Kenapa Pak Lah Nak Jumpa 2,000 Ketua UMNO Cawangan di Johor?

Nukilan Khairul Faizi bin Ahmad Kamil | 6/21/2008 12:01:00 AM | 1 Pandangan »

Apa tujuan 2,000 Ketua Umno Cawangan di Johor bertemu dengan Pak Lah? Persoalan ini saya tertanya-tanya kerana saya masih teringat bagaimana Pak Lah telah ditanya oleh pimpinan UMNO negeri Johor tentang bila beliau akan melepaskan jawatan Perdana Menteri kepada Najib Razak sehinggakan Pak Lah terpaksa mengumumkan bahawa Pelan Peralihan akan diumumkan dalam masa terdekat. Pastinya, sehingga ke hari ini Pak Lah belum pun dapat mengumumkan pelan peralihan tersebut walaupun sudah masuk hampir tiga bulan beliau menyatakan tentang perkara tersebut.

Dalam ruangan
Malaysiakini, dinyatakan bahawa :-

1. Beberapa pemimpin bahagian Umno di Johor ketika dihubungi mengesahkan pertemuan tersebut dibuat atas jemputan Abdullah yang juga presiden Umno.
2. Pemerhati politk melihatnya sebagai satu perkembangan yang menarik kerana pertemuan itu diadakan kira-kira sebulan daripada tarikh mesyuarat cawangan bermula pada 17 Julai depan.

3. Oleh itu, pemerhati politik menyifatkan pertemuan dua hari Abdullah dengan ketua-ketua cawangan dari Johor adalah untuk 'menenangkan' keadaan' sebelum mereka mula bermesyuarat bulan depan.
.
4.Ini kerana mesyuarat kali ini membabitkan pemilihan parti di peringkat cawangan, bahagian dan di peringkat tertinggi termasuk pemilihan presiden, timbalan presiden, naib presiden dan ahli MT.

Pertamanya, saya tertarik dengan berita ini kerana Pak Lah sendiri yang menjemput mereka hadir ke PWTC. Bukan mudah untuk bertemu dengan Perdana Menteri merangkap Presiden UMNO lebih-lebih lagi ketua-ketua UMNO cawangan ini dijemput ke Kuala Lumpur. Jemputan ini saya tidak pasti sama ada jemputan kosong ataupun jemputan dengan siap tambang perjalanan, kos makan dan penginapan tetapi yang pastinya mereka telah dijemput. Sudah pasti satu kampung/cawangan akan kecoh bila dapat mengetahui Ketua UMNO cawangan dijemput Pak Lah ke Kuala Lumpur.

Keduanya, ia diadakan sebulan sebelum diadakan mesyuarat Agong UMNO dipertingkat cawangan. Pak Lah tidak panggil UMNO di negeri Selangor, Pak Lah tidak panggil UMNO di negeri Pahang atapun mana-mana negeri yang lain tetapi Pak Lah panggil pimpinan UMNO cawangan di negeri Johor yang merupakan kubu kuat UMNO di dunia! Apakah Pak Lah sudah tidak yakin lagi dengan sokongan UMNO di Johor terhadap beliau atapun Pak Lah sendiri telah dapat merasai bahawa sekiranya UMNO Johor menolak beliau maka sudah tentu UMNO di negeri yang lain akan turut sama?

Ketiganya, Pak Lah memanggil ketua UMNO cawangan di Johor ini di saat harga minyak telah dinaikkan dengan kadar yang luar tabi’e. Kos pengangkutan dan segala kos yang akan ditanggung akan juga tinggi, hanya semata-mata untuk Pak Lah dan Ketua UMNO cawangan bertemu. Apa masalahnya sekiranya pertemuan ini diadakan di Johor sahaja? Bukankah di Johor sudah ada Persada Johor? Jika tidakpun, di Johor ada banyak hotel yang bertaraf 5 bintang yang boleh digunakan tanpa membelanjakan wang ahli UMNO Johor keluar negeri ke Kuala Lumpur?

Pertemuan ini sudah cukup untuk menggambarkan betapa Pak Lah sudah berada dalam situasi yang paling genting dalam karier sebagai Perdana Menteri Malaysia. Tidak payahlah berdolak-dalik dengan apa juga alasan kerana jika Pak Lah telah kukuh maka apa perlu pertemuan ini diadakan.

Saya mencadangkan ataupun menghasut secara terhormat kepada seluruh ketua UMNO diperingkat cawangan yang akan hadir ke PWTC nanti, gunakanlah peluang ini untuk ’menyedarkan’ Pak Lah bahawa beliau sudah tidak layak lagi memimpin. Masa untuk Pak Lah sudah berada dipenghujung masa yang menanti untuk rebah.

Pesan pada Pak Lah, adakah beliau mahu berundur secara terhormat ataupun diundurkan dengan keadaan yang memalukan. Ingat, calon Presiden perlukan 30 peratus daripada pencalonan ataupun 58 pencalonan daripada 191 bahagian UMNO di seluruh negara. Jika Pak Lah tidak berjaya memujuk UMNO Johor secara keseluruhannya untuk mencalonkan beliau sebagai Presiden, maka 26 pencalonan akan hilang dengan begitu sahaja.
.
Khairul Faizi Bin Ahmad Kamil
21 Jun 2008, 12.02 malam

1 Pandangan

  1. mohad // June 21, 2008 at 12:06 AM  

    salam... apa khabar...