Saya telah membaca kenyataan daripada tiga pemimpin UMNO berkaitan dengan isu kemasukan Ezam dan rakan-rakan Ezam ke dalam UMNO. Pada peringkat awalnya saya tidalah berminat untuk mengulas lagi berkaitan dengan kemasukan Ezam ke dalam UMNO kerana pada saya banyak lagi agenda yang perlu diberikan perhatian berbanding membicarakan kisah Ezam.
Cuma, kesempatan yang ada ini saya ingin membandingkan sikap tiga pemimpin tertinggi UMNO apabila memberikan padangan terhadap kemasukan Ezam dan kenas pimpinan PKR ke dalam UMNO.
Apabila ditanya oleh pemberita tentang kemasukan Ezam, Pak Lah Badawi dengan penuh yakin bahawa Ezam telahpun diterima tanpa kerana borang telahpun diserahkan oleh Ezam. Dalam Berita Harian Online pada 28 Mei 2008 sebelum ini telah mengulas kenyataan Pak Lah :-
"Kemasukan Ezam, tak ada syarat apa-apa. Boleh terima dah. Tak ada keistimewaan apa-apa. Dia pun tak minta jawatan apa-apa. Dia hanya mahu berkhidmat dan berjuang dalam parti,” kata Perdana Menteri kepada pemberita selepas Ezam menemui beliau di pejabatnya di bangunan Parlimen di sini.
Abdullah, yang juga Presiden Umno, berkata Majlis Tertinggi Umno tidak membantah kemasukan semula Ezam ke dalam Umno.
Najib Razak pula dalam kenyataannya menyebut bahawa kemasukan Ezam dan pimpinan PKR yang lain tidak akan memecah-belahkan perpaduan UMNO. Tidak dijumpai mana-mana kenyataan daripada Najib Razak yang menegur Pak Lah agar perkara ini di bawa ke dalam mesyuarat MT dahulu.
Namun, ia berbeza dengan Muhyiddin yang mengingatkan secara tidak langsung kepada Pak Lah dan Najib Razak bahawa penerimaan kemasukan sebagai ahli UMNO perlu melalui prosedur biasa, bukannya ditentukan oleh pemimpin tertentu dalam UMNO.
Muhyiddin sudah tentunya merujuk kepada kenyataan Pak Lah yang menerima kemasukan Ezam tanpa merujuk kepada parti sedangkan Ezam adalah bekas ahli UMNO yang pernah dipecat daripada UMNO dan pernah bertanding menentang calon UMNo/BN dalam pilihanraya umum ke 10 dahulu. Sudah tentu bukan semuda itu untuk menerima Ezam ke dalam UMNO.
Daripada kenyataan yang dikeluarkan oleh tiga pemimpin tertinggi UMNO ini, ia sudah menampakkan betapa ia bukanlah keputusan bersama lebih-lebih lagi Pak Lah dilihat semakin tidak mahu mendengar nasihat, pandangan dan keputusan parti sebagai keutamaan sehingga sanggup menerima Ezam tanpa merujuk kepada parti.
Benarlah seperti mana yang telah disebut oleh Tun Dr Mahathir bahawa parti UMNO sudah tidak ada lagi, yang ada adalah parti Pak Lah. Segalanya ditentukan oleh Pak Lah bukannya pimpinan UMNO.
Mujurlah ada pemimpin yang agak berani seperti Muhyiddin yang menegur sikap Pak Lah yang membelakangkan parti.
Saya mencatatkan perkara ini adalah sebagai satu bacaan ahli-ahli UMNO bahawa pemimpin-pemimpin UMNO sudah tidak mementingkan parti tetapi lebih mementingkan agenda sendiri.
Pak Lah ingin membuktikan bahawa dia masih lagi mampu memimpin kerana bekas penentang UMNO pun sanggup 'melutut' dihadapannya, Najib Razak pula tidak mahu ketinggalan apabila menerima juga kemasukan bekas pimpinan PKR dan mendakwa sebenarnya perbincangan telah dibuat awal tetapi belum diistiharkan sahaja. Masing-masing ingin membuktikan bahawa merekalah 'jaguh' dalam UMNO.
Mungkin Muhyiddin pula yang masih belum mampu menarik bekas pimpinan PKR ke dalam UMNO cukup risau dengan perkembangan ini maka mengambil sikpa menegur pimpinan tertinggi UMNO agar perlu merujuk kepada mesyuarat MT untuk membuat apa-apa keputusan.
Wahai ahli-ahli UMNO, sampai bila anda ingin berada dalam situasi ini, sampai bila? Cukuplah, kepimpinan UMNO tidak akan selesaikan masalah-masalah mereka kerana di sana ada kepentingan yang perlu dijaga dan dipertahankan!
Khairul Faizi Bin Ahmad Kamil
1 Jun 2008, 12.40 malam
--------------------------------------------
Apa istimewanya Ezam masuk Umno? - Muhyiddin (Malaysiakini)
31-05-2008 07:41:00 PM
MUAR: Pertimbangan untuk menerima permohonan kemasukan semula bekas Ketua Angkatan Muda Parti Keadilan Nasional (PKR), Mohamad Ezam Mohd. Nor ke dalam Umno perlu diperhalusi dan difikirkan semasakmasaknya oleh kepimpinan parti.
Naib Presiden Umno, Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, permohonan Mohamad Ezam dan beberapa bekas anggota PKR yang lain itu juga perlu melalui prosedur biasa parti tanpa sebarang keistimewaan diberikan kepada mereka.
"Proses permohonan perlu melalui prosedur biasa pada mesyuarat Majlis Tertinggi, sebelum itu Jawatankuasa Pengurusan, barulah kita lihat kewajaran untuk terima (permohonan) atau tolak supaya tiada ahli yang kecewa kerana seolah-olah kita (Umno) ketepikan pertimbangan biasa di atas sebabsebab tertentu."
"Saya tak nampak apa istimewanya kemasukan Ezam. Pada saya kemasukan biasalah. Tetapi dia (Ezam) yang tidak biasa, ada rekod. Kita kena teliti secara halus dan semasak-masaknya," katanya kepada pemberita selepas merasmikan Mesyuarat Tahunan Persatuan Pesara Negeri Johor di sini, hari ini.
Muhyiddin yang juga Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri berkata, demikian sebagai mengulas permohonan kemasukan Mohamad Ezam dan beberapa pemimpin Pemuda PKR yang lain yang diserahkan kepada Perdana Menteri Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi baru-baru ini.
Menurutnya, beliau mendengar terdapat anggota parti yang berasa tidak senang dan kurang selesa tentang betapa mudahnya Umno menerima kembali Mohamad Ezam, yang juga merupakan bekas setiausaha politik kepada bekas Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, tanpa sebarang usaha menyelidik latar belakang beliau.
Katanya, peraturan dan prosedur dalam perlembagaan Umno perlu dipatuhi sebelum seseorang yang telah keluar daripada Umno dan menentang parti, diterima kembali ke dalam parti.
Prosedur kemasukan ke dalam parti bagi mereka yang telah keluar parti adalah berlainan dengan mereka yang baru mahu memasuki Umno, katanya.
"Ia berbeza dengan orang baru di kampungkampung, berbanding dengan orang yang keluar masuk parti dan menentang (Umno). Ada prosedur dan caranya. Bukan lulus sewenang-wenangnya.
"Ada anggota yang kata mereka kecewa kerana mereka sudah lama berjuang dan tidak pernah sedetik sesaat pun meninggalkan parti, tetapi mereka tidak diberikan layanan sebegitu istimewa, itu yang saya dengar," kata Muhyiddin.
Kata beliau, untuk memasuki Umno adalah mudah iaitu dengan menghantar borang permohonan keanggotaan kepada ketua cawangan."Orang yang sudah keluar dari parti, sepatutnya mereka pergi ke cawangan dan serah (borang permohonan) kepada ketua cawangan," katanya.
Ditanya dakwaan bahawa Mohamad Ezam merupakan "Trojan Horse" bagi pihak pembangkang, beliau berkata, adalah tidak baik untuk mempunyai perasaan syak wasangka di kalangan sesama Islam tetapi pada masa yang sama, Umno juga perlu berhati-hati.
Mengenai kenyataan Mohamad Ezam bahawa beliau ikhlas untuk menyertai semula Umno, Muhyiddin berkata, beliau sememang berharap bekas Ketua Angkatan Muda Parti Keadilan Rakyat (PKR) itu ikhlas dalam permohonannya itu.
"Saya harap dia ikhlas, tetapi ikhlas mana pun dia ada rekod. Ada prosedur yang perlu dipatuhi supaya kita dapat mengawal keahlian kita di dalam keadaan yang baik," katanya. BERNAMA