KENYATAAN MEDIA PAS NEGERI JOHOR

Nukilan Khairul Faizi bin Ahmad Kamil | 5/16/2007 02:23:00 PM | 0 Pandangan »


DATO’ DR MAHFODZ MOHAMED

PESURUHJAYA PAS NEGERI JOHOR

16hb. MEI 2007

JAWATANKUASA KHAS PERINGKAT MENTERI ANTARA MALAYSIA DENGAN SINGAPURA BAGI MEMANTAU PERLAKSANAAN PEMBANGUNAN WILAYAH PEMBANGUNAN ISKANDAR (WPI)

Akbar Berita Harian dan Utusan Malaysia pada hari ini telah menyiarkan kenyataan Perdana Menteri Malaysia yang bersetuju untuk menubuhkan Jawatankuasa Khas di peringkat Menteri dengan kerajaan Singapura bagi memantau perlaksanaan pembangunan Wilayah Pembangunan Iskandar (WPI). Bahkan jawatankuasa tersebut akan memperhalusi sebarang cadangan berhubung kerjasama pembangunan di WPI.

WPI yang dilancarkan pada 4hb. November, 2006 oleh Perdana Menteri adalah untuk menjadikan kawasan di selatan Johor Bahru yang bekeluasan 2,217 km persegi (iaitu 2.5 kali lebih besar dari Singapura dan 48 kali lebih besar dari Putrajaya) menjadi sebuah “Bandaraya Metropolitan Bertaraf Antarabangsa” yang akan dilengkapi dengan kemudahan asas bertaraf dunia seperti Hong Kong dan Shenzen di China. Dengan kata lain pembangunan WPI adalah ditawarkan kepada masyarakat pelaburan antarabangsa.

KEDAULATAN NEGARA

Persoalan asas adalah kenapa kerajaan Malaysia perlu menubuhkan Jawatankusa Khas di peringkat Menteri dengan Singapura sedangkan projek WPI adalah milik Malaysia dan bukannya milik Singapura. WPI juga bukannya kawasan tuntutan bertindih seperti Pulau Batu Puteh atau Pulau Sipadan.

Penubuhan Jawatankuasa Khas ini juga menunjukkan seolah-olah Malaysia kekurangan tenaga pakar dan profesional bagi mengurus dan memantau perlaksanaan pembangunan WPI. Apa sudah jadi dengan slogan keramat Perdana Meneteri selama ini “Malaysia Boleh” dan “Modal Insan”?.

JAWATANKUASA MENGUNTUNGKAN SINGAPURA

Kenapakah kerajaan Singapura menunjukkan minat yang terlalu ketara dalam projek pembangunan WPI. Adakah WPI menjadi alternatif kepada kerja-kerja menambak laut untuk meluaskan wilayah Singapura yang terhenti bilamana Malaysia dan Indonesia memberhentikan bekalan pasir. Perdana Menteri Singapura, Lee Hsein Loong mencadangkan supaya satu kemudahan disediakan bagi melancarkan urusan keluar masuk rakyat Singapura yang bekerja atau melabur di WPI. Bahkan Perdana Menteri Malaysia besetuju pada dasarnya untuk menggunakan “Kad Pintar”.

Persoalannya kenapa sebelum ini kerajaan Singapura tidak pernah berusaha untuk memudahkan urusan keluar masuk ribuan pekerja Malaysia yang setiap hari masuk ke Singapura. Bahkan beberapa langkah yang di ambil oleh Singapura banyak menguntungkan mereka seperti menggalakkan pekerja Malaysia membeli kenderaan Singapura bagi mempercepatkan urusan Immigresen. Kenapa Singapura menolak cadangan merobohkan tambak Johor dan cadangan pembinaan Jambatan Bengkok di perairan Malaysia. Bukankah projek ini juga akan memudah dan melancarkan proses keluar masuk rakyat kedua-dua negara. Jelas dari senario ini menunjukkan kepintaran kerajaan Singapura berurusan dengan kerajaan Malaysia. Dalam apa juga keadaan kepentingan Singapura sentiasa terpelihara.

KEMEWAHAN PAKEJ INSENTIF PELABURAN WPI

Kerajaan Malaysia sebenarnya telah menawarkan pakej yang sudah terlalu mewah kepada pelabur di WPI khususnya dari Singapura. Pengecualian pembayaran cukai koperat selama 10 tahun, tiada had mengambil pekerja asing, pemilikan harta tanpa kelulusan dari Foreign Investment Committee (FIC), penghapusan cukai keuntungan harta tanah dan penghapusan kuota 30% penyertaan ekuiti dan pekerja bumiputera dalam syarikat asing. Kenapa masih perlu melayan tuntutan Singapura melalui penubuhan Jawatankuasa Khas dan penggunaan Kad Pintar. Tindakan ini seolah-olah menunjukkan bahawa kejayaan atau kegagalan WPI adalah ditentukan oleh kerajaan dan pelabur dari Singapura. Hong Kong, Shenzen dan Macau walaupun menjadi bandaraya pusat pelaburan antarabangsa tetapi mereka masih menguasai polisi, perancangan dan perlaksanaan pembangunan secara ekslusif tanpa campur tangan pihak atau negara lain.

JANGAN JUAL WPI KEPADA SINGAPURA

Pada tahun 1965, Perdana Menteri Malaysia, Tuanku Abdul Rahmah telah membuat satu kesilapan yang besar dengan mengeluarkan Singapura dari Malaysia. Rakyat Malaysia khususnya rakyat Negeri Johor tidak mahu melihat sejarah hitam berulang kembali dengan kita menjual WPI kepada Singapura. Cukuplah dengan beberapa rundingan sebelum ini yang banyak merugikan Malaysia dan banyak menguntungkan Singapura seperti Perjanjian Air antara Malaysia-Singapura, Perjanjian Empangan Lingiu antara Malaysia-Singapura, isu pencerobohan Singapaura ke atas Pulau Pisang dan isu pembinaan Jambatan Bengkok, isu penjualan pasir ke Singapura dan isu pencerobohan ruang angkasa Johor oleh Singapura..

Sekian, terima kasih.

0 Pandangan