Hadiah Kepada Kaum Ibu Daripada Pakatan Rakyat

Nukilan Khairul Faizi bin Ahmad Kamil | 5/05/2008 09:49:00 AM | 1 Pandangan »

Alhamdulillah, nampaknya kaum ibu yang sedang menunggu kelahiran anak yang bakal lahir dalam masa terdekat ataupun kepada mana-mana bakal ibu yang akan melahirkan anak pada masa akan datang tentu sangat gembira dengan keputusan kerajaan Selangor menambahkan cuti bersalin daripada 60 hari kepada 90 hari.

Begitu juga dengan kerajaan negeri Pulau Pinang, Kelantan dan Kedah yang akan menambahkan cuti kepada ibu-ibu yang melahirkan cahaya mata.

Kerajaan negeri Perak masih lagi meneliti cadangan penambahan cuti tersebut tetapi saya yakin dan percaya bahawa keputusan yang sama juga akan diambil dalam masa yang terdekat ini.

YAB Tan Sri Khalid pula menyebut bahawa cuti kepada suami tidak lebih daripada 10 hari sekiranya isteri mereka bersalin.

Perkara yang pertama saya tunggu-tunggu adalah komen daripada kepimpinan UMNO/BN dalam perkara ini. PAda satu ketika dahulu ketika PAS melanjutkan cuti bersalin di Kelantan daripada 40 hari kepada 60 hari, ramai di kalangan pimpinan UMNO/BN menempelak PAS dengan menyatakan bahawa kerajaan 90 PAS mengajar rakyat malas bekerja tetapi akhirnya ia 'ditiru' dengan penuh terhormat oleh kerajaan Pusat.

Tahniah kepada kaum ibu diseluruh negeri-negeri Pakatan Rakyat. Kepada kaum ibu dinegeri-negeri yang lain termasuklah negeriku Johor Darul Takzim tentu 'cemburu' dengan hadiah ini namun apakan daya UMNO/BN masih lagi disayangi oleh sebahagian besar rakyat yang masih tidak mahukan perubahan.

Khairul Faizi Bin Ahmad Kamil
KM 89 Lebuhraya Utara Selatan
5 Mei 2008, 10.07 pagi

--------------------------------------------------

Selangor tambah cuti bersalin 90 hari - Utusan Online

SHAH ALAM 4 Mei - Lima negeri yang dikuasai Pakatan Rakyat - Selangor, Pulau Pinang, Kelantan, Kedah dan Perak akan menambah cuti bersalin kepada pekerja wanita berbanding 60 hari yang dilaksanakan pada masa ini.
Negeri Selangor dijangka menambah cuti kepada 90 hari sebagai memenuhi manifesto pilihan raya lalu.
Pulau Pinang pula membuat kajian bagi menambah cuti bersalin kepada 70 atau 75 hari.

Kelantan dan Kedah pula bersedia memberikan cuti bersalin 70 hari manakala Perak mahu meneliti perkara itu dengan lebih terperinci.

Hasrat kelima-lima negeri itu dinyatakan menteri besar atau wakil masing-masing pada Perhimpunan Pekerja dan Wacana Kebangsaan di Stadium Malawati di sini hari ini.

Menteri Besar Selangor, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim ketika berucap berkata, perbincangan akan dibuat dengan Kongres Kesatuan Sekerja Malaysia (MTUC), Kongres Kesatuan Pekerja-Pekerja Dalam Perkhidmatan Awam (CUEPACS).

"Pihak kami dan majikan masih perlu berunding agar apabila kemudahan ini dilaksanakan, pihak pekerja, syarikat atau industri dan kerajaan negeri tidak mengalami kerugian," katanya.

Turut hadir Menteri Besar Perak, Datuk Seri Ir. Mohammad Nizar Jamaluddin; Timbalan Ketua Menteri I Pulau Pinang, Mohammad Fairus Khairuddin; Pengerusi Jawatankuasa Perancangan Ekonomi, Kewangan dan Kebajikan Kelantan, Datuk Husam Musa dan Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Luar Bandar, Usahawan dan Kerja Raya Kedah, Ir. Phahrolrazi Zawawi.

Menurut Abdul Khalid, kerajaan negeri juga sedang mengkaji cuti tambahan tidak lebih 10 hari bagi pasangan yang isteri me- reka baru melahirkan anak.

"Memadai jumlah cuti sedemikian, agar suami membantu meringankan tugas isteri yang masih belum sihat," ujarnya.

Sementara itu, Husam dalam ucapannya berkata, Kerajaan Negeri Kelantan berhasrat memperkenalkan tambahan cuti sebanyak 10 hari lagi iaitu sebelum seorang pekerja wanita bersalin menjadikan jumlah cuti keseluruhan 70 hari.

"Kelantan adalah negeri pertama memperkenalkan cuti 60 hari bagi wanita bersalin, walaupun pada mulanya dikritik Kerajaan Pusat sebelum bersetuju melaksanakannya," kata beliau.

Phahrolrazi yang mewakili Kedah kemudiannya turut bersetuju dengan dasar yang bakal dilaksanakan oleh Kerajaan Negeri Kelantan itu.

Dalam pada itu, Mohamad Fairus berkata, secara prinsipnya Pulau Pinang bersetuju memberikan cuti bersalin sebanyak 75 hari.

"Perkara ini akan diperhalusi dengan lebih mendalam bersama Ketua Menteri," ujarnya.

Mohammad Nizar pula berkata, Perak mempunyai kira-kira 77,000 pekerja sektor awam dan daripada jumlah itu, lebih 40 peratus adalah wanita.

Oleh itu, jelasnya, kerajaan negeri perlu meneliti jumlah mereka yang bercuti bersalin sejak empat tahun lepas terlebih dahulu.

1 Pandangan

  1. Hasbullah Pit // May 5, 2008 at 10:25 AM  

    Saya tak tahulah saya ini betul atau tidak betul.

    Tapi saya melihat Majlis Meraikan ibu tunggal itu sebagai tempat mencari calon isteri kedua.