oleh pihak penguatkuasa, jangan kata kita zalim atau kita jahat," kata Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna Datuk Mohd Shafie Apdal.

Petikan 2;

Harga tepung gandum naik 15 sen
15-05-2007 04:04:20 PM

PUTRAJAYA: Kerajaan membenarkan harga runcit tepung gandum di seluruh negara dinaikkan 15 sen sekilogram berkuatkuasa semalam selepas mengambil kira pelbagai faktor termasuk dari segi kenaikan kos bahan mentah dan pengangkutan.

Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna Datuk Mohd Shafie Apdal berkata kenaikan itu hanya melibatkan tepung gandum serba guna dan bukan tepung gandum bukan serba guna yang harganya tidak dikawal.

Beliau berkata dengan kenaikan itu, tepung dijual pada harga RM1.35 sekilo berbanding RM1.20 sekilo bagi Semenanjung dan RM1.45 sekilo berbanding RM1.30 bagi Sabah dan Sarawak.

Kenyataan yang disiarkan oleh Bernama ini telah disiarkan pada tarikh yang sama iaitu 15 Mei 2007 cuma berita pertama disiarkan pada pukul 1.19 petang manakala berita kedua disiarkan pada pukul 4.04 petang.

Mula-mula, nampak kesungguhan Datuk Mohd Shafie Apdal untuk membenteras sikap peniaga daripada sesuka hati untuk menaikkan harga jualan walaupun kita pun tahu bahawa setiap kali harga barangan naik, menteri ini akan membuat kenyataan yang serupa dengan memberikan amaran dan amaran dan amaran.

Tiba-tiba orang yang sama juga membuat kenyataan bahawa harga tepung gandum naik 15 sen. Semalam dalam Bernama juga disiarkan bagaimana harga barangan runcit keperluan makanan telah naik mendadak sebanyak 5 hingga 10 peratus walaupun kenaikan gaji kakitangan awam belum diumumkan.

Itu baru tepung gandum. Selepas ini apa pula harga barangan yang akan naik? Peniaga roti canai sudah tentu menggeleng-gelengkan kepala. Kalau tak dinaikkan harga jualan maka sudah tentu akan menurun keuntungan. Akhirnya, saiz roti canai akan dikecilkan.

Peniaga roti, peniaga pau, peniaga-peniaga yang berasaskan tepung gandum pula sudah tentu sedang bersedia untuk berlumba-lumba memberikan alasan untuk membolehkan mereka menaikkan harga jualan mereka.

Pengguna akan terus tertekan. Gaji yang naik adalah kakitangan awam tetapi bagaimana pula nasib pesawah, petani, peneroka, nelayan, pekebun kecil dan penoreh getah? Saraan hidup semakin tinggi tetapi harga barang naik lagi. Itu baru cerita tepung gandum.

Rakyat perlu membuka mata. Hidup semakin kita semakin tertekan, UMNO/BN tdak peduli nasib rakyat tetapi yang mereka pentingkan adalah nafsu mereka semata-mata. Fikirkanlah, adakah ini nikmat yang kita kecapi setelah mencapai kemerdekaan selama 50 tahun?


Khairul Faizi Bin Ahmad Kamil

HADHARI...HADHARI...

Nukilan Khairul Faizi bin Ahmad Kamil | 5/14/2007 07:26:00 PM | 1 Pandangan »

TUN DR MAHATHIR TAK SOKONG PEMBANGKANG?

Nukilan Khairul Faizi bin Ahmad Kamil | 5/14/2007 05:52:00 PM | 0 Pandangan »


Keratan daripada Utusan Online;

Dr. M nafi sokong pembangkang

TAIPING 13 Mei – Bekas Perdana Menteri dan Presiden UMNO, Tun Dr. Mahathir Mohamad hari ini menafikan sekeras-kerasnya dakwaan bahawa beliau kini menyokong parti pembangkang.

Dr. Mahathir menegaskan, tujuan beliau membuat kritikan terhadap kerajaan selama ini adalah semata-mata untuk melihat kerajaan dan UMNO menjadi lebih kuat dan terus kukuh.

‘‘Kalau kita sokong UMNO secara membuta tuli dan tidak berpegang kepada prinsip perjuangan, UMNO akan jadi lemah akhirnya,” kata beliau kepada pemberita selepas program Kolokium Mengantarabangsakan Melayu di sini hari ini.

------------------------------------------------
Khairul Faizi : Nampaknya, semakin lama semakin hilang kepercayaan pimpinan UMNO/BN terhadap TDM. Kenyataan yang dikeluarkan oleh TDM nampaknya semakin menjerut UMNO/BN. Dalam 'kelembutan' ucapan-ucapannya tersirat bahawa beliau tidak senang dengan kerajaan yang memerintah pada hari ini.

Sebab itulah beliau meminta supaya rakyat mengundi Tan Sri Khalid sebagai wakil rakyat dalam pilihanraya kecil DUN Ijok dan mempertahankan kerajaan PAS di Kelantan.

Tindakan yang dilakukan oleh TDM yang masih konsisten menyebut bahawa beliau masih lagi 'ahli UMNO yang setia' dan dan dalam masa yang sama terus mengkritik kerajaan dilihat sebagai strategi untuk tidak di'gam' oleh media massa. Tindakan TDM terus mengadakan pertemuan di peringkat bawahan walaupun menghadapi masalah kesihatan tetap diragui oleh pimpinan UMNO. The Star online sebagai contohnya kini sedang mengadakan undian "Adakah kritikan-kritikan bekas Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad terhadap kepimpinan Umno bersifat menyokong pembangkang?"

Pastinya, UMNO/BN akan terus berusaha supaya TDM dapat 'dibisukan' daripada terus mengkritik kerajaan. Seandainya tiada tindakan dilakukan, dibimbangi rakyat akan meninggalkan UMNO/BN seterusnya memberikan ruang dan peluang kepada parti-parti pembangkang.

Khairul Faizi Ahmad Kamil
14 Mei 2007, 6.29 petang

MUNGKINKAH MAZIDUL AKMAL DIANIAYA?

Nukilan Khairul Faizi bin Ahmad Kamil | 5/14/2007 05:27:00 PM | 0 Pandangan »

Saya telah terbaca dalam The Star Online (melayu) bahawa pengacara terkenal iaitu Sdr Mazidulakmal Sidik telah didakwa atas tuduhan penyalahgunaan dadah.

Mazidul didakwa ambil dadah
14-05-2007 05:11:06 PM

JOHOR BARU: Pengacara TV3, Mazidulakmal Sidik dan tiga yang lain hari ini didakwa di Mahkamah Majistret di sini atas tuduhan penyalahgunaan dadah.

Mazidulakmal, 40, Fadzli Ramli, 40, Tumijah Adras, 34, dan Umaisyah Abdul Rahim, 25, mengaku tidak bersalah atas tuduhan memasukkan dadah methamphetamine ke dalam tubuh mereka di Bilik 88, Groove City Sdn Bhd, Nombor 19, Jalan Abdullah Tahir, di sini, pada pukul 2.45 pagi, Sabtu lepas.


Sebagai seorang wartawan yang dilihat cukup berani dalam membongkar segala bentuk jenayah termasuklah rompakan, kecurian, pembunuhan, pinjaman Ah Long, peras ugut, dadah, VCD cetak rompak dan banyak lagi jenayah sudah tentunya membuatkan banyak pihak 'geram' dan bersedia untuk membalas dendam.

Pendedahan demi pendedahan berkaitan dengan salahlaku jenayah dalam rancangan 999 di TV3 memang tidak dapat dinafikan keberaniannya.

Apapun, kita akan tunggu dan lihat nanti.

GURU PASTI : PENGORBANAN GURU KELAS PERTAMA

Nukilan Khairul Faizi bin Ahmad Kamil | 5/14/2007 04:45:00 PM | 1 Pandangan »

Detik 16 Mei adalah detik yang sangat bermakna kepada warga negara Malaysia yang bergelar ‘guru’. Sama ada guru tadika, guru sekolah rendah, guru sekolah menengah dan guru agama, mereka adalah guru.

Pengorbanan guru tetap akan dilafazkan dan dijelmakan setiap kali menjelang 16 Mei pada setiap tahun. Jasa guru akan disebut-sebut oleh pihak pemerintah sehinggalah kepada murid-murid yang masih bersekolah. Guru akan dilihat sebagai ‘lilin’ yang sanggup membakar diri untuk menerangi orang lain.

Allahyarham Dato’ Usman Awang pernah menulis sebuah sajak bertajuk “Guru Oh Guru” pada tahun 1979 yang didedikasikan kepada guru-guru yang terus menabur bakti dan jasa. Diantaranya ;

Di mana-mana dia berdiri di muka muridnya

Di sebuah sekolah mewah di Ibu Kota

Di bangunan tua sekolah Hulu Terengganu

Dia adalah guru mewakili seribu buku;

Semakin terpencil duduknya di ceruk desa

Semakin bererti tugasnya kepada negara.

Jadilah apa pun pada akhir kehidupanmu, guruku

Budi yang diapungkan di dulangi ilmu

Panggilan keramat "cikgu" kekal terpahat

Menjadi kenangan ke akhir hayat.

Bagi saya, sejak berkecimpung dalam pendidikan Pusat Asuhan Tunas Islam (PASTI) sejak tahun 2000, saya sunggup kagum dengan pengorbanan mereka yang sanggup menyerahkan diri kepada PASTI sebagai tenaga pengajar. Mengajar di PASTI tidak sama dengan mengajar di tadika kerajaan ataupun swasta yang lain.

Ketika mula-mula saya berada didalam PASTI, saya agak hairan dengan guru-guru PASTI yang masih mampu berdiri kukuh memperjuangkan pendidikan dan masa depan PASTI walaupun mereka terpaksa menempuh pelbagai kesukaran, kepayahan dan keperitan. Elaun yang rendah, prasarana yang kurang, kebajikan yang sederhana dan kadang-kadang terpaksa menguruskan pentadbiran PASTI.

Pernah satu ketika saya bertanya kepada seorang tokoh guru di sebuah negeri di utara Semenanjung Malaysia tentang elaun yang diterima sebagai seorang guru. Beliau menyatakan bahawa elaun pada tahun 2006 adalah sangat memuaskan berbanding tahun sebelumnya. Saya bertanya berapa elaun yang diterima pada tahun 2006? Beliau dengan rasa penuh bersyukur menyatakan bahawa elaun yang diterima untuk mengajar di PASTI adalah sebanyak RM 278!. Ya Allah! Hebatnya guru PASTI.

Pengalaman diamanahkan sebagai Pengerusi Penaziran PASTI Pusat telah memberikan ruang kepada saya untuk membuat lawatan ke PASTI di seluruh negara. Pegalaman yang saya kecapi dalam meneliti kehidupan seorang guru PASTI yang rata-ratanya meletakkan kepentingan PASTI lebih utama daripada diri mereka sendiri tidak mudah untuk kita lihat kepada guru-guru yang mengajar ditempat lain.

Ada guru PASTI yang sanggup menghabiskan elaun yang mereka terima untuk diserahkan kembali kepada PASTI cawangan untuk menyiapkan ABM dan menyediakan peralatan mengajar.

Pernah satu ketika ketika saya membawa guru-guru PASTI di Johor ke Pendang, Kedah untuk melihat sendiri kehidupan guru-guru PASTI di sana. Bila dialog diadakan di antara guru-guru, guru-guru PASTI di Johor terkejut apabila mereka mendengar ucapan-ucapan yang disampaikan oleh guru-guru di Kedah. Ada dikalangan mereka yang hanya menerima elaun sebanyak RM 100 sahaja tetapi masih boleh menginfakkan diri mereka untuk perjuangan.

Seorang guru PASTI yang telah mengajar selama 19 tahun di Johor menceritakan kepada saya bagaimana pada tahun pertama beliau ditugaskan untuk menjadi tenaga pengajar di PASTI beliau hanya diberikan saguhati dan beliau sendiri tidak pernah merungut terhadap apa yang beliau terima. Paling penting katanya, beliau dapat menaburkan bakti untuk melahirkan generasi yang benar-benar berjaya sebagai seorang muslim.

Terlalu besar pengorbanan mereka jika kita ingin bandingkan dengan apa yang kita berikan kepada mereka. Tahun ini, Sambutan Hari Guru PASTI Pusat akan diadakan di Kota Bahru Kelantan pada 29 & 30 Jun 2007. Seorang lagi tokoh guru PASTI Malaysia bakal dinobatkan. Walaupun saya sudah lagi tidak terlibat dalam memilih Tokoh Guru PASTI pada tahun ini, saya yakin dan percaya bahawa seorang tokoh guru PASTI penuh dengan sifat pengorbanan, dedikasi dan keihklasan akan ditampilkan bagi menjadi contoh yang terbaik kepada guru-guru PASTI dan kepada masyarakat di luar.

Akhirnya, saya ingin merakamkan ucapan SELAMAT HARI GURU kepada semua guru-guru PASTI di Malaysia. Jasa kalian terlalu besar untuk dinilai dengan wang ringgit. Semoga segala pengorbanan yang dicurahkan akan dinilai sebagai amalan yang mulia di sisiNya. Pengorbanan guru-guru PASTI pengorbanan kelas pertama.

Khairul Faizi Bin Ahmad Kamil

Ketua Dewan Pemuda PAS Negeri Johor

Timbalan Ketua Pengarah (Pengurusan) PASTI Pusat

019-7701830

14 Mei 2007. 4.44 petang

http://minda-kembara.blogspot.com/