Jom Ke Blog Baru Saya!

Nukilan Khairul Faizi bin Ahmad Kamil | 5/06/2011 12:11:00 PM | 1 Pandangan »



Assalamu'alaikum dan salam perjuangan,

Untuk makluman para pengunjung blog ini, saya ingin maklumkan bahawa blog ini sudah saya tidak aktifkan lagi kerana saya telah mewujudkan blog baru iaitu http://www.minda-kembara.com/ bermula pada 1 Ogos 2008 bersamaan 29 Rejab 1429.



Namun, blog tersebut telah digodam dan saya masih belum lagi mampu untuk mengatasinya.

Oleh itu, saya telah mewujudkan blog yang terkini iaitu www.khairulfaizi.com untuk meneruskan pelayaran saya di alam maya ini.



Semoga bertemu lagi di laman yang baru ini.

Terus berjuang!

Khairul Faizi bin Ahmad Kamil
6 Mei 2011

Bicaraku Kembali Ke Sini...

Nukilan Khairul Faizi bin Ahmad Kamil | 9/11/2009 12:33:00 PM | 3 Pandangan »

Assalamu'alaikum dan salam perjuangan.


Setelah saya berpindah ke 'rumah' baru pada 1 Ogos 2008, saya sememangnya telah meninggalkan terus blog minda-kembara.blogspot.com ini dan hanya dijadikan tempat merujuk maklumat terdahulu yang pernah di'posting' ke mari untuk kemudahan saya dan sesiapa sahaja yang memerlukannya.

Namun, blog minda-kembara.com telah tamat tempoh sewaannya dan saya gagal menghubungi webmaster yang sebelum ini menguruskan dalam pembikinan blog, pendaftaran blog dan penambahbaikan blog. Justeru saya tidak berupaya untuk membuat apa-apa selain menunggu sehingga webmaster tersebut menghubungi saya.

Atas nasihat sahabat-sahabat blogger terutamanya adinda Eriyza yang mencadangkan saya kembali semula ke dunia blogspot untuk meneruskan penulisan dan perkhabaran aktiviti harian saya.

Maka, hari ini saya kembali lagi ke sini untuk tempoh yang tidak pasti bila akan berakhir namun ia telah pun bermula hari ini.

Dalam masa yang sama, saya lebih mudah untuk didekati melalui laman facebook.

Klik, http://www.facebook.com/khairul.faizi1

Terima kasih di atas sokongan anda semua!

Wassalam

Khairul Faizi Ahmad Kamil

Nukilan Khairul Faizi bin Ahmad Kamil | 9/01/2008 02:16:00 PM | 3 Pandangan »


Salam Terakhir Daripada Minda-Kembara Versi Blogspot

Nukilan Khairul Faizi bin Ahmad Kamil | 7/31/2008 10:48:00 PM | 6 Pandangan »

Assalamu'alaikum dan salam sejahtera,
.
Malam ini adalah malam terakhir saya akan berinteraksi bersama teman-teman sekelian melalui laman blog ini. Setelah menangguhkan selama beberapa minggu blog minda-kembara versi baru maka saya dengan rasminya akan menggunakan url yang baru http://www.minda-kembara.com/ bermula pada 1 Ogos 2008 bersamaan 29 Rejab 1429.

Saya masih lagi 'terkial-kial' untuk mengendalikan blog baru ini kerana ia amat berbeza dengan konsep blogspot yang saya telah mula dampingi sejak daripada bulan Mei 2005. Sehingga kini, saya masih lagi mendapatkan nasihat kepakaran daripada sdr Rashid, Pengarah Urusan Portal Usahawan Muslim.

Blog minda-kembara.blogspot tidak akan saya tutup kerana ia masih lagi diperlukan bagi mendapatkan maklumat yang terdahulu.

Mudah-mudahan Allah akan memberikan saya kekuatan untuk terus berjuangan melalui alam maya ini. Sokongan daripada semua sangat-sangat saya hargai.

Kita jumpa di laman blog yang baru...

Wassalam.

Khairul Faizi Bin Ahmad Kamil
Taman Sri Kluang
31 Julai 2008, 11.11 malam

Bersiap Sedia Ke Permatang Pauh!

Nukilan Khairul Faizi bin Ahmad Kamil | 7/31/2008 06:22:00 PM | 0 Pandangan »

Azizah kosongkan kerusi Ptg Pauh - Malaysiakini
Jul 31, 08 3:18pm



Presiden PKR, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail telah mengosongkan kerusi parlimen Permatang Pauh untuk membuka laluan kepada suaminya Datuk Seri Anwar Ibrahim bertanding dalam pilihanraya kecil untuk kerusi tersebut.

Bercakap dalam satu sidang akhbar di ibu pejabat PKR di Petaling Jaya, Wan Azizah berkata, beliau bagaimanapun kekal sebagai presiden PKR dan pengerusi Yayasan Aman Malaysia. Wan Azizah berkata, beliau telah menghantar surat peletakan jawatan tersebut hari ini kepada Speaker Dewan Rakyat, Tan Sri Pandikar Amin Mulia.

Permatang Pauh dianggap sebagai kerusi yang selamat berdasarkan kepada keputusan pilihanraya umum lalu, Wan Azizah menang besar dengan majroti 13,388.

Beliau mendapatkan 30,338 undi, menewaskan calon Barisan Nasional (BN) dari Umno, Datuk Pirdaus Ismail yang memperolehi 16,950 undi.

Wan Azizah mewakili kerusi Permatang Pauh selama tiga penggal. Dalam pilihanraya 2004, beliau menang tipis dengan majoriti 590 undi, juga menewaskan Pirdaus.

Sebelum ini, disebut beberapa kerusi yang mungkin ditandingi oleh Anwar, termasuk Kulim Bandar Baharu, Bandar Tun Razak dan Lembah Pantai.

Kerusi Bandar Tun Razak diwakili oleh Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim, Lembah Pantai (Nurul Izzah) dan Gombak pula diwakili oleh naib presiden PKR, Azmin Ali.

Ditanya mengapa beliau yang mengosong kerusinya untuk Anwar, Azizah berkata sejak dahulu lalu beliau bersedia berbuat demikian.

Katanya, sejak dari mula-mula bertanding dahulu lagi, beliau sedia mengosong kerusi Permatang Pauh untuk memberi laluan kepada Anwar.

Beliau juga berkata, keputusannya diambil setelah berbincang dengan keluarganya, dengan pemimpin PKR serta DAP dan PAS. Katanya, beliau merasakan "inilah yang terbaik bagi Anwar sebab kawasan tersebut (mempunyai) majoriti yang selesa".

Wan Azizah menjadi wakil rakyat Permatang Pauh sejak 1999. Sebelum itu, kerusi itu diwakili oleh Anwar.

Reaksi Anwar

Anwar mewakili kerusi Parlimen Permatang Pauh sebagai wakil BN dari tahun 1982 sehinggalah beliau dipecat dari Umno pada September 1998, dan menjadi ahli Parlimen bebas sehingga dihukum penjara enam tahun keranatuduhan salahguna kuasa.

Sementara itu, Anwar pula berkata, beliau terharu dan terhutang budi kepada Wan Azizah.

"Selama ini Azizah telah memainkan tanggungjawab sebagai ahli Parlimen dan ketua pembangkang yang cemerlang dan efektif," katanya sambil menambah keputusan tersebut bukan mudah untuk diambil.Anwar kata, keputusan itu juga diambil dengan melihat juga kerusi Bandar Tun Razak dan Gombak.

Katanya, pemimpin PAS dan DAP telah menghubunginya dan menyokong penuh beliau bertanding dalam pilihanraya kecil di Permatang Pauh.Menurut, pemimpin DAP, Lim Kit Siang telah menghantar wakil parti itu menghadiri sidang akhbar tersebut, iaitu ahli Parlimen Cheras, Tan Kok Wai

Manakala PAS pula, kata Anwar, tidak dapat menghantar wakil sebab mereka sedang bermesyuarat di pejabat agung parti tersebut.

Ditanya mengapa beliau tidak bertanding di kerusi Kulim-Bandar Baharu, Anwar berkata, petisyen yang dikemukakan di situ akan mengambil masa yang panjang untuk selesai.

Mengenai jawatan ketua pembangkang yang kosong selepas Wan Azizah mengosongkan kerusi Parlimennya, Anwar berkata, ia akan diberitahu minggu depan.

Keputusan Terbaik Untuk Masa Depan PAS dan Pakatan Rakyat

Nukilan Khairul Faizi bin Ahmad Kamil | 7/31/2008 05:51:00 PM | 0 Pandangan »

Alhamdulillah, PAS telah berjaya mengambil satu keputusan yang terbaik di dalam menangani isu muzakarah yang telah menjadi topik utama perbicangan sejak beberapa minggu ini. Keputusan menolak kerjasama dengan BN dalam membentuk kerajaan sama ada di peringkat pusat atau negeri ini sudah tentu melegakan para ahli dan penyokong yang telah dilanda sindrom kebimbangan yang teramat sangat dengan cakap-cakap bahawa ada kemungkinan PAS dan UMNO akan bergabung dan seumpamanya.

Semalam saya berceramah di Johor Bahru dan kelmarinnya di Taman Sri Lambak di Parlimen Semberong. Fokus ceramah saya berkisar tentang perkara yang sama iaitu berkaitan dengan sejarah PAS ditubuhkan, matlamatnya, dasarnya, rujukannya dan peranan PAS dalam membela agama Islam.
Saya memfokuskan bagaimana PAS di Johor telah melalui pelbagai peristiwa yang manis dan pahit sehingga PAS di Johor berjaya memenangi dua kerusi DUN di dalam pilihanraya umum ke 12. Sejarah juga memperlihatkan bagaimana PAS begitu teruk ditekan dan dihina, ahli-ahli PAS di Johor ada yang dihalau daripada kampung halaman kerana menyertai PAS.

Saya juga berkongsi dengan para tetamu bagaimana peristiwa PAS ditendang daripada BN. Hari Sabtu yang lalu, saya berkesempatan bertemu dengan Dr Sanusi Daeng Mariok (Pak Daeng) dan beliau memberitahu kepada saya bahawa beliau adalah di antara tiga pemimpin PAS yang dilantik untuk berada di dalam mesyuarat Barisan Nasional selain daripada Allahyarham Datuk Asri dan Allahyarham Ust Abu Bakar.
Pada hari terakhir mesyuarat BN yang diadakan di bangunan UMNO Jalan Tuanku Abdul Rahman, KL, PAS mesyuarat BN telah memutuskan PAS dikeluarkan daripada BN. Bukan sahaja pimpinan komponen BN memandang hina kepada pimpinan PAS tersebut malah wartawan yang hadir juga turut mengambil peranan mencemuh PAS.

Sejarah tersebut cukup dirasai oleh Pak Daeng sendiri sehingga Pak Daeng mengingatkan agar pimpinan PAS mengambil kira sejarah ini dan Pak Daeng juga mengingatkan agar pimpinan PAS tidak mudah 'terpesona dengan kilauan warna-warna' yang ditawarkan oleh BN.

Saya yakin dan percaya bahawa keputusan kepimpinan PAS Pusat ini akan memberikan satu semangat baru kepada seluruh ahli PAS dan para penyokong PAS serta ali Kelab Penyokong PAS yang ada.

Sebagai anak muda di dalam perjuangan PAS ini, saya mengharapkan agar pimpinan PAS akan berlapang dada dengan keputusan yang telah diambil dan "buang yang keruh, ambil yang jernih" bagi memperkukuhkan saf kepimpinan dan perjuangan ini.

Allahu Akbar! Allahu Akbar! Allahu Akbar!
------------------------------------------------

PAS tolak kerjasama dengan BN bentuk kerajaan - Presiden PAS - Harakahdaily
Nyza Ayob dan Intan Abdullah Thu Jul 31, 08 4:34:28 pm MYT




KUALA LUMPUR, 31 Julai (Hrkh) - PAS menolak mengadakan sebarang rundingan dengan Barisan Nasional (BN) bagi mewujudkan kerajaan sama ada di peringkat pusat atau negeri.

Presiden PAS, Dato' Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang berkata sebarang tawaran untuk mewujudkan kerjasama politik tidak lagi berbangkit.
"PAS akan terus terbuka untuk mengadakan sebarang perbincangan dengan parti-parti politik, badan bukan kerajaan, institusi ataupun mana-mana individu demi kepentingan agama dan rakyat," ujarnya dalam sidang media di Pejabat Agung PAS, Jalan Raja Laut hari ini.

PAS mengulangi pendiriannya untuk terus kekal bersama pakatan Rakyat dan akan memainkan peranan aktif dan positif termasuk perjuangan bersama untuk membuat perubahan.
"Kita mengajak ahli-ahli parlimen BN untuk menyertai Pakatan Rakyat untuk sama-sama sokong dan dokong perubahan yang hendak dilaksanakan," katanya.
Ditanya mengenai tindakan yang akan diambil oleh parti tersebut terhadap mana-mana pimpinan yang mengadakan pertemuan sulit dengan BN, katanya, "tiada yang sulit lagi, kita mengatakan boleh mengadakan pertemuan dengan syarat ia dimaklumkan kepada parti."
PAS juga katanya menghargai sokongan bukan Islam dan mereka akan diberikan peranan lebih pada masa akan datang dalam arena politik bersama PAS.
Dalam pada itu, Ustaz Abdul Hadi turut menyatakan bahawa pihaknya turut menyatakan sokongan dalam isu Penasihat KeADILan, Dato' Seri Anwar Ibrahim.
"Isu tersebut hendaklah diselesaikan mengikut syariat Islam, berdasarkan perlembagaan 121 yakni kes yang berkaitan dengan agama Islam hendaklah dirujuk kepada Mahkamah Syariah.
"Saya tidak mahu isu ini dipolitikkan. Kalau sekiranya ia tidak boleh (dirujuk kepada mahkamah syariah) Umno kena buat perubahan.
"Ya, saya membela siapa yang kena zalim termasuk Dato' Seri Anwar," ujarnya.
Sidang media tersebut diadakan sebaik selesai Mesyuarat Jawatankuasa Kerja PAS yang dibuat secara bulanan, dengan turut dihadiri Majlis Syura Ulama' yang dipengerusikan Ustaz Abdul Hadi.
Turut serta dalam mesyuarat tersebut ialah Musyidul Am PAS, Tuan Guru Dato' Nik Abdul Aziz Nik Mat, kata Setiausaha Agung PAS, Dato' Kamarudin Jaffar dalam sidang media tersebut.

Hadir sama, Ketua Muslimat PAS, Ustazah Nuridah salleh. - mns_

-----------------------------------------------------------

Tiada k'jaan campuran PAS-Umno - Malaysiakini
Abdul Rahim Sabri Jul 31, 08 12:12pm

kemaskini 5:58pm PAS menolak sebarang kerjasama dengan Umno atau BN bagi membentuk kerajaan campuran sama ada di peringkat negeri atau pusat, kata presidennya Datuk Seri Abdul Hadi Awang.

"Oleh itu, itu sebarang tawaran daripada Umno untuk mewujudkan kerajaan bersama di semua peringkat tidak lagi berbangkit," katanya.

Keputusan itu dicapai selepas pertemuan khas hampir lima jam barisan pemimpin tertinggi PAS bagi meredakan kehangatan kontroversi rundingan sulit dengan Umno sejak beberapa minggu, khususnya selepas pengakuan Abdul Hadi awal bulan ini.

Mesyuarat dua badan tertinggi parti itu - jawatankuasa pusat dan majlis syura ulama - melibatkan hampir 50 pemimpin parti, termasuk mursyidul amnya Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat dan semua wakil PAS yang bertemu perdana menteri Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi. Pertemuan yang bermula jam 10 pagi diadakan di ibu pejabat PAS di Kuala Lumpur.

Dalam sidang media selepas mesyuarat besar itu, Abdul Hadi juga berkata PAS akan terus memainkan peranan aktif bersama Pakatan Rakyat dan "mengajak ahli-ahli Parlimen Umno menyertai gabungan itu, khususnya bersama PAS atau PKR."

Abdul Hadi - yang mengakui memberi restu pada rundingan sulit dengan Abdullah dan bekas menteri besar Selangor Datuk Seri Dr Mohamad Khir Toyo, beberapa selepas pilihanraya umum 8 Mac - berkata PAS masih terbuka kepada sebarang perbincangan dengan mana-mana pihak, termasuk Umno.

"PAS akan terus terbuka untuk mengadakan perbincangan dengan semua pihak termasuk parti-parti politik, pertubuhan bukan kerajaan (NGO), institusi dan individu demi untuk kepentingan negara dan ummah," katanya lagi.

Pertemuan pertama seumpamanya itu diadakan selepas cadangan kontroversi Nik Abdul Aziz agar dua parti itu dibubarkan jika serius mahu bekerjasama dan Umno harus menerima pelaksanaan hudud jika mahu teruskan dialog. Ia juga diadakan selepas wujud tawaran terbuka Umno Perak untuk membentuk kerajaan campuran di negeri itu.

Siri pendedahan media tentang rundingan tertutup PAS-Umno mutakhir ini mendorong ketua penerangan PAS Mahfuz Omar mohon maaf secara terbuka awal minggu ini kerana pernah menafikan pertemuan sulit dua parti itu.

Isu perkongsian kuasa disahkan sendiri oleh perdana menteri dan Dr Mohamad Khir walaupun PAS dan pembangkang menganggap ia usaha Umno memecah-belahkan sokongan terhadap Pakatan Rakyat.

Kehangatan perbincangan isu ini mendorong kira-kira 50 wartawan dan jurugambar bergegas ke bangunan di Jalan Raja Laut menunggu keputusan terbaru PAS.

Turut hadir di sidang media itu, setiausaha agung PAS Datuk Kamarudin Jaafar dan ketua Muslimat, Nuridah Salleh (foto atas).Mengulas sama ada muqabalah dengan Umno akan diteruskan, presiden PAS berkata:

"Saya dah sebut tadi pertemuan (perbincangan). Yang kita tidak khususkan kepada Umno, tapi semua parti-parti politik dan NGO. Ini amalan PAS sejak dulu hingga sekarang."

Ditanya tindakan yang akan diambil kepada mana-mana pimpinan yang mungkin mengadakan pertemuan secara sulit dengan Umno pada masa depan, beliau berkata:

"Tidak ada sulit lagi. Kita menyatakan boleh diadakan pertemuan. Dan pertemuan ini sudah tentu akan dimaklumkan kepada parti. dan selama ini pun dimaklumkan kepada parti."

Abdul Hadi, yang juga ahli parlimen Marang, menjelaskan PAS akan membela sesiapa sahaja termasuk ketua umum PKR Datuk Seri Anwar Ibrahim yang dituduh meliwat bekas pembantunya Mohd Saiful Bukhari Azlan.

Sehubungan itu, Abdul Hadi menggesa kes tokoh pembangkang itu diselesaikan di mahkamah syariah."PAS sebuah parti Islam tetap menyatakan bahawa isu tersebut hendaklah diselasaikan mengikut syariat Islam.

"Dan saya rujuk perkara kepada Perlembagaan (Persekutuan) Perkara 121 A1, kes yang berkaitan dengan orang Islam, harus dirujuk kepada mahkamah syariah. Sekiranya tidak boleh, Umno kena buat perubahan," katanya.

Mengulas kedudukan pengundi bukan Islam yang memberi sokongan parti itu dalam pilihanraya lalu, Abdul Hadi berkata PAS terus menghargai sokongan mereka dan bercadang memberikan lebih peranan dalam arena politik.

Buku : 21 Rahsia Mendapat Keberkatan Ilmu

Nukilan Khairul Faizi bin Ahmad Kamil | 7/30/2008 01:34:00 AM | 0 Pandangan »


Buku ini saya baru sahaja beli beberapa jam tadi ketika berceramah dengan Ust Azman Syafawi di Markas PAS Kawasan Semberong, Taman Sri Lambak.

Buku ini telah ditulis oleh Ustaz Mohd Kamal Bin Mohd Said, Mudir Madrasah Arabiah Kluang.

Saya belum sempat membaca keseluruhan buku ini tetapi buku ini saya lihat lebih kepada menghuraikan 21 mutiara penting yang perlu diberikan perhatian sebagai panduan untuk kita mendapat ilmu yang berkat.

Walaupun buku ini masih baru diterbitkan tetapi ia telahpun dicetak untuk kali ke 2 bagi tujuan jualan.

Untuk mendapatkan buku ini, anda boleh terus menghubungi Ustaz Mohd Kamal di talian 019-7681405 atau emaikan kepada kamalsaid66@gmail.com

Selamat membaca!

Berita Daripada Harakahdaily : Muzakarah PAS - UMNO

Nukilan Khairul Faizi bin Ahmad Kamil | 7/29/2008 11:12:00 PM | 0 Pandangan »

Isu muzakarah-muqabalah: Ahli akar umbi mula gusar
Roy Rasul Tue Jul 29, 08 5:16:24 pm MYT


KUALA LUMPUR, 29 Julai (Hrkh) - Majoriti pemimpin PAS negeri dan kawasan begitu gusar dengan perkembangan dan kenyataan pemimpin PAS berhubung isu muzakarah atau muqabalah PAS dan Umno yang hangat diperkatakan sekarang.
Iklan

Mereka bimbang isu berkenaan bakal mengundang salah faham dan tanggapan di kalangan ahli dan penyokong parti atas pelbagai pandangan pemimpin PAS yang terdedah kepada eksploitasi media.

Ketua Pemuda PAS Johor, Khairul Faizi Ahmad Kamil berkata ramai yang menyuarakan pandangan terutamanya di peringkat bawah mula berasa takut berhubung muzakarah PAS dan Umno.

Malah katanya, keresahan ini turut dicurigai Kelab Penyokong PAS apabila mereka mendengar berlakunya perbincangan mengenai muzakarah ataupun istilah baru muqabalah.

"Contohnya semasa saya ke Perak baru-baru ini kelab penyokong persoalkan kenapa PAS perlu bertemu dengan Umno sedangkan selama ini mereka lebih percayakan PAS," katanya semasa dihubungi Harakahdaily hari ini.

Bukan itu saja katanya, malah ada ahli-ahli yang mengugut mahu keluar parti gara-gara isu muzakarah tersebut.

Beliau berkata, isu muzakarah menampakkan Umno lebih menggembar-gemburnya.

Tambahan pula dakwanya, ia menjadi senjata untuk memecah-belahkan perpaduan dalam PAS.

Sehubungan itu, beliau berharap isu muzakarah hendaklah dihenti.

Katanya, biarlah Muktamar PAS ke-54 yang akan berlangsung pertengahan Ogos depan menjadi medan untuk perwakilan membincangkannya.

"Jika mereka mahu timbulkan isu ini dalam muktamar ini mereka membuat keputusan sama ada mahu meneruskan ataupun sebaliknya.

Sementara itu, Yang diPertua PAS (YDP) kawasan Batu, Ishak Surin berkata, secara umumnya beliau melihat ahli PAS tidak setuju sama ada muzakarah atau muqabalah kerana ia boleh menjerat PAS.

"Saya minta pemimpin PAS henti sama sekali dan bincanglah dalam muktamar di Perak nanti," katanya kepada Harakahdaily sebentar tadi.

Beliau berkata, perkara ini juga dikhuatiri akan mencemarkan nama parti.

"Saya harap kita semua membuat keputusan di muktamar kerana ini adalah isu besar dan sangat serius," katanya.

Apatah lagi katanya, orang-orang di peringkat pertengahan sepertinya selalu berdepan dengan rakyat.

Lebih-lebih lagi katanya, PAS sendiri mula dapat sokongan daripada orang bukan Islam.

"Ini yang penting dan kita sebenarnya boleh berdiri sendiri di atas sokongan rakyat yang terdiri dari pelbagai bangsa dan agama.

"Takkanlah begitu mudah PAS mahu bermuzakarah dengan Umno sedangkan sekarang ini PAS sudah jauh melangkah ke depan untuk maju seiring dengan sokongan padu daripada rakyat jelata," katanya.

Katanya, ini juga selari dengan sokongan rakyat terhadap perjuangan PAS yang berlandaskan Islam.

Dalam pada itu, seorang pesara dari Setiu, Terengganu, Che Man Che Mud yang menghubungi Harakahdaily pagi tadi menyifatkan tindakan bermuzarakah dengan Umno kurang profesional.

"Nampaknya apabila Umno sudah tenat barulah mereka hendak berbincang dengan PAS.

"Ini menjejaskan keyakinan ahli-ahli dan penyokong-penyokong PAS kerana tidak semua rakyat bersetuju langkah tersebut.

"Kita risau Umno hanya berlembut dalam keadaan mereka lemas tetapi selepas PAS menolong mereka akan menggigit kita pula," katanya.

Tambahan pula katanya, setelah penat penyokong parti bekerja dengan mudah pula pimpinan membuka ruang untuk Umno bermuzakarah.

Katanya, ini yang meragukan semua pihak.

Sementara itu, Timbalan Ketua Muslimat PAS, Selangor, Noraini Husain berkata, dalam suasana sekarang seeloknya muzakarah tersebut ditangguhkan.

Ini katanya, Umno sememangnya mencari kesempatan untuk mengeksloitasi segala isu yang timbul dan ini akan menyebabkan sokongan terhadap Pakatan Rakyat menjadi semakin goyah.

"Jika dilihat dalam suasana sekarang ia menyebabkan hubungan PAS dan Pakatan Rakyat akan renggang," katanya kepada Harakahdaily.

Katanya, walaupun muzakarah bukan ke arah pembentukkan permuafakatan di antara PAS dan Umno, keputusannya hendaklah diputuskan dalam muktamar nanti.

Bagaimanapun, beliau tidak menafikan pimpinan atas lebih nampak kesan dan akibatnya mengenai muzakarah tersebut.

Dalam pada itu, Timbalan Ketua Muslimat PAS Pahang, Salamiah Mohd Noor berpandangan semua pihak harus memahami usaha yang mahu dilakukan pucuk pimpinan tertinggi parti.

"Kita sangat percaya kepada pimpinan dan muzakarah itu diputuskan oleh Majlis Syura.

"Jadi saya mengambil sikap bahawa kita memberikan keyakinan dan kepercayaan terhadap keputusan yang dibuat oleh kepimpinan kita," katanya semasa dihubungi pagi tadi.

Dengan itu katanya, sebagai ahli bawah beliau mengikuti perkembangan dari semasa ke semasa untuk memastikan sumber yang sampai itu betul.

"Kita sangat bimbang berita-berita yang disampaikan itu dimanipulasi oleh pihak tertentu," katanya.

Menurutnya, sumber itu ada masanya apabila sampai kepada orang bawah, sumbernya tidak betul.

Ini katanya, ada dakwaan sehingga kepimpinan tertinggi PAS mahu masuk Umno dan sebagainya.

Katanya, muzakarah itu bukan mahu mengubah dasar parti dan apabila Umno menerima muzakarah tersebut ahli PAS tidak perlu melatah sebaliknya serah kepada pucuk pimpinan. - mks. _