Apabila kerajaan mengumumkan bahawa gaji kakitangan awam akan dibayar dua kali sebulan sebagai langkah untuk membantu meringankan bebanan rakyat khususnya kakitangan awam, saya pasti bahawa Perdana Menteri yang mengumumkan perkara tersebut akan menjangkakan bahawa kakitangan awam akan menyokong seratus peratus tanpa berbelah bagi.
Mekanisme yang Pak Lah umumkan ini kononnya akan memudahkan kakitangan awam menjalani kehidupan yang lebih baik. Jika sebelum ini kakitangan awam terpaksa menunggu sehingga hampir hujung bulan untuk menerima gaji tetapi selepas ini pada tengah bulan pun gaji akan diterima.
Maka, di dalam media telah dipergunakan kakitangan awam yang kononnya menyokong 'tindakan berani' Pak Lah. Pelbagai kenyataan disiarkan untuk menunjukkan bahawa kakitangan awam bersama Pak Lah.
Masalahnya, walaupun gaji dibayar dua kali sebulan, jumlahnya tetap sama. Setengah campur setengah jawapannya satu ( 1/2 + 1/2 = 1). Murid sekolah pun tahu kira-kira ini, tidak kiralah ia dikira dalam menggunakan bahasa Melayu ataupun bahasa Inggeris ia tetap akan mendapat hasilnya satu.
Lainlah jika gaji dibayar dua kali sebulan dengan beberapa tambahan elaun atapun peningkatan gaji kakitangan awam, barulah ianya akan disokong.
Apabila kenyataan Pak Lah ini dipandang sepi malah dikritik oleh beberapa pihak maka hari ini Menteri Sumber Manusia pula menyatakan bahawa kerajaan mungkin tidak laksanakan gaji dua kali sebulan.
Entah apa lagi yang Pak Lah akan lakukan untuk mengurangkan kemarahan rakyat terhadap kenaikan harga minyak dan kesan daripadanya. Semakin lama rakyat semakin tertekan tetapi kerajaan pimpinan Pak Lah semakin hilang punca dan tenggelam idea.
Inilah malangnya apabila negara dipimpin oleh orang yang lemah, macam Pak Lah...
------------------------------------------------------
Kerajaan mungkin tidak laksana gaji dua kali sebulan - Berita Harian Online
KUALA TERENGGANU: Kerajaan mungkin tidak akan melaksanakan pembayaran gaji dua kali sebulan seperti dicadangkan berikutan tentangan banyak pihak, kata Menteri Sumber Manusia, Datuk Dr S Subramaniam.
KUALA TERENGGANU: Kerajaan mungkin tidak akan melaksanakan pembayaran gaji dua kali sebulan seperti dicadangkan berikutan tentangan banyak pihak, kata Menteri Sumber Manusia, Datuk Dr S Subramaniam.
Beliau berkata, sejak Perdana Menteri, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi mengumumkan cadangan pembayaran gaji pegawai dan kakitangan kerajaan dalam dua ansuran sebulan mulai Ogos ini, pelbagai reaksi diterima dengan lebih banyak pihak yang menentang daripada menyokongnya.
"Ini termasuk Kongres Kesatuan Pekerja-Pekerja Dalam Perkhidmatan Awam (Cuepacs) serta pemimpin parti politik sendiri yang menganggap ia menyusahkan dan bukan cara terbaik untuk membantu kakitangan awam menguruskan perbelanjaan dan aliran tunai isi rumah ekoran kesan kenaikan harga bahan api," katanya.
Bagaimanapun beliau berkata, keputusan muktamad hanya akan ditentukan pada mesyuarat Kabinet akan datang.
“Ramai yang beritahu perkara akan menyusahkan mereka. Mesyuarat Kabinet akan datang kita akan bincang dan kita akan buat keputusan muktamad nanti,” katanya selepas merasmikan Persidangan Perwakilan MIC Negeri Terengganu 2008 di sini hari ini. - Bernama
Khairul Faizi dah baca yang ni:
Pembayaran Gaji Kerajaan Berdasarkan Kalendar Cina