Kerajaan Baru Nak Cari Mekanisme Untuk Kurangkan Bebanan Rakyat?

Nukilan Khairul Faizi bin Ahmad Kamil | 6/09/2008 08:27:00 AM | 0 Pandangan »

Terbukti kerajaan Malaysia lemah dalam menangani masalah rakyat. Mana tidak lemahnya, kenyataan Menteri Kewangan Kedua, Tan Sri Nor Mohamed Yakcob bahawa kerajaan akan terus mencari mekanisme terbaik bagi mengurangkan bebanan pengguna setelah harga petrol/diesel dinaikkan baru-baru ini menggambarkan betapa pemerintah tidak melihat secara total terhadap bebanan yang akan dihadapi oleh rakyat.
.
Sudah pasti, di dalam mesyuarat kabinet yang menentukan kenaikan harga minyak baru-baru ini lebih memikirkan masalah yang dihadapi oleh kerajaan dalam menangani masalah kenaikan harga minyak di pasaran dunia.
.
Walaupun kerajaan telah memperuntukkan rebet kepada pengguna namun ia dilihat sebagai jalan mudah yang singkat tetapi kesan jangka panjang terhadap kenaikan harga minyak kepada pengguna tidak diambil kira dengan sepenuhnya.
.
Saya menjangkakan, kenyataan Nor Mohamed Yakcob ini terpaksa dibuat kerana desakan daripada akar umbi yang mahukan kerajaan bertanggung jawab dengan keputusannya. Sekiranya kerajaan prihatin terhadap bebanan yang bakal rakyat hadapi, maka sudah tentu beberapa plan tindakan telahpun dibentangkan kepada umum.
.
Namun, langkah rutin juga yang dilakukan iaitu pemantauan akan dibuat untuk memastikan harga barangan dan perkhidmatan tidak dinaikkan. Jika itulah langkah yang diambil oleh kerajaan maka pengguna sememangnya akan menjadi mangsa di atas kelemahan pemerintah ini.
.
Saya tidak tahu berapa ramai menteri dan pemimpin UMNO/BN yang telahpun 'turun padang' untuk bertemu dengan golongan pengguna dan golongan peniaga untuk bertanyakan khabar mereka. Tinjauan saya apabila bertemu dengan para peniaga dan pengguna, masing-masing telah membayangkan betapa rakyat akan tertekan dengan kesan kenaikan harga minyak ini.
.
Pak Lah sudah tentu tidak faham dengan situasi ini kerana dia berada disinggahsana, silap-silap pemicu @ nozzle pam minyak pun dia tidak pernah pegang, inikan lagi nak ambil berat dengan masalah rakyat.
.
Akhirnya nanti, kerajaan terus dengan teori untuk mengurangkan bebanan rakyat dan rakyat terus menanggung derita.
.
Khairul Faizi Bin Ahmad Kamil
9 Jun 2008, 8.48 pagi.
------------------------------------------------
Kerajaan cari cara terbaik kurang beban pengguna - Berita Harian Online
Oleh Mohd Anwar Patho Rohman

TASEK GELUGOR: Kerajaan akan terus mencari mekanisme terbaik bagi mengurangkan beban pengguna berikutan kenaikan harga minyak tanpa bergantung kepada penstrukturan semula subsidi petrol, diesel dan gas semata-mata.
Menteri Kewangan Kedua, Tan Sri Nor Mohamed Yakcop, berkata ia disebabkan jangkaan yang harga minyak dunia terus meningkat dalam tempoh terdekat berpunca pelbagai faktor.
Katanya, ia termasuk kemunculan risiko geopolitik berikutan ancaman Israel terhadap Iran, pasaran hadapan minyak yang semakin aktif akibat spekulasi dan peningkatan permintaan minyak di China dan India.

0 Pandangan