Peluang Untuk Husam Bukti Sesuatu

Nukilan Khairul Faizi bin Ahmad Kamil | 5/27/2008 08:30:00 AM | 0 Pandangan »

Ditakdirkan, Tuan Guru Nik Aziz berangkat menunaikan Umrah dalam keadaan Ust Ahmad Yaakob diserang masalah jantung. Semua itu telah ditakdirkan Allah, memang kita tidak dapat menafikannya.

Kelmarin, ketika berceramah dengan sahabat saya, Ust Nik Abduh, beliau memaklumkan bahawa ayahandanya akan menunaikan umrah dan beliau perlu balik ke Kelantan.

Namun, semalam bila saya membaca berita tentang Husam akan memangku jawatan MB Kelantan, saya juga melihat bahawa ia juga sesuatu yang ditakdirkan.

Mungkin ramai yang ingin melihat bagaimana Husam memikul amanah sebagai MB Kelantan walaupun sekadar sebagai pemangku.

Saya teringat pada satu masa dahulu apabila Anwar Ibrahim diamanahkan sebagai Pemangku Perdana Menteri dan tindakan beliau lakukan di antaranya membuat pindaan terhadap undang-undang rasuah. Katanya, itu adalah di antara sebab DSAI ditakuti oleh juak-juak UMNO yang kuat makan rasuah. Jika DSAI dipilih menjadi PM yang baru maka masa depan pemimpin rasuah akan berkubur. Maka, DSAI perlu ditamatkan karier politiknya.

Husam juga begitu, perlu ada sesuatu yang dilakukan untuk membuktikan kemampuannya sepanjang TGNA menunaikan umrah ini. Terpulanglah kepada beliau untuk membuktikan apa yang dilihat sebagai peluang itu dalam tempoh yang sangat pendek iaitu selama dua minggu. Ia tidaklah berkaitan dengan isu rasuah seperti DSAI tetapi ia perlu ada kaitannya dengan kerajaan Kelantan dan rakyat Kelantan.

Seperti yang saya katakan tadi, semuanya telah ditakdirkan maka Husam perlu mengambil peluang ini dalam tempoh singkat yang Allah berikan kepadanya.

Selamat Menjalankan Tugas YB Datuk Husam Musa.

------------------------------------------

Husam Musa pangku jawatan MB Kelantan
Rizal Tahir Mon May 26, 08 8:40:25 pm MYT
PENGKALAN CHEPA, 26 Mei (Hrkh) ? Anggota Exco kerajaan negeri, Datuk Husam Musa kini menjalankan tugas-tugas sebagai Menteri Besar selepas Tuan Guru Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat bercuti kerana menunaikan ibadat umrah.
Pada awalnya jawatan itu dipangku Timbalan Menteri Besar, Datuk Ahmad Yakub, namun pada pagi Sabtu lalu beliau dimasukkan ke wad di Hospital Universiti Sains Malaysia di Kubang Kerian akibat serangan jantung.

Ekoran itu, jawatan Menteri Besar dipangku pula oleh Husam yang juga Pengerusi Jawatankuasa Perancangan Ekonomi, Kewangan dan Pembangunan Masyarakat.

Difahamkan anggota Exco terbabit telah mengadap Sultan Kelantan bagi mendapat perkenan baginda.

Perkara itu disahkan seorang lagi anggota Exco, Ustaz Mohd Amar Abdullah ketika ditemui semasa menghantar Menteri Besar bagi menunaikan umrah di Lapangan Terbang Sultan Ismail Petra sebentar tadi.

Lebih 1,000 pemimpin kerajaan negeri, PAS dan rakyat turut berada di lapangan terbang petang tadi. Turut kelihatan anggota Exco, Wan Ubaidah Omar, Timbalan Speaker, Mohd Zaki Ibrahim dan Adun Tanjung Mas, Rohani Ibrahim.

Tuan Guru Nik Abdul tiba di lapangan tersebut pada jam 7.10 petang dan sempat menunaikan solat Maghrib berjemaah.

Turut bersama menunaikan ibadat umrah, isterinya Datin Tuan Sabariah Tuan Ishak dan dua anak perempuan mereka.

Rombongan Menteri Besar dijangka berlepas ke Jeddah pada kira-kira jam 12 malam ini. Mereka dijadualkan pulang pada 9 Jun depan.

0 Pandangan