Benarkan Kakitangan Awam Melakukan Kerja Sambilan

Nukilan Khairul Faizi bin Ahmad Kamil | 6/09/2008 09:09:00 AM | 0 Pandangan »

Kita tidak menafikan bahawa kakitangan awam terikat dengan perjanjian dengan Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) yang tidak membenarkan golongan ini melakukan kerja sambilan namun apakah mekanisme untuk membantu mereka dalam menangani kesan kenaikan harga minyak?
.
Timbalan Menteri Kementerian Sumber Manusia yang baru diangkat oleh pengundi di Parit Sulong sebagai Ahli Parlimen, Datuk Noraini Ahmad nampaknya masih lagi tidak memahami dan menyelami masalah kakitangan awam ini. Setidak-tidaknya beliau perlu turun ke Parit Sulong bertemu dengan pengundi dan kakitangan awam di sana, tanya realiti masalah yang dihadapi. Barulah dinamakan wakil rakyat tetapi beliau lebih memikirkan statusnya sebagai timbalan menteri.
.
Apa mekanismenya wahai YB Noraini untuk membantu kakitangan awam ini? Baiklah, setelah selesai waktu pejabat ataupun waktu perkhidmatan, apakah yang perlu dilakukan oleh golongan ini, hanya berehat-rehat dirumah sambil menonton televisyen menyiarkan berita dan laporan kesan kenaikan harga barang?
.
Lainlah sekiranya kakitangan awam ini diberikan elaun khas sekadar untuk itu.
.
Saya sangat bersetuju dengan cadangan CUEPACS untuk memberikan kelonggaran kepada kakitangan awam melakukan kerja sambilan kerana ianya dibuat selepas waktu kerja mereka. Perkara yang melibatkan JPA, saya mencadangkan Datuk Noraini Ahmad sebagai Timbalan Menteri membawa ke mesyuarat kabinet atau perbincangan terus dengan pihak JPA untuk diperhalusi kembali. Jika tidak, tersilaplah pengundi di Parit Sulong mengundi anda.
.
Saya akan menghantar surat rasmi kepada Datuk Noraini tentang perkara ini, insya Allah.
.
Khairul Faizi Bin Ahmad Kamil
Exco Dewan Pemuda PAS Pusat
9 Jun 2008, 9.23 pagi
----------------------------------------------------
Kakitangan awam dilarang kerja sambilan - Utusan Online
.
KUALA LUMPUR 8 Jun – Kementerian Sumber Manusia tidak bersetuju dengan cadangan Kongres Kesatuan Pekerja-Pekerja Di Dalam Perkhidmatan Awam (CUEPACS) untuk membolehkan kakitangan kumpulan sokongan bekerja sambilan selepas waktu pejabat.
.
Timbalan Menterinya, Datuk Noraini Ahmad berkata, kakitangan awam tidak boleh melakukan kerja sambilan kerana ia telah terikat dengan perjanjian dengan Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) dan dikhuatiri boleh mengganggu produktiviti mereka.
.
‘‘Jika kakitangan awam berterusan hendak melakukan kerja sambilan, mereka hendaklah berbincang dengan pihak JPA sendiri,’’ katanya.
.
Beliau berkata demikian kepada pemberita ketika ditemui selepas penyampaian Anugerah Hari Ibu anjuran sebuah akhbar harian dan Secret Garden di Hotel Nikko di sini hari ini.
.
Semalam, CUEPACS mencadangkan kerajaan memberi kelonggaran kepada kira-kira 850,000 kakitangan awam kumpulan sokongan untuk bekerja sambilan selepas waktu pejabat.
.
Menurut kongres itu, kakitangan awam bagi kumpulan P1 T1 kini berdepan dengan kos sara hidup yang tinggi berikutan kenaikan harga minyak dan tarif elektrik.
.
Noraini menjelaskan, seseorang kakitangan awam tidak boleh melakukan pekerjaan sambilan walaupun ia tidak mengganggu produktiviti mereka.
.
Malah, katanya, kerajaan juga telah menaikkan gaji kakitangan awam pada tahun lalu bagi tujuan mengurangkan beban yang mereka tanggung.
.
‘‘Kenaikan gaji itu diberi bagi membolehkan mereka mendapat pendapatan lebih tanpa perlu melakukan kerja sambilan,” ujarnya.

0 Pandangan