MMMM Ganti UMNO

Nukilan Khairul Faizi bin Ahmad Kamil | 5/05/2008 07:02:00 PM | 0 Pandangan »

Bila membaca berita yang disiarkan oleh The Star Online ini (terbitan Bernama) saya rasa ianya cukup untuk mengambarkan bahawa UMNO telah gagal membela nasib dan masa depan Melayu.

Tuan Guru Nik Abd Aziz membuat satu ulasan yang cukup tepat bahawa Majlis Muafakatan Melayu Malaysia (MMMM) terpaksa ditubuhkan kerana satu badan baru perlu diwujudkan kerana UMNO sudahpun gagal.

Walaupun saya tetap berpandangan bahawa MMMM terpaksa diwujudkan untuk menyelamatkan masa depan UMNO dalam persada politik UMNO tetapi ia tetap juga memberikan gambaran bahawa UMNO sudah tidak relaven lagi.

UMNO sudah berada pada kemuncak kemusnahan yang disebabkan tangan-tangan pemimpin UMNO yang rakus untuk kepentingan peribadi daripada berjuang untuk kepentingan orang Melayu terutamanya ahli UMNO yang sudah berpuluh-puluh tahun berkorban untuk memastikan UMNO terus memerintah negara.

UMNO sudah hilang punca untuk memperbaiki kelemahan sehinggakan sehingga ke hari ini selepas hari pengundian dalam pilihanraya Umum diadakan, keluarga UMNO terus berkocak dan retak. Terbaru, Ketua UMNO Bahagian Pulai melahirkan rasa tidak puas hati apabila ada program yang diadakan di kawasan Parlimen tersebut yang
melibatkan seorang Timbalan Menteri telah diadakan tanpa mendapat restu daripadanya atau mana-mana pimpinan UMNO Bahagian Pulai.

Apabila kepimpinan UMNO masih lagi berbalah dan tidak sehaluan, NGO-NGO melihat bahawa sekiranya UMNO diberikan paranan untuk membela nasib orang Melayu maka semuanya akan berkecai.

Akhirnya, wujudlah MMMM yang dikatakan akan membela nasib Melayu. Saya sebenarnya tidak berapa cenderong untuk bercakap tentang Melayu kerana saya lebih yakin untuk bercakap dalam soal Islam sebagai rahmat kepada semua rakyat. Namun, saya terpanggil juga untuk membicarakan perkara ini kerana sekiranya dibiarkan begitu sahaja maka nasib orang Melayu akan terus terabai akibat terlalu memberikan kepercayaan kepada UMNO.

Ringkasnya, apabila MMMM sudah ditubuhkan dan mampu membela nasib orang Melayu pada masa kini dan akan datang, maka apa perlu lagi UMNO untuk diperjuangkan? Orang Melayu tidak perlu lagi risau kerana nasib mereka akan terbela dengan MMMM dan PAS sudah pastinya mampu untuk membela nasib orang Melayu kerana perjuangan PAS melangkaui batasan kaum yang sempit lagi menyempitkan.



Nik Aziz: Penubuhan MMMM tanda Umno gagal
05-05-2008 05:51:34 PM

KOTA BAHRU: Menteri Besar Kelantan, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat berkata pembentukan Majlis Muafakat Melayu Malaysia (MMMM) di Johor adalah satu tanda bahawa Umno gagal dalam mempertahankan kedaulatan Melayu dan agama Islam.
"Umno sudah gagal jaga Melayu, tidak boleh diharap...agama gagal, Melayu pun tak jadi, sehingga terpaksa mengadakan kongres," katanya selepas menutup Kempen Kesedaran Penyakit Kanser Untuk Kaum Wanita di sini hari ini.
Beliau diminta mengulas penganjuran Kongres Permuafakatan Melayu yang berakhir di Johor Baharu semalam yang sebulat suara bersetuju menubuhkan sekretariat tetap dikenali Majlis Muafakat Melayu Malaysia (MMMM) bagi memantau, mempertahankan dan melaksanakan semua tuntutan berkaitan kedaulatan Melayu.
Ketua Satu Gabungan Penulis Nasional (Gapena), Prof. Emeritus Tan Sri Dr. Ismail Hussein berkata, sekretariat itu akan ditubuhkan dalam tempoh terdekat dengan penglibatan jawatankuasa terdiri daripada badan bukan kerajaan (NGO) Melayu.
Nik Abdul Aziz, yang juga Mursyidul Am PAS berkata, isu kedaulatan Melayu tidak harus digembargemburkan oleh Umno kerana ia akan menimbulkan rasa benci bangsa lain terhadap Melayu.
"Kalau Umno sebut Melayu sahaja, Cina siapa nak sebut, siapa nak jaga. Sebab itulah Kelantan sebut 'Membangun Bersama Islam', Melayu ke, Cina ke, kita bangunkan bersama melalui dasar Islam," katanya.
Beliau berkata, rakyat pelbagai kaum tidak sedikit pun akan merasa rugi sekiranya berada dalam dasar membangun bersama Islam kerana Islam itu sendiri mengajar manusia ke arah kebaikan.
Mengulas lanjut cadangan kongres berkenaan agar Umno dan PAS duduk berbincang dan bersatu, Nik Abdul Aziz berkata, PAS sudah lama mengadakan perbincangan malah pernah menyertai Barisan Nasional (BN) untuk tujuan itu.
"Nak bincang bersatu asasnya begini...nak minta PAS jaga Melayu, kami jaga lama dah. Sekarang giliran Umno pula. "Bukan nak suruh masuk PAS tetapi baiki dasar, dari dasar kebangsaan yang menolak agama kepada dasar Islam," katanya. BERNAMA

0 Pandangan