Muna Izzah Menulis Tentang Allahyarham Ustaz Fadzil Mohd Noor

Nukilan Khairul Faizi bin Ahmad Kamil | 6/23/2008 10:18:00 PM | 1 Pandangan »


Saya membaca tulisan Muna Izzah, anak Allahyarham Usy Fadzil Mohd Noor di dalam harakahdaily sebentar tadi. Saya kira, enam tahun bagaikan satu tempoh yang agak lama namun kehilangan Ustaz Fadzil adalah satu tempoh yang baru sahaja dirasai.

Saya pasti, ramai di kalangan kita tentu masih lagi terasa kehilangan Ustaz Fadzil bak kata Man Bai daripada kumpulan Gersang dalam lagunya yang paling popular 'Masih Aku Terasa' yang menyebut di dalam liriknya bahawa apabila kita sayangkan seseorang, walaupun sudah lama terpisah tetapi ia akan dirasai seolah-olahnya kita baru sahaja sehari berpisah dengannya. Lebih kurang macam itulah.

Ketika Ust Fadzil menghembuskan nafasnya, kami sekretariat pemuda PAS Johor sedang mengadakan kursus di Batu Pahat yang dikendalikan oleh Ust Misbahul Munir Masduki yang merupakan Setiausaha DPP Pusat ketika itu (kini Setiausaha Politik MB Perak). Apabila Ust Misbah mendapat SMS bahawa Ustaz Fadzil telah meninggal dunia Ustaz Misbah telah menangis sekuat hati sehingga kami tergamam buat seketika. Kesemua peserta kursus tersebut terdiam buntu buat seketika dan akhirnya saya mengambil keputusan untuk menangguhkan kursus tersebut.

Saya tidak dapat lupa apabila berada di Kedah pada malam penamaan calon Parlimen Pendang, Dinsman telah membacakan sebuah sajak yang cukup menyentuh hati sehingga air mata mengalir membasahi pipi, terasa sungguh sedih dan sukar untuk digambarkan. Itu saya yang tidak begitu mengenali Ustaz Fadzil dengan lebih dekat, namun bayangkan mereka yang cukup rapat dengannya.

Bukan tidak percaya dengan kemampuan pemimpin yang sedang menerajui saf kepimpinan PAS tetapi kehilangan Allahyarham masih sukar dicari ganti.

Semoga Allah mencucuri RahmatNya ke atas roh Ust Fadzil Mohd Noor. Al-Fatihah...

Khairul Faizi Bin Ahmad Kamil
Exco Dewan Pemuda PAS Pusat
23 Jun 2008, 10.38 malam

-------------------------------------------------------
Setelah enam tahun, kehilangan Ustaz Fadzil masih terasa
Muna Izzah Fadzil Mon Jun 23, 08 6:58:50 pm MYT

Tanggal 23 Jun datang lagi. Sudah 6 tahun tarikh sedih ini bermula dengan pemergian dan kehilangan seorang baba dan suami kepada anak-anak serta isteri yang tercinta ke rahmatullah.

Dan kepada penyokong-penyokong serta pendokong-pendokong parti islam dalam negara jua luar negara juga merasai kehilangan tokoh ilmuan dan dan pemimpin sebuah jamaah yang mendokong perjuangan Islam ini.

Al-Marhum Fadzil bin Mohd Noor, sekiranya masih hidup, telah berusia 71 tahun pada 13 Mac yang lepas.

Namun dalam usianya 65 tahun, beliau meninggal dunia disebabkan jangkitan kuman yang menyerangnya, susulan daripada pembedahan koronari di Hospital Universiti Kebangsaan Malaysia pada jam 10.30 pagi.

Sejak kecil mengenali kematangan hidup, dan kematangan itulah yang dibawa hingga kini walaupun jasadnya sudah tiada.

Oh ya, ada sesuatu fakta yang perlu saya perbetulkan di sini iaitu selalu mereka yang menulis mengenai baba,bahawa beliau sejak kecil adalah anak yatim. Sebenarnya tidak.

Ayahnya meninggal dalam than 1972 dan ibunya meninggal dalam tahun 1997. Dan juga ketika hayatnya beliau tinggal di Alor Setar dan bukannya di Muassasah. Hanya tempat persemadian beliau sahaja di Muassasah seperti yang beliau wasiatkan.

Bermimpikan 'Baba'

Terima kasih. Semua yang mengenalinya sudah maklum bahawa ketika hayatnya beliau sangat komited dengan apa yang diperjuangkan dan dilakukan dalam setiap perkara yang dilakukannya.

Perwatakannya yang kadang-kadang diam tetapi sangat prihatin dan kadang-kadang banyak bercakap, menjadi ingatan setiap yang mengenalinya. Bagi seorang anak, mewakili adik-adik, serta menantu juga cucu, dan terutamanya mama saya, tidak pernah lekang ingatan kami terhadap beliau.

Mimpi mama sering dikunjugi baba dan kami akan bermimpi baba sekiranya kami punya masalah atau terlalu rindukan beliau. Itu sahaja pengubat rindu kami.

Pemimpin datang dan pergi, namun seorang baba pasti dan tidak akan ada penggantinya. Berbalik kepada pandangan pendokong Islam, pemikiran dan kepimpinannya sangat dirasai.

Banyak perkara yang dilakukan, dengan kuasa Allah telah membuahkan hasil berkat usaha beliau dan sahabat-sahabat pimpinan yang lain dan semua pihak.

Seringkali saya ditegur kenalan-kenalan baba yang menyatakan mereka terasa kehilangan beliau. Saya hanya mampu tersenyum dan menghargai semua itu. Tetapi kadang-kadang terasa kehilangan sahaja tidak mencukupi.

Mengkagumi pemikiran beliau sahaja juga tidak mencukupi. Saya bukan yang layak menyatakan perkara ini, tetapi saya melihat, pemikiran beliau harus dilebar dan diperkembangkan lagi oleh kepimpinan yang ada.

Kepimpinan yang ada kini bagi saya sudah cukup dibanggakan, dan hebat dalam memimpin organisasi. Wajah-wajah muda beriringan dengan mereka yang sudah berpengalaman akan menjadikan Parti Islam Semalaysia makin dapat diterima kawan dan lawan.

"Pengorbanan perasaan yang paling sukar dilakukan,"itulah ungkapan Al-Marhum yang sering diluahkan.

Sebelum ini saya tidak begitu menghayati luahan hati tersebut, namun apabila saya berada dalam Nisa, Puan Mastura sering menyatakan ungkapan ini dalam perjumpaan kami.

Setelah mengharungi susah payah di dalam Nisa, saya makin mengerti ungkapan baba ini. Beliau sebenarnya meluahkan apa yang terbuku di hatinya dengan melontarkan ungkapan tersebut.

Memang benar pengorbanan harta benda, wang ringgit, tenaga serta masa bukan sesuatu yang sukar untuk diberi, namun perasaan amatlah sukar untuk dikorbankan.

Kini saya makin mengerti, kenapa baba diam apabila orang mempertikaikan keputusannya dan kenapa beliau juga tersenyum apabila orang tidak berpuas hati dengan sesuatu tindakan.

Jarang sekali beliau membebel di rumah bercerita mengenai masalah dalaman parti, kerana baba perlukan hiburan di rumah iaitu kasih sayang dan bebelan mama dan anak-anak. Itu yang membahagiakannya.

Beliau tidak perlukan perbahasan politik di rumah, kerana sakit yang dirasai dalam hati, dipendam dan dikorbankan ego serorang pemimpin. Kami mungkin tidak mengetahui bagaimana beliau berhadapan dengan suasana politik yang sebenar ketika itu dan mungkin anda semua yang lain lebih mengetahuinya.

Lempar dengan batu,dibalas bunga

Namun kami memerhati siapa sahaja yang ber'deal dengannya.Kami memerhati sikap orang terhadapnya, dan bagaimana reaksi beliau terhadap segala sikap itu. Dan di situ kami belajar banyak perkara.

Saya tidak pasti apa yang orang lain belajar daripada pemikiran beliau tetapi saya belajar ungkapan yang saya sebutkan tadi. Pengorbanan perasaan dalam jamaah sangat sukar dilakukan.

Ada kalanya kita memberi bunga, kita dilemparkan dengan batu. Dan ketika itulah , adakah kita akan bertindak dengan membaling batu juga? Kerana itulah terdengar pulak ungkapan oleh YAB Tuan Guru Dato' Haji Nik Abdul Aziz Nik Mat, sekiranya orang lempar batu pada kita, kita balas dengan bunga. Dan ketika itulah pengorbanan perasaan dilakukan. Adakah anda mengerti ranataian ungkapan-ungkapan ini?

Kematangan dalam kepimpinan politik,keterbukaan, kasih sayang, pandai menghargai adalah antara watak-watak beliau yang saya secara peribadi mengakagumi beliau.

Kepetahan berpidato adalah pelengkap dirinya yang dimanfaatkan sepenuhnya dalam menjalani tugasannya sebagai Ketua Pembangkang dan ahli dewan undangan negeri dan ahli parlimen.Kini saya merindui kepetahan itu di kalangan sahabat-sahabat beliau di dalam Parlimen.

Sudah pasti al-marhum berasa gembira dengan kemenangan PAS dan rakan kongsi PAS yang lain, dan sekiranya itu, beliau juga dan sudah pastinya pemimpin terdahulu tidak mahu kita semua mempersiakan peluang yang sudah diberi Allah.

Pemikiran beliau dan mereka yang telah pergi, mestilah digarap bersama dengan pemikiran yang ada kini supaya tampak parti yang didokong ini maju dari segi kematangan politik serta akhlaq yang baik. Ketika senang, ujiannya pasti lain dan lebih menguji diri.

Saya sebagai anak pasti merasa bangga dengan beliau tapi saya lebih merasa bangga sekiranya pemikiran beliau bukan sahaja diwacanakan TETAPI diaplikasikan bersama untuk maju ke depan. Terima kasih kepada anda semua yang menjadi penyambung warisan kepimpinan dan teruskanlah usaha-usaha yang baik.

Kami semua mungkin tidak mampu menjadi seperti anda yang berada secara langung dalam arena politik kerana jawatan dan kepimpinan bukannya warisan turun temurun tapi percayalah darah yang mengalir di dalam tubuh al-marhum ada dalam diri kami, dan secebis kata baba, kebaikan dan dakwah boleh dilakukan dalam setiap perkara.

Tidak terhad kepada politik sahaja, tapi akedemik, kekeluargaan dan apa jua yang bidang yang diceburi.Buat yang terbaik dan yang termampu. Sudah pastinya kami bersama anda semua, insya-Allah, dan pesanan itu yang dipegang sehingga kini.

Terima kasih kepada En Rashidi yang meminta dituliskan sesuatu pada hari ini untuk disiarkan di Harakah.Dan kepada Dato' Kamarudin Jaafar dan Pimpinan PAS yang lain, serta sabahat baik baba, Pak Cik Ismail Mina, sekalung penghargaan dan terima kasih kerana sudi untuk menganjurkan Majlis Tahlil beliau walau tarikh terpaksa dienjak sedikit.

Dan ucapan terima kasih khusus mewakili mama saya yang kini berada di Mesir dan kami sekeluarga untuk Pak Cik Latif, bekas peneman Al-Marhum yang ditugaskan membawa kereta baba ketika hayatnya, yang hingga kini tidak pernah lupakan kami semua dan tidak pernah berhenti bertanya khabar kepada kami. Itu sudah cukup membahagiakan kami.

Dan kami mengucapkan terima kasih di atas doa dan ingatan semua anda di luar sana , para pencinta Islam, para penyokong, para sabahat dan sesiapa sahaja terhadap beliau. Tidak terbalas jasa anda semua terhadap semua ingatan itu. Permohonan maaf jua dihulurkan sekiranya ada kesalahan yang dilakukan ketika hayatnya.

Dan kepada baba, biar bertahun lagi hidup kami di dunia ini, dirimu tak pernah kami lupakan dan setiap detik, baba ada di dalam jiwa kami dan pasti kami berdoa kita dapat berkumpul bersama seperti dahulu untuk berjumpa Allah di akhirat sana.Al-FATIHAH.

* Muna Izzah Fadzil adalah anak perempuan almarhum Ustaz Fadzil Mohd Noor.

1 Pandangan

  1. zaini_jb // June 26, 2008 at 12:43 AM  

    Salam,

    Sy sempat beraya di rumah Allahyarham Ust. Fadzil Noor pada hari raya yang lepas.Alhamdlh,Dah dekat setahun berguru dengan anak2nya.Dari Ust Fawaz sampai
    Ust Amar Fadzil.Semoga dengan adanya dua org anak yg soleh ini dpt meneruskan ganjaran pahala kepada Allahyarham.Amin