Berita Daripada Harakahdaily : Muzakarah PAS - UMNO

Nukilan Khairul Faizi bin Ahmad Kamil | 7/29/2008 11:12:00 PM | 0 Pandangan »

Isu muzakarah-muqabalah: Ahli akar umbi mula gusar
Roy Rasul Tue Jul 29, 08 5:16:24 pm MYT


KUALA LUMPUR, 29 Julai (Hrkh) - Majoriti pemimpin PAS negeri dan kawasan begitu gusar dengan perkembangan dan kenyataan pemimpin PAS berhubung isu muzakarah atau muqabalah PAS dan Umno yang hangat diperkatakan sekarang.
Iklan

Mereka bimbang isu berkenaan bakal mengundang salah faham dan tanggapan di kalangan ahli dan penyokong parti atas pelbagai pandangan pemimpin PAS yang terdedah kepada eksploitasi media.

Ketua Pemuda PAS Johor, Khairul Faizi Ahmad Kamil berkata ramai yang menyuarakan pandangan terutamanya di peringkat bawah mula berasa takut berhubung muzakarah PAS dan Umno.

Malah katanya, keresahan ini turut dicurigai Kelab Penyokong PAS apabila mereka mendengar berlakunya perbincangan mengenai muzakarah ataupun istilah baru muqabalah.

"Contohnya semasa saya ke Perak baru-baru ini kelab penyokong persoalkan kenapa PAS perlu bertemu dengan Umno sedangkan selama ini mereka lebih percayakan PAS," katanya semasa dihubungi Harakahdaily hari ini.

Bukan itu saja katanya, malah ada ahli-ahli yang mengugut mahu keluar parti gara-gara isu muzakarah tersebut.

Beliau berkata, isu muzakarah menampakkan Umno lebih menggembar-gemburnya.

Tambahan pula dakwanya, ia menjadi senjata untuk memecah-belahkan perpaduan dalam PAS.

Sehubungan itu, beliau berharap isu muzakarah hendaklah dihenti.

Katanya, biarlah Muktamar PAS ke-54 yang akan berlangsung pertengahan Ogos depan menjadi medan untuk perwakilan membincangkannya.

"Jika mereka mahu timbulkan isu ini dalam muktamar ini mereka membuat keputusan sama ada mahu meneruskan ataupun sebaliknya.

Sementara itu, Yang diPertua PAS (YDP) kawasan Batu, Ishak Surin berkata, secara umumnya beliau melihat ahli PAS tidak setuju sama ada muzakarah atau muqabalah kerana ia boleh menjerat PAS.

"Saya minta pemimpin PAS henti sama sekali dan bincanglah dalam muktamar di Perak nanti," katanya kepada Harakahdaily sebentar tadi.

Beliau berkata, perkara ini juga dikhuatiri akan mencemarkan nama parti.

"Saya harap kita semua membuat keputusan di muktamar kerana ini adalah isu besar dan sangat serius," katanya.

Apatah lagi katanya, orang-orang di peringkat pertengahan sepertinya selalu berdepan dengan rakyat.

Lebih-lebih lagi katanya, PAS sendiri mula dapat sokongan daripada orang bukan Islam.

"Ini yang penting dan kita sebenarnya boleh berdiri sendiri di atas sokongan rakyat yang terdiri dari pelbagai bangsa dan agama.

"Takkanlah begitu mudah PAS mahu bermuzakarah dengan Umno sedangkan sekarang ini PAS sudah jauh melangkah ke depan untuk maju seiring dengan sokongan padu daripada rakyat jelata," katanya.

Katanya, ini juga selari dengan sokongan rakyat terhadap perjuangan PAS yang berlandaskan Islam.

Dalam pada itu, seorang pesara dari Setiu, Terengganu, Che Man Che Mud yang menghubungi Harakahdaily pagi tadi menyifatkan tindakan bermuzarakah dengan Umno kurang profesional.

"Nampaknya apabila Umno sudah tenat barulah mereka hendak berbincang dengan PAS.

"Ini menjejaskan keyakinan ahli-ahli dan penyokong-penyokong PAS kerana tidak semua rakyat bersetuju langkah tersebut.

"Kita risau Umno hanya berlembut dalam keadaan mereka lemas tetapi selepas PAS menolong mereka akan menggigit kita pula," katanya.

Tambahan pula katanya, setelah penat penyokong parti bekerja dengan mudah pula pimpinan membuka ruang untuk Umno bermuzakarah.

Katanya, ini yang meragukan semua pihak.

Sementara itu, Timbalan Ketua Muslimat PAS, Selangor, Noraini Husain berkata, dalam suasana sekarang seeloknya muzakarah tersebut ditangguhkan.

Ini katanya, Umno sememangnya mencari kesempatan untuk mengeksloitasi segala isu yang timbul dan ini akan menyebabkan sokongan terhadap Pakatan Rakyat menjadi semakin goyah.

"Jika dilihat dalam suasana sekarang ia menyebabkan hubungan PAS dan Pakatan Rakyat akan renggang," katanya kepada Harakahdaily.

Katanya, walaupun muzakarah bukan ke arah pembentukkan permuafakatan di antara PAS dan Umno, keputusannya hendaklah diputuskan dalam muktamar nanti.

Bagaimanapun, beliau tidak menafikan pimpinan atas lebih nampak kesan dan akibatnya mengenai muzakarah tersebut.

Dalam pada itu, Timbalan Ketua Muslimat PAS Pahang, Salamiah Mohd Noor berpandangan semua pihak harus memahami usaha yang mahu dilakukan pucuk pimpinan tertinggi parti.

"Kita sangat percaya kepada pimpinan dan muzakarah itu diputuskan oleh Majlis Syura.

"Jadi saya mengambil sikap bahawa kita memberikan keyakinan dan kepercayaan terhadap keputusan yang dibuat oleh kepimpinan kita," katanya semasa dihubungi pagi tadi.

Dengan itu katanya, sebagai ahli bawah beliau mengikuti perkembangan dari semasa ke semasa untuk memastikan sumber yang sampai itu betul.

"Kita sangat bimbang berita-berita yang disampaikan itu dimanipulasi oleh pihak tertentu," katanya.

Menurutnya, sumber itu ada masanya apabila sampai kepada orang bawah, sumbernya tidak betul.

Ini katanya, ada dakwaan sehingga kepimpinan tertinggi PAS mahu masuk Umno dan sebagainya.

Katanya, muzakarah itu bukan mahu mengubah dasar parti dan apabila Umno menerima muzakarah tersebut ahli PAS tidak perlu melatah sebaliknya serah kepada pucuk pimpinan. - mks. _

0 Pandangan