Keputusan Terbaik Untuk Masa Depan PAS dan Pakatan Rakyat

Nukilan Khairul Faizi bin Ahmad Kamil | 7/31/2008 05:51:00 PM | 0 Pandangan »

Alhamdulillah, PAS telah berjaya mengambil satu keputusan yang terbaik di dalam menangani isu muzakarah yang telah menjadi topik utama perbicangan sejak beberapa minggu ini. Keputusan menolak kerjasama dengan BN dalam membentuk kerajaan sama ada di peringkat pusat atau negeri ini sudah tentu melegakan para ahli dan penyokong yang telah dilanda sindrom kebimbangan yang teramat sangat dengan cakap-cakap bahawa ada kemungkinan PAS dan UMNO akan bergabung dan seumpamanya.

Semalam saya berceramah di Johor Bahru dan kelmarinnya di Taman Sri Lambak di Parlimen Semberong. Fokus ceramah saya berkisar tentang perkara yang sama iaitu berkaitan dengan sejarah PAS ditubuhkan, matlamatnya, dasarnya, rujukannya dan peranan PAS dalam membela agama Islam.
Saya memfokuskan bagaimana PAS di Johor telah melalui pelbagai peristiwa yang manis dan pahit sehingga PAS di Johor berjaya memenangi dua kerusi DUN di dalam pilihanraya umum ke 12. Sejarah juga memperlihatkan bagaimana PAS begitu teruk ditekan dan dihina, ahli-ahli PAS di Johor ada yang dihalau daripada kampung halaman kerana menyertai PAS.

Saya juga berkongsi dengan para tetamu bagaimana peristiwa PAS ditendang daripada BN. Hari Sabtu yang lalu, saya berkesempatan bertemu dengan Dr Sanusi Daeng Mariok (Pak Daeng) dan beliau memberitahu kepada saya bahawa beliau adalah di antara tiga pemimpin PAS yang dilantik untuk berada di dalam mesyuarat Barisan Nasional selain daripada Allahyarham Datuk Asri dan Allahyarham Ust Abu Bakar.
Pada hari terakhir mesyuarat BN yang diadakan di bangunan UMNO Jalan Tuanku Abdul Rahman, KL, PAS mesyuarat BN telah memutuskan PAS dikeluarkan daripada BN. Bukan sahaja pimpinan komponen BN memandang hina kepada pimpinan PAS tersebut malah wartawan yang hadir juga turut mengambil peranan mencemuh PAS.

Sejarah tersebut cukup dirasai oleh Pak Daeng sendiri sehingga Pak Daeng mengingatkan agar pimpinan PAS mengambil kira sejarah ini dan Pak Daeng juga mengingatkan agar pimpinan PAS tidak mudah 'terpesona dengan kilauan warna-warna' yang ditawarkan oleh BN.

Saya yakin dan percaya bahawa keputusan kepimpinan PAS Pusat ini akan memberikan satu semangat baru kepada seluruh ahli PAS dan para penyokong PAS serta ali Kelab Penyokong PAS yang ada.

Sebagai anak muda di dalam perjuangan PAS ini, saya mengharapkan agar pimpinan PAS akan berlapang dada dengan keputusan yang telah diambil dan "buang yang keruh, ambil yang jernih" bagi memperkukuhkan saf kepimpinan dan perjuangan ini.

Allahu Akbar! Allahu Akbar! Allahu Akbar!
------------------------------------------------

PAS tolak kerjasama dengan BN bentuk kerajaan - Presiden PAS - Harakahdaily
Nyza Ayob dan Intan Abdullah Thu Jul 31, 08 4:34:28 pm MYT




KUALA LUMPUR, 31 Julai (Hrkh) - PAS menolak mengadakan sebarang rundingan dengan Barisan Nasional (BN) bagi mewujudkan kerajaan sama ada di peringkat pusat atau negeri.

Presiden PAS, Dato' Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang berkata sebarang tawaran untuk mewujudkan kerjasama politik tidak lagi berbangkit.
"PAS akan terus terbuka untuk mengadakan sebarang perbincangan dengan parti-parti politik, badan bukan kerajaan, institusi ataupun mana-mana individu demi kepentingan agama dan rakyat," ujarnya dalam sidang media di Pejabat Agung PAS, Jalan Raja Laut hari ini.

PAS mengulangi pendiriannya untuk terus kekal bersama pakatan Rakyat dan akan memainkan peranan aktif dan positif termasuk perjuangan bersama untuk membuat perubahan.
"Kita mengajak ahli-ahli parlimen BN untuk menyertai Pakatan Rakyat untuk sama-sama sokong dan dokong perubahan yang hendak dilaksanakan," katanya.
Ditanya mengenai tindakan yang akan diambil oleh parti tersebut terhadap mana-mana pimpinan yang mengadakan pertemuan sulit dengan BN, katanya, "tiada yang sulit lagi, kita mengatakan boleh mengadakan pertemuan dengan syarat ia dimaklumkan kepada parti."
PAS juga katanya menghargai sokongan bukan Islam dan mereka akan diberikan peranan lebih pada masa akan datang dalam arena politik bersama PAS.
Dalam pada itu, Ustaz Abdul Hadi turut menyatakan bahawa pihaknya turut menyatakan sokongan dalam isu Penasihat KeADILan, Dato' Seri Anwar Ibrahim.
"Isu tersebut hendaklah diselesaikan mengikut syariat Islam, berdasarkan perlembagaan 121 yakni kes yang berkaitan dengan agama Islam hendaklah dirujuk kepada Mahkamah Syariah.
"Saya tidak mahu isu ini dipolitikkan. Kalau sekiranya ia tidak boleh (dirujuk kepada mahkamah syariah) Umno kena buat perubahan.
"Ya, saya membela siapa yang kena zalim termasuk Dato' Seri Anwar," ujarnya.
Sidang media tersebut diadakan sebaik selesai Mesyuarat Jawatankuasa Kerja PAS yang dibuat secara bulanan, dengan turut dihadiri Majlis Syura Ulama' yang dipengerusikan Ustaz Abdul Hadi.
Turut serta dalam mesyuarat tersebut ialah Musyidul Am PAS, Tuan Guru Dato' Nik Abdul Aziz Nik Mat, kata Setiausaha Agung PAS, Dato' Kamarudin Jaffar dalam sidang media tersebut.

Hadir sama, Ketua Muslimat PAS, Ustazah Nuridah salleh. - mns_

-----------------------------------------------------------

Tiada k'jaan campuran PAS-Umno - Malaysiakini
Abdul Rahim Sabri Jul 31, 08 12:12pm

kemaskini 5:58pm PAS menolak sebarang kerjasama dengan Umno atau BN bagi membentuk kerajaan campuran sama ada di peringkat negeri atau pusat, kata presidennya Datuk Seri Abdul Hadi Awang.

"Oleh itu, itu sebarang tawaran daripada Umno untuk mewujudkan kerajaan bersama di semua peringkat tidak lagi berbangkit," katanya.

Keputusan itu dicapai selepas pertemuan khas hampir lima jam barisan pemimpin tertinggi PAS bagi meredakan kehangatan kontroversi rundingan sulit dengan Umno sejak beberapa minggu, khususnya selepas pengakuan Abdul Hadi awal bulan ini.

Mesyuarat dua badan tertinggi parti itu - jawatankuasa pusat dan majlis syura ulama - melibatkan hampir 50 pemimpin parti, termasuk mursyidul amnya Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat dan semua wakil PAS yang bertemu perdana menteri Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi. Pertemuan yang bermula jam 10 pagi diadakan di ibu pejabat PAS di Kuala Lumpur.

Dalam sidang media selepas mesyuarat besar itu, Abdul Hadi juga berkata PAS akan terus memainkan peranan aktif bersama Pakatan Rakyat dan "mengajak ahli-ahli Parlimen Umno menyertai gabungan itu, khususnya bersama PAS atau PKR."

Abdul Hadi - yang mengakui memberi restu pada rundingan sulit dengan Abdullah dan bekas menteri besar Selangor Datuk Seri Dr Mohamad Khir Toyo, beberapa selepas pilihanraya umum 8 Mac - berkata PAS masih terbuka kepada sebarang perbincangan dengan mana-mana pihak, termasuk Umno.

"PAS akan terus terbuka untuk mengadakan perbincangan dengan semua pihak termasuk parti-parti politik, pertubuhan bukan kerajaan (NGO), institusi dan individu demi untuk kepentingan negara dan ummah," katanya lagi.

Pertemuan pertama seumpamanya itu diadakan selepas cadangan kontroversi Nik Abdul Aziz agar dua parti itu dibubarkan jika serius mahu bekerjasama dan Umno harus menerima pelaksanaan hudud jika mahu teruskan dialog. Ia juga diadakan selepas wujud tawaran terbuka Umno Perak untuk membentuk kerajaan campuran di negeri itu.

Siri pendedahan media tentang rundingan tertutup PAS-Umno mutakhir ini mendorong ketua penerangan PAS Mahfuz Omar mohon maaf secara terbuka awal minggu ini kerana pernah menafikan pertemuan sulit dua parti itu.

Isu perkongsian kuasa disahkan sendiri oleh perdana menteri dan Dr Mohamad Khir walaupun PAS dan pembangkang menganggap ia usaha Umno memecah-belahkan sokongan terhadap Pakatan Rakyat.

Kehangatan perbincangan isu ini mendorong kira-kira 50 wartawan dan jurugambar bergegas ke bangunan di Jalan Raja Laut menunggu keputusan terbaru PAS.

Turut hadir di sidang media itu, setiausaha agung PAS Datuk Kamarudin Jaafar dan ketua Muslimat, Nuridah Salleh (foto atas).Mengulas sama ada muqabalah dengan Umno akan diteruskan, presiden PAS berkata:

"Saya dah sebut tadi pertemuan (perbincangan). Yang kita tidak khususkan kepada Umno, tapi semua parti-parti politik dan NGO. Ini amalan PAS sejak dulu hingga sekarang."

Ditanya tindakan yang akan diambil kepada mana-mana pimpinan yang mungkin mengadakan pertemuan secara sulit dengan Umno pada masa depan, beliau berkata:

"Tidak ada sulit lagi. Kita menyatakan boleh diadakan pertemuan. Dan pertemuan ini sudah tentu akan dimaklumkan kepada parti. dan selama ini pun dimaklumkan kepada parti."

Abdul Hadi, yang juga ahli parlimen Marang, menjelaskan PAS akan membela sesiapa sahaja termasuk ketua umum PKR Datuk Seri Anwar Ibrahim yang dituduh meliwat bekas pembantunya Mohd Saiful Bukhari Azlan.

Sehubungan itu, Abdul Hadi menggesa kes tokoh pembangkang itu diselesaikan di mahkamah syariah."PAS sebuah parti Islam tetap menyatakan bahawa isu tersebut hendaklah diselasaikan mengikut syariat Islam.

"Dan saya rujuk perkara kepada Perlembagaan (Persekutuan) Perkara 121 A1, kes yang berkaitan dengan orang Islam, harus dirujuk kepada mahkamah syariah. Sekiranya tidak boleh, Umno kena buat perubahan," katanya.

Mengulas kedudukan pengundi bukan Islam yang memberi sokongan parti itu dalam pilihanraya lalu, Abdul Hadi berkata PAS terus menghargai sokongan mereka dan bercadang memberikan lebih peranan dalam arena politik.

0 Pandangan