Apabila saya membaca berita daripada Utusan Online, Malaysiakini dan Berita Harian Online mengenai empat orang ahli Parlimen mengayuh basikal ke Parlimen pada sebelah pagi tadi, saya kira tindakan yang dilakukan oleh mereka berempat ini adalah satu tindakan politik yang cukup bijak.
Walaupun keempat-empat Ahli Parlimen tersebut, YB Tian Chua, YB N Gobalakrisnan (Padang Serai); YB Zulkifli Noordin (Kulim Bandar Baru); dan YB Hee Loy Sian (Petaling Jaya Selatan) berbasikal dari Bank Negara mulai jam 9.30 pagi dan tiba di Parlimen selepas 10 minit mengayuh basikal mereka (saya tidak pasti basikal tersebut dibeli atau dipinjam daripada orang lain) namun ia adalah sebagai tanda protes mereka kepada kerajaan yang menaikkan harga minyak baru-baru ini.
Sekali pandang daripada beberapa keping gambar yang diperolehi daripada laman web, kelihatan mereka ini bagaikan pelakon dalam Seniman Bujang Lapok yang melibatkan P Ramlee, Aziz Satar dan S. Samsudin yang mengayuh 'basikal tua' dalam cerita tersebut. Cuma bezanya, mereka bukan pelakon tetapi ahli Parlimen yang berkayuh untuk menghadiri sidang Parlimen pada hari ini.
Ada pelbagai cara untuk menunjukkan sikap kita terhadap bantahan kenaikan harga minyak dengan cara mengadakan himpunan aman, edaran risalah, kempen mengutip tandatangan, mengadakan ceramah dan menulis di dalam blog namun berbasikal ke Parlimen tetap menjadi kaedah yang cukup istimewa bagi saya.
Saya sememangnya tidak terfikir bahawa ada ahli Parlimen yang sanggup melakukan tanda protes seperti ini namun ianya telah berlaku. Bukan mudah untuk mengayuh basikal dalam usia yang sudah agak berumur, silap-silap patah pinggang dibuatnya. Saya yang jauh lebih muda daripada mereka pun belum tentu bersedia untuk mengikuti jejak kayuhan mereka ini.
Namun, yang paling menarik mengulas tindakan mengayuh basikal ke Parlimen ini adalah Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Nazri Aziz. Beliau berkata ;
“Dahlah kayuh pun setakat dari Bank Negara saja... saya harap kalau sungguh-sungguh sangat, teruslah berbasikal ke Parlimen setiap hari selagi kerajaan tidak penuhi tuntutan mereka (turunkan minyak).
“Jangan setakat kayuh hari ini sahaja, budak darjah enam pun boleh. Pada saya yang penting empat orang ini kena ingat, mereka adalah Ahli Parlimen, ruang tersedia untuk mereka berhujah bagi mengatasi masalah, bukan gimik macam ini.
“Apakah mereka ini ingat kalau dengan kayuh basikal kerajaan boleh turunkan harga minyak?” kata Mohamed Nazri ketika ditemui pemberita di lobi Parlimen di sini hari ini.
Kesian Datuk Nazri, ulasannya terhadap perkara ini lebih bersikap kebudak-budakan. Kalau ikutkan hati, terasa malas untuk membuat ulasan Datuk Nazri ini, nak cabar dia pun rasanya tidak berapa sesuai. Tapi, jika dia rasa bahawa setakat mengayuh basikal, budak darjah enam pun boleh, Datuk Nazri kayuhlah sendiri, kita tengok dia boleh kayuh atau tidak. Silap-silap sebelum sampai ke Parlimen dia dah tumbang di tepi jalanraya.
Sama ada tindakan keempat-empat ahli parlimen tersebut sebagai gimik atau tidak, yang pastinya niat mereka untuk berjuang mendesak kerajaan menuruhkan harga minyak tetap diteruskan walaupun jalannya sukar. Ini lebih baik daripada Datuk Nazri memperlekehkan orang lain mengayuh basikal ke Parlimen tetapi beliau mengundi untuk menyokong tindakan kerajaan menaikkan harga minyak.
Duduk diam-diamlah Datuk Nazri...janganlah cemburu.
Khairul Faizi Bin Ahmad Kamil
23 Jun 2008, 10.07 malam
0 Pandangan
Post a Comment