Tidak Pelik Tambang Bas Akan Naik

Nukilan Khairul Faizi bin Ahmad Kamil | 6/17/2008 07:34:00 AM | 0 Pandangan »


Saya pernah memberikan beberapa pandangan terhadap kemungkinan kenaikan harga tambang bas khususnya bas eksres sebelum ini. Dengan kenaikan harga minyak dan kos penyelenggaraan yang tinggi menyebabkan pengusaha bas semakin tertekan dengan situasi untuk memberikan perkhidmatan yang memuaskan kepada pengguna sedangkan dalam masa yang sama kos operasi semakin meningkat.

Datuk Saifuddin Abdullah, Timbalan Menteri Pembangunan Usahawan & Koperasi juga mengakui bahawa kenaikan harga minyak mempengaruhi kenaikan harga tambang.

Ketika kenaikan harga minyak 30 sen tahun 2006 dahulu, alasan yang diberikan termasuklah untuk meningkatkan perkhidmatan awam. Kenaikan baru-baru ini pun alasan meningkatkan perkhidmatan awam juga turut dinyatakan. Namun, mutu perkhidmatan awam tetap tidak ada banyak perbezaannya dan pemerintah tidak dapat membuktikannya.

Saya tidak rasa hairan kerana golongan pemerintah sememangnya hampir-hampir sukar untuk menggunakan perkhidmatan awam ini disebabkan mereka sudah ada kemudahan yang disediakan oleh kerajaan dan dibayar oleh rakyat, kenapa perlu mereka bersesak-sesak di Puduraya untuk menaiki bas seperti orang awam yang lain.

Masalah bas lewat, bas tidak sampai, masalah harga tiket naik melambung, masalah beli tiket lain tetapi bas yang dinaiki lain dan macam-macam lagi masalah yang berlaku ini, menteri, timbalan menteri hanya dapat maklumat daripada pegawai-pegawai yang ditugaskan oleh mereka.

Cuba sekali-sekali naik bas atau teksi untuk menghadiri aktiviti ataupun program yang telah disusun. Tidak perlulah selalu, cukuplah pada permulaan ini sebulan sekali naik bas ekspres daripada Kuala lumpur ke Johor Bahru. Kalau Johor Bahru ini tentulah Datuk Shahrir Samad menjadi pilihan saya.

Pergi ke Puduraya, beli tiket bas sendiri daripada 'kaki bas ekspres' yang akan melaungkan "JB, Penang sekarang jalan!" yang belum tentu akan bergerak pada masa yang ditetapkan, turun ke platform yang disediakan, tunggu bas yang silap-silap bas yang dinaiki tidak sama namanya seperti yang dicetak di atas tiket, bersesak-sesak dengan pelbagai jenis masyarakat dan golongan dalam suasana kepanasan, selepas itu ketika dalam perjalanan bas rosak ataupun tiba-tiba diarahkan turun kerana pertukaran bas yang lain pula.

Selepas itu tiba di Terminal bas Larkin, Datuk Shahrir bolehlah membuat sidang media tentang realiti sebenarnya perkhidmatan awam di dalam negara kita ini. Cadangan saya, Datuk Shahrir janganlah datang dengan memakai kot dan tali leher, pakailah seringkas mungkin supaya anda akan dilihat sebagai orang awam.

Berbalik kepada kisah tambang bas yang akan dinaikkan akhir tahun ini, saya tetap konsisten bahawa kenaikan tambang bas sebanyak 10-20 peratus akan berlaku memandangkan kerajaan sudahpun membuat keputusan menaikkan kadar harga minyak yang luar biasa baru-baru ini. Saya juga tidak bersetuju dengan cadangan persatuan pengusaha bas yang memohon kenaikan 100 peratus kadar tambang baru.

Saya melihat pengguna bas ekspres semakin bertambah akhir-akhir ini, sudah jarang-jarang bas yang bergerak tidak penuh penumpangnya. Semalam pun dalam perjalanan saya ke KL, bas Ekspres Satria berjaya menjual kesemua 27 tiket bas yang ditawarkan kepada 27 kerusi yang disediakan.

Jika tambang dinaikkan seratus peratus, saya bimbang keadaan akan menjadi lebih 'komplikated' kepada semua pihak. Pengguna akan berkurangan dan ba akan kembali kekosongan.

Walaupun Pakatan Rakyat sedang berusaha mendesak kerajaan untuk menurunkan harga minyak namun dengan kemampuan Pak Lah 'memekakkan telinga' tanpa menghiraukan masalah sebenar rakyat maka kita masih lagi bergelut dengan masalah kenaikan ini.

Justeru, rakyat perlulah bangkit dan menyokong Pakatan Rakyat dalam isu kenaikan harga minyak ini. Sokongan anda sangat diperlukan bukan sekadar untuk kebaikan kita tetapi untuk kebaikan generasi kita yang akan datang.

Khairul Faizi Bin Ahmad Kamil
Jalan Raja Laut, Kuala Lumpur
17 Jun 2008, 8.07 pagi.

----------------------------------------------------------------

Tambang semua jenis bas naik akhir tahun - Berita Harian Online
Oleh Johan Afandi

JOHOR BAHRU: Kenaikan harga tambang bagi semua jenis bas dijangka berlaku selewat-lewatnya akhir tahun ini, selepas kertas kajian mengenainya yang disediakan Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi dibentang kepada Kabinet dalam tempoh sebulan ini.

Timbalan Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi, Datuk Saiffudin Abdullah, berkata kajian yang kini pada peringkat akhir itu amat komprehensif merangkumi semua tuntutan pengusaha kenderaan selain kepentingan pengguna.

"Saya tidak menyatakan harga tambang bas akan dinaikkan. Terpulang kepada Kabinet membuat keputusan tetapi kertas kajian oleh kementerian komprehensif dan merangkumi isu membabitkan pengusaha dan pengguna.

"Sebenarnya, pengusaha bas sama ada sekolah, henti-henti dan ekspres sudah lama menuntut kenaikan tambang sebelum pengumuman mengenai kenaikan harga minyak lagi. Kali terakhir ia dinaikkan tiga tahun lalu,” katanya di sini, semalam.

Beliau berkata demikian ketika menghadiri Konvokesyen Pusat Pembangunan Kemahiran Johor (Puspatri) di Pusat Konvensyen Antarabangsa (Persada) Johor. Hadir sama, Ketua Pegawai Operasi Johor Corporation, Kamaruzzaman Abu Kassim dan Pengerusi Lembaga Pengarah Puspatri, Lukman Abu Bakar.

Saiffudin berkata, kos bahan api untuk semua jenis bas adalah 28 peratus hingga 32 peratus dan ia sudah pasti meningkat berikutan kenaikan harga minyak menyebabkan ramai pengusaha kerugian.

Beliau berkata, walaupun kerajaan memberikan subsidi diesel kepada pengusaha bas, kos operasi tetap meningkat berikutan kenaikan harga alat ganti.

"Bagaimanapun, sehingga Kabinet memutuskan tambang baru, tiada pengusaha mana-mana jenis bas boleh naikkan tambang," katanya. Selain itu, katanya, kementerian juga akan melakukan kajian terhadap tambang teksi selepas kajian mengenai tambang bas selesai.

Sementara itu, Saiffudin memberi jaminan peruntukan latihan untuk semua pusat kemahiran miliknya di seluruh negara, tidak akan dikurangkan dengan pengumuman kerajaan untuk menjimatkan perbelanjaan.

"Adalah amat penting kita terus menyalurkan peruntukan kemahiran bagi memastikan negara mempunyai tenaga kerja yang terlatih. Dalam Rancangan Malaysia Kesembilan (RMK-9), kementerian memperuntukkan RM99.5 juta untuk tujuan ini dan sehingga kini, RM52.5 juta sudah disalurkan pada 11 pusat latihan kemahiran seluruh negara," katanya.

0 Pandangan