Harga Ayam Baru RM 8 Sekilo, Apa Nak Kisah

Nukilan Khairul Faizi bin Ahmad Kamil | 6/17/2008 08:14:00 AM | 1 Pandangan »

Baru RM 8 sekilo YB Datuk Sharir, murah lagi tu. Importlah banyak-banyak ayam daripada luar, tentu akan ada pihak-pihak tertentu yang akan dapat komisyen daripada import ayam daripada Thailand.
.
Wahai YB Datuk Shahrir, kenapa harga ayam di Malaysia meningkat naik? Apa masalahnya? Sudah dibuat kajian dan penelitian? Harga makanan yam mahalkah? Pengangkutan naikkah? Atau penternak sudah kurang menternak ayamkah?
.
Bila semua perkara ini dilihat mempengaruhi harga pasaran di Malaysia sedangkan harga ayam di Thailand lebih murah maka apa yang Datuk perlu lakukan? Adakah begini caranya Datuk menangani masalah pengusaha dan penternak ayam di negara sendiri?
.
Sebelum ini, saya cukup kuat mengkritik Datuk Shafie Afdal kerana lemah dan lesu dalam menangani masalah pengguna. Bila kenaikan harga barang berlaku, jawapan beliau sudah dapat dibayangkan "Kami akan memantau..."
.
Bila harga minyak dinaikkan "Kami akan memantau kenaikan harga barang diseluruh negara". Itulah modal menteri di kemterian yang sekarang ini kini diketuai oleh Datuk Shahrir Samad.
.
Bila Pak Lah yang lemah melantik Datuk Shahrir, saya melihat ia adalah satu keputusan yang baik kerana Datuk Shahrir adala seorang pemimpin yang berani, tegas dan menyelami masalah akar umbi. Tetapi, bila sudah menjadi menteri, segala kehebatannya runtuh.
.
Tindakan-tindakan yang telah dan sedang dilakukan oleh Datuk Shahrir tidak jauh bezanya dengan menteri yang lama.
.
Wahai Datuk Shahrir, saya yakin pengundi di Parlimen Johor Bahru tentu mula rasa bersalah kerana memenangkan Datuk kali ini. Datuk bukan lagi menjadi wakil rakyat tetapi Datuk sudah menjadi bebanan pula kepada rakyat.
.
Khairul Faizi Bin Ahmad Kamil
Jalan Raja Laut, Kuala Lumpur
17 Jun 2008, 8.30 pagi
----------------------------------------------------
Import ayam negara jiran dibenar tanpa had - Berita Harian Online
Oleh Abdul Razak Raaff
.
PUTRAJAYA: Bekalan ayam dari negara jiran dijangka dibenarkan dibawa masuk tanpa had bagi menstabilkan harga runcitnya di pasaran tempatan, yang kini dijual melebihi harga siling.
.
Pemberian permit untuk pengimportan tanpa had bekalan ayam dari negara jiran itu adalah antara beberapa perkara yang dibincangkan pada mesyuarat Jawatankuasa Kabinet Menangani Inflasi yang dipengerusikan Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi di sini, semalam.
.
Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna, Datuk Shahrir Abdul Samad, yang dihubungi selepas menghadiri mesyuarat itu, berkata beliau akan mengadakan mesyuarat dengan wakil Jabatan Perkhidmatan Veterinar serta Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani mengenai langkah itu, Khamis ini.
.
"Kita berharap apabila permit mengimport ayam dikeluarkan segera, maka lebih banyak ayam dapat dibawa masuk untuk menangani kenaikan harga ternakan di pasaran tempatan," katanya.
.
Beliau berkata, pertambahan bekalan ayam di pasaran dijangka boleh menstabilkan harganya dan akan menguntungkan pengguna. Kelmarin, harga ayam proses di beberapa bandar termasuk ibu negara dilaporkan dijual sehingga RM8 sekilogram, melebihi had siling yang ditetapkan, iaitu RM6 sekilogram bagi ayam standard dan RM6.70 sekilogram ayam super.
.
Peningkatan mendadak harga ayam itu dikatakan mempunyai kaitan dengan pertambahan kos pada peringkat ladang, termasuk kenaikan harga bahan makanan ternakan berkenaan.
.
Berikutan itu, Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna mahu import ayam dari Thailand dan Indonesia ditambah bagi menstabilkan harganya. Shahrir berkata, Perdana Menteri juga dijangka mengumumkan beberapa lagi langkah tambahan bagi menstabilkan kenaikan harga bahan makanan selepas mesyuarat mingguan Kabinet esok, bagi membantu meringankan beban kewangan rakyat.
.
Minggu lalu, Perdana Menteri mengumumkan harga petrol dan diesel tidak akan dinaikkan lagi selepas kenaikan dua minggu lalu, manakala kakitangan awam dibayar gaji dalam dua ansuran sebulan bagi membantu pengurusan kewangan mereka berikutan peningkatan harga bahan api dan makanan.
.
Kerajaan juga memberi rebat tunai RM625 setahun kepada pemilik kenderaan persendirian berkuasa 2,000cc ke bawah serta pikap dan pacuan empat roda berkuasa 2,500 cc ke bawah dan RM150 setahun untuk pemilik motosikal berkuasa 250cc ke bawah.
.
Pemilik kenderaan persendirian dengan kapasiti enjin melebihi 2000cc pula diberi pengurangan cukai jalan RM200, manakala pemilik motosikal persendirian dengan kapasiti enjin lebih 250cc sebanyak RM50 tertakluk kepada cukai jalan minimum sebanyak RM2.
.
Kerajaan juga menambah kuota diesel yang boleh dibeli dengan kemudahan kad fleet untuk pengusaha pengangkutan awam supaya tambang bagi pengangkutan awam dapat dikekalkan.
.
Langkah lain ialah meningkatkan threshold cukai perkhidmatan bagi restoran luar hotel kepada RM3 juta daripada RM500,000 supaya rakyat tidak dibebani cukai perkhidmatan lima peratus oleh restoran di luar hotel.

1 Pandangan

  1. Hasbullah Pit // June 17, 2008 at 9:24 PM  

    Aku meragui samada benar menteri KPDN mengawal harga.

    Siapa yang kawal, tauke kawal atau menteri kawal.

    walaupun menteri itu yang umumkan harga minyak, aku tak nafikan wujudnya tauke tauke yang sengaja ambil kesempatan berlebihan.

    Mari kita lihat siapa yang monopoli ayam.

    walaubagaimanapun langkah mengimport ayam asing, adalah umpama menghukum tauke yang melampau. akan tetapi batang hidup penternak ayam kecil-kecilan juga akan kena.