Dilema Andaikata Kadar Tambang Bas Dinaikkan 100%

Nukilan Khairul Faizi bin Ahmad Kamil | 5/29/2008 09:31:00 AM | 3 Pandangan »

Saya telah membaca berita tentang permohonan PMBOA sejak daripada semalam dalam ruangan Berita Harian Online yang memohon agar kerajaan menaikkan kadar tambang sebanyak 100 peratus diseluruh negara. Hujahnya agak kuat iaitu harga minyak telah naik dan kos alat ganti sudah melambung tinggi.
.
Sebagai pengguna setia bas ekspres, saya dapat memahami masalah yang dihadapi oleh PMBOA ini yang pastinya sekiranya masalah mereka ini tidak diatasi maka pengusaha-pengusaha bas diseluruh Malaysia akan 'tutup kedai'.
.
Walau bagaimanapun, dalam meneliti perkara ini, terdapat dua pihak yang saya fikirkan akan terkesan iaitu pengusaha dan pengguna.
.
Saya berikan contoh, kadar tambang bas ekspres daripada Kluang ke Kuala Lumpur ialah RM 19.30 sehala manakala daripada Kluang ke Johor Bahru ialah RM7.50 sehala.
.
Bermakna, setiap kali saya ke KL setiap minggu kos tambangnya adalah RM 38.60 sahaja dan kos tambang saya berulang alik ke JB adalah RM 15.00 sahaja.
.
Sekiranya permohonan PMBOA ini diluluskan bermakna kos untuk saya ke KL meningkat kepada RM 77.20 manakala kos untuk berulang alik ke JB adalah RM 30.00. Dalam tempoh sebulan kos perjalanan saya ke KL meningkat kepada RM 308.80 berbanding sebelum ini RM 154.40.
.
Sebagai pengguna bas ekspres, sudah tentu ia akan menjadi satu bebanan terbaru dalam hidup saya dan pengguna setia yang lain. Dengan kadar baru daripada tuntutan PMBOA ini akan meringankan bebanan kepada pengusaha bas tetapi menambahkan bebanan baru kepada penggunanya.
.
Saya melihat bahawa permohonan ini perlu diambil kira dengan sewajarnya. Saya merasakan bahawa kos tambang untuk dinaikkan perlu diterima dengan beberapa pindaan ataupun penambahbaikan.
  • Kadar tambang dinaikkan tidak sampai ke peringkat 100 % tetapi sekadar 10-20 % sahaja, bergantung kepada jarak perjalanan bas.
  • Subsidi minyak perlu diberikan atau ditambah oleh kerajaan.
  • Kos alat ganti kenderaan diberikan subsidi oleh kerajaan.
  • Perkhidmatan bas dipertingkatkan termasuk keselesaan dalam bas dan keselamatan penumpang.
Paling penting, keputusan tersebut tidak membebankan kedua-dua pihak. Jika nak ikutkan hati, memang saya membantah kenaikan kadar kos tambang ini tetapi realitinya kos pada hari ini sememangnya semakin meningkat.
.
Khairul Faizi Bin Ahmad Kamil
Exco Dewan Pemuda PAS Pusat
29 Mei 2008, 9.59 pagi.
--------------------------------------------
Pengusaha bas minta naik tambang
Oleh Amin Ridzuan Ishak

.
KUALA LUMPUR: Persatuan Pengusaha Bas Seluruh Malaysia (PMBOA) memohon untuk menaikkan kadar tambang bas ekspres dan bas berhenti-henti di seluruh negara sebanyak 100 peratus bagi menampung peningkatan kos operasi serta alat ganti.
.
Presiden PMBOA, Datuk Ashfar Ali, berkata pihaknya sudah mengemukakan permohonan itu kepada Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi, Datuk Noh Omar, berikutan peningkatan mendadak harga diesel dan alat ganti.
.
"Kali terakhir kerajaan mengumumkan kenaikan tambang bas ekspres dan bas berhenti-henti adalah pada 1 Mei 2005 sedangkan harga diesel sudah dinaikkan tiga kali, manakala kos alat ganti pula semakin bertambah," katanya pada sidang media, di sini, semalam.
.
Mengikut cadangan PMBOA, tambang bas ekspres berhawa dingin di Semenanjung perlu dinaikkan kepada 15 sen untuk jarak satu kilometer (km) berbanding 6.5 sen setiap km kadar sekarang.
.
Bagi perkhidmatan bas ekspres tanpa penghawa dingin pula, PMBOA memohon kenaikan tambang sebanyak 10 sen setiap kilometer berbanding 5.5 sen yang dikenakan ketika ini.
.
"Bagi bas berhenti-henti berhawa dingin, kami meminta kenaikan tambang kepada RM1.50 untuk setiap km dan 20 sen bagi setiap km berikutnya berbanding kadar sekarang iaitu masing-masing 72 sen dan 7.2 sen.
.
"Bagi bas berhenti-henti tanpa pendingin hawa, kami memohon tambangnya dinaikkan kepada RM1 untuk setiap dua km pertama dan 15 sen bagi setiap km berikutnya berbanding kadar sekarang iaitu masing-masing 48 sen dan tujuh sen.
.
"Bagi laluan berbukit pula, kami memohon supaya dibenarkan caj tambahan sebanyak 20 peratus lagi daripada kenaikan itu," katanya.
.
Ashfar berkata, bagi pengusaha di Sarawak, PMBOA mahu kadar tambang bagi bas ekspres berhawa dingin dinaikkan kepada 22 sen bagi km pertama berbanding 11 sen ketika ini di Sabah, ia dinaikkan daripada 10 sen kepada 20 sen untuk jarak yang sama.
.
"Bagi bas ekspres tanpa penghawa dingin di Sabah, kadar kenaikan tambang yang dicadangkan adalah 15 sen bagi kilometer pertama berbanding 8.5 sen ketika ini.
.
Bagaimanapun tiada jumlah ditetapkan untuk Sarawak," katanya.
.
Bagi bas berhenti-henti tanpa penghawa dingin di Sarawak, pihaknya mencadangkan tambang lima km pertama dinaikkan kepada RM1.20 dan 15 sen bagi setiap km berikutnya manakala bagi yang berhawa dingin, masing-masing diminta dinaikkan kepada RM1.50 dan 20 sen untuk jarak sama.
.
Di Sabah pula, PMBOA memohon tambang bas berhenti-henti berhawa dingin dinaikkan kepada RM1.50 bagi dua km dan 20 sen bagi setiap km berikutnya manakala yang tidak berhawa dingin, kadar dicadangkan adalah masing-masing RM1 dan 15 sen untuk jarak laluan sama.
.
Selain itu, PMBOA memohon supaya kerajaan menaikkan 30 peratus kadar tambang bas mini daripada masing-masing 80 sen kepada RM1.10 untuk yang berhawa dingin dan daripada 70 sen kepada RM1 bagi yang tidak berhawa dingin.
.
PMBOA turut meminta Lembaga Pelesenan Kenderaan Perdagangan (LPKP) mengehadkan pemberian permit bas bagi mengelak ia menjejaskan lagi pendapatan pengusaha bas sedia ada.
.
Ashfar berkata, pengusaha mendapati kenaikan tambang yang diumumkan pada 2005 bukan saja gagal membantu mereka meningkatkan keuntungan, malah tidak cukup untuk menampung kos operasi masing-masing.
.
"Akibatnya, banyak syarikat yang terpaksa gulung tikar dan satu daripada langkah yang boleh dilaksanakan untuk mengatasi masalah itu ialah jika kerajaan membenarkan kami menaikkan kadar tambang perkhidmatan.
.
"Kami bukannya mahu menyusahkan pengguna atau mengambil kesempatan daripada kenaikan harga minyak tetapi jika keadaan terus begini, kita bimbang tidak mampu memberikan perkhidmatan dan akhirnya ia akan membebankan orang ramai," katanya.

3 Pandangan

  1. Hasbullah Pit // May 29, 2008 at 12:57 PM  

    Tindakan PMBOA bagi saya agak tidak bersesuaian dengan keadaan semasa yang memerlukan kawalan inflasi bukannya meningkatkan inflasi.

    Dia tak patut minta tambang dinaikkan, tai lebih fokus kepada minta subsidi.

    Pengusaha bas ekspress perlu utamakan keselamatan penumpang, bukan berlumba macam bas KKKL.

    subsidi untuk bas sekolah dan bas lompat perlu dinaikkan.

    Bas ekspress nanti dulu.
    Rakyat perlukan komitmen pengusaha bas ekspress untuk menjaga keselamatan, baru boleh runding kenaikan tambang.

    Aku takut kalau paklah bermurah sangat.

  2. abe MIE 'TERJAH' // May 31, 2008 at 11:30 PM  

    salam...

    tambang bas naik...tak payah naik bas. naik unta. tapi kat malaysia tak sesuai.

    patutlah PKR nak buat PROJEK KHINZIR RAKSAKSA sebab nak suruh kita naik belakang babi- jimat minyak.

    apa susah sangat...

    pkrpasdap.blogspot.com

  3. Maryam // June 1, 2008 at 7:56 AM  

    tambang bas dari KL ke pantai timur satu hala dah RM30.80. kalau harga naik 100%, pasti saya terpaksa fikir 10x untuk balik kampung. mungkin kena belajar intai peluang air asia -- everyone can fly.