Ku Li Mula Berkempen Di Johor

Nukilan Khairul Faizi bin Ahmad Kamil | 5/05/2008 01:48:00 PM | 0 Pandangan »

Tengku Razaleigh Hamzah @ Ku Li telah hadir ke Johor semalam untuk menghadiri dua program di Batu Pahat dan Muar. Dilaporkan dalam Bernama dan disiarkan di dalam Malaysiakini, Ku Li telah membuat ucapan dan gesaan agar UMNO mesti menjaga Johor dan memastikan bahawa Johor tidak akan terlepas daripada pemerintahan UMNO.
Mengikut maklumat yang saya perolehi, tidaklah ramai yang dapat hadir dalam pertemuan di Batu Pahat namun pelbagai peraka telah dilontarkan oleh Ku Li terhadap perkembangan politik yang sedang melanda UMNO dan politik negara ketika ini.

Program ini dilihat sebagai medan Ku Li untuk memulakan kempen persediaan untuk bertanding kerusi Presiden UMNO pada bulan Disember nanti. Apa tidaknya, Ku Li telah memberikan gambaran buruk terhadap Pak Lah dan Najib yang dilihat gagal dalam kepimpinan sehingga BN kehilangan Pulau Pinang, Kedah, Perak dan Selangor. Begitu juga dengan tindakan-tindakan yang dilakukan oleh kerajaan BN yang sudah tidak lagi meletakkan kepentingan rakyat sebagai agenda utama tetapi lebih mengutamakan 'kepentingan perut' pemimpin.

Ku Li juga memberikan gambaran bagaimana PAS merupakan parti yang semakin kuat di Johor dan berkemungkinan UMNO/BN akan berhadapan dengan kesukaran untuk merampas kembali kerusi Dun Maharani dan Dun Sungai Abong daripada PAS.

Setelah mendengar pandangan dan kritikan daripada Ku Li, peserta-peserta program memberikan sokongan kepada Ku Li untuk beliau bertanding jawatan Presiden UMNO, namun Ku Li tidak begitu memberikan respon terhadap perkara ini.

Kehadiran agak seimbang di antara golongan veteran dan golongan muda membuktikan kepada kita bahawa Ku Li walaupun beliau merupakan kepimpinan lama dalam UMNO tetapi masih lagi dilihat oleh golongan anak muda sebagai pemimpin yang masih relevan.

Apapun, saya masih melihat bahawa kehadiran Ku Li ke Johor semalam adalah dengan tujuan untuk melihat sendiri sama ada beliau masih ada sokongan dan harapan daripada negeri UMNO yang kuat di dunia. Sekiranya sokongan terhadapnya luar biasa di Johor, maka harapan untuk mendapat sokongan di negeri UMNO yang lain diyakini akan lebih baik.

Khairul Faizi Bin Ahmad Kamil
5 Mei 2008, 2.27 petang
Jalan Raja Laut, Kuala Lumpur

----------------------------------------------
Umno mesti jaga Johor, kata Ku Li - Malaysiakini
May 5, 08 11:49am
Bekas naib presiden Umno, Tengku Razaleigh Hamzah menjangka pembangkang akan menyerang 'habis-habisan' negeri Johor - kubu kuat Umno dan Barisan Nasional (BN) - dalam pilihanraya umum akan datang."Jagalah negeri Johor ini kerana ia (Johor) akan diserang habis-habisan oleh lawan dalam pilihanraya akan datang.
"PAS telahpun menembusi kubu kuat orang Melayu ini dengan menang dua kerusi DUN (Sungai Abong dan Maharani)," katanya.Dalam pilihanraya umum lalu, BN kehilangan enam kerusi DUN dan sebuah kerusi Parlimen kepada pembangkang di Johor. DAP memenangi kerusi DUN Senai, Sekudai, mengkibol dan Bentayah. Kerusi parlimen tunggal itu dimenangi oleh DAP di Bakri.

Beliau mengingatkan demikian di majlis ceramah dan dialog bertajuk "Mengembalikan Kerelevanan Umno Di Hati Umat Melayu" anjuran Pemuda dan Wanita Umno Cawangan Bandar Bahagian Batu Pahat semalam, demikian menurut laporan Bernama.

Tengku Razaleigh yang juga ketua Umno Bahagian Gua Musang berkata selepas kejayaan memenangi Selangor, Perak, Pulau Pinang serta Kedah dan mempertahankan Kelantan, pembangkang akan memperhebatkan "serangan" untuk menguasai lebih banyak negeri dalam pilihanraya umum akan datang.

Tengku Razaleigh berkata kekalahan BN terutamanya di tiga buah negeri yang disifatkan sebagai "kaya" seperti Pulau Pinang, Selangor dan Perak akan turut memberikan kesan terhadap keseluruhan pentadbiran kerajaan pusat.

Pakatan Rakyat, kata ahli politik veteran Umno itu, yang kini berkuasa di lima buah negeri akan cuba memalukan Umno dan BN menerusi siri pendedahan tentang kesilapan yang dilakukan sebelum ini oleh kerajaan negeri yang diketuai oleh BN.

Katanya kerajaan negeri terlibat yang kini dikuasai pembangkang sedang berusaha untuk mencungkil dan menggali segala kesilapan yang dilakukan oleh para pemimpin kerajaan negeri BN terdahulu.

Bagaimanapun, kata Tengku Razaleigh, Umno mempunyai cara tersendiri untuk menghadapi tindakan oleh parti pembangkang itu.

0 Pandangan