Sokongan Terhadap Keputusan Jawatankuasa Kabinet Menangani Infliasi

Nukilan Khairul Faizi bin Ahmad Kamil | 5/27/2008 09:14:00 AM | 3 Pandangan »


Saya menyokong keputusan Jawatankuasa Kabinet Menangani Inflasi untuk tidak membenarkan kenderaan yang didaftarkan di luar negara terutamanya di Singapura dan Thailand membeli petrol atau diesel di mana-mana stesyen minyak yang terletak di dalam lingkungan 30 km hingga 50 km daripada sempadan Malaysia-Singapura dan Malaysia-Thailand.

Tidak dapat dinafikan bahawa di sekitar bandar Johor Bahru, terdapat kemasukan kenderaan daripada Singapura adalah untuk mengisi penuh tangki minyak kenderaan mereka dan selepas itu pulang semula ke Singapura.

Namun, beberapa faktor juga perlu diambil kira daripada keputusan ini. Kita tidak dapat menafikan bahawa terdapat juga warga Sngapura yang datang ke Malaysia untuk urusan perniagaan atau urusan-urusan yang penting. Begitu juga, terdapat warga Malaysia yang menggunakan kenderaan yang didaftarkan di Singapura.

Di Tambak Johor, setiap hari dapat dilihat beribu-ribu rakyat Malaysia yang menyeberangi tambak ini untuk mencari rezeki dan terdapat di kalangan mereka yang menggunakan kenderaan yang didaftarkan di Singapura terutamanya motosikal.

Menghalang mereka untuk mengisi tangki minyak akan menyukarkan mereka untuk berulang-alik ke Singapura. Saya mencadangkan agar satu mekanisme perlu diwujudkan agar rakyat Malaysia yang menggunakan kenderaan yang didaftarkan di Singapura tidak mengalami kesukaran disebabkan keputusan kerajaan ini.

Mungkin satu kad khas ataupun dengan menunjukkan kad pengenalan dapat memberikan kelonggaran kepada tuan punya kenderaan untuk mengisi minyak.

Kepada warga Singapura yang datang ke Johor Bahru untuk urusan tertentu, hanya sekadar beberapa liter sahaja yang dihadkan kepada mereka sekiranya ingin membeli petrol.

Apapun, keputusan kerajaan ini diharapkan dapat mengatasi masalah subsidi minyak yang tidak sepatutnya dinikmati oleh warga negara jiran.

Khairul Faizi Bin Ahmad Kamil
Ketua Dewan Pemuda PAS Negeri Johor
27 Mei 2008, 9.40 pagi

----------------------------------------
Kenderaan asing tak boleh beli minyak sekitar kawasan sempadan - Berita Harian Online

KUALA LUMPUR: Mulai Jumaat ini, semua stesen minyak terletak dalam lingkungan 50 kilometer (km) dari sempadan negara tidak lagi dibenarkan menjual petrol atau diesel kepada kenderaan yang didaftarkan di luar negara. Larangan itu membabitkan semua stesen minyak dalam lingkungan jarak 30 hingga 50km dari sempadan Malaysia-Thailand di Perlis, Kedah, utara Perak dan Kelantan serta Malaysia-Singapura iaitu di beberapa daerah di Johor termasuk Kulai dan Johor Bahru.

Arahan bertulis mengenai larangan itu, dibuat mengikut Akta Kawalan Bekalan 1961, akan dikeluarkan kepada kira-kira 200 hingga 300 pemilik stesen minyak yang terletak di kawasan berkenaan, dalam masa terdekat.

Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna, Datuk Shahrir Samad, berkata keputusan itu dicapai dalam mesyuarat Jawatankuasa Kabinet Menangani Inflasi yang dipengerusikan Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak, semalam.

"Apabila dilaksanakan sepenuhnya, kementerian juga akan menempatkan pegawainya di setiap stesen yang terbabit untuk memantau pematuhan arahan itu dan mengambil tindakan tegas terhadap pengusaha yang ingkar.

"Pengusaha yang didapati melanggar arahan itu boleh dikenakan denda sehingga RM250,000 atau tiga tahun penjara atau kedua-duanya, manakala individu yang berkenaan pula boleh didenda sehingga RM100,000," katanya ketika ditemui selepas mesyuarat itu di Parlimen, semalam.

Shahrir berkata, tindakan itu diambil kerana kerajaan mahu mencegah terlalu banyak kenderaan dari negara jiran datang membeli petrol dan diesel di negara ini, sekali gus menikmati subsidi yang sepatutnya diberikan kepada rakyat tempatan.

"Semua stesen minyak yang terletak berhampiran sempadan negara dilarang sama sekali menjual walau setitik pun sebarang jenis bahan bakar kepada kenderaan yang didaftarkan di negara asing.

"Saya menggunakan Akta Kawalan Bekalan untuk memberi arahan dan mencegah stesen minyak tertentu dalam kawasan 30 hingga 50km dari sempadan utara dan selatan, menjual petrol dan diesel kepada kenderaan asing berkuat kuasa Jumaat ini," katanya.

Shahrir berkata, larangan itu akan berkuat kuasa sehingga pihaknya dapat menentukan sistem pengurusan subsidi bahan api yang sesuai, sekali gus menyekat pihak tertentu daripada cuba mengambil kesempatan.

Katanya, usaha itu adalah langkah tegas kerajaan untuk membantu mengurangkan ketirisan subsidi kerajaan yang membabitkan kos tinggi dan seharusnya dinikmati rakyat negara ini khususnya golongan berpendapatan rendah.

Beliau bagaimanapun berkata, kementerian membenarkan pelawat atau pelancong asing yang datang ke Malaysia dengan kenderaan masing-masing membeli bahan bakar itu di stesen minyak di luar lingkungan kawasan ditetapkan.

"Kenderaan asing kena datang (Malaysia) dengan tangki penuh, cukup hendak balik (negara mereka), tetapi kalau hendak datang melawat sehingga lebih 50km, mereka masih boleh beli dari stesen di luar kawasan sempadan ini," katanya.

Sementara itu, mengulas cadangan Gabungan Persatuan Pengguna Malaysia (Fomca) supaya pemberian subsidi petrol dilakukan mengikut kuasa enjin kereta (cc), Shahrir berkata, pihaknya turut mengambil kira cadangan itu dan sedang mengkaji mekanisme sesuai.

Antara yang diambil kira ialah latar belakang pemilik kenderaan bagi mengenal pasti sama ada mereka layak menerima subsidi itu.

"Subsidi ini akan melihat kepada kenderaan, ia tidak akan diberikan kepada kenderaan mewah dengan kapasiti enjin besar. "Aspek ini akan diambil kira dalam pembentukan sistem pengurusan subsidi, iaitu fokus kepada mereka yang berpendapatan rendah.

Kalau kereta kecil, maknanya layak terima bantuan, begitu juga berapa banyak kenderaan yang dimiliki," katanya.

3 Pandangan

  1. Hasbullah Pit // May 27, 2008 at 11:56 AM  

    Tak terfikir lak tentang rakyat Malaysia yang guna kenderaan Singapura

  2. hamba Allah // May 27, 2008 at 12:49 PM  

    Saya seorang rakyat Singapura yang bekerja di Singapura tetapi beristrikan orang Malaysia. Tinggal di Malaysia dan anak2 juga rakyat Malaysia. Hasil gaji setiap bulan kerja di Singapura tentulah di belanjakan di Malaysia. Saya rasa ada cara lebih baik untuk menyelesaikan perkara ini. Umpamanya, kenderaan asing yang mengisi minyak di kenakan cukai tambahan. Orang seperti saya dan rakyat Malaysia yang kerja di Singapura berkenderaan Singapura akan terjejas teruk sedangkan kita juga menyumbang pada ekonomi negara Malaysia. Seperkara lagi, saya rasa ekonomi Johor akan terjejas jika perkara ini berterusan. Masih banyak cara penyelesaian. Jika kenderaan Singapura, mengisi minyak, mereka juga pasti berbelanja, makan dan minum. Bermakna, bukan jalan sehala saja tapi mereka juga menyuburkan ekonomi Johor. Lihatlah Johor dan bandingkan dengan Kedah, Perlis umpamanya. Keadaan yang berbeza. Jadi diharap, kerajaan dapat menimbangkan keputusan yang dibuat dan segera mencari penyelesaian yang lebih sesuai

  3. Hasbullah Pit // May 27, 2008 at 4:01 PM  

    Aku akui cadangan Langkah Shahrir Samad itu agak radikal, akan tetapi saya ada cadangan baru.

    http://sebolku.blogspot.com/2008/05/beri-peluang-rakyat-singapura-membeli.html