Umno Johor Tidak Halang Bahagian Adakan EGM

Nukilan Khairul Faizi bin Ahmad Kamil | 4/06/2008 01:55:00 AM | 0 Pandangan »

Laporan daripada Bernama - 05 April, 2008 17:21 PM

JOHOR BAHARU, 5 April (Bernama) -- Badan Perhubungan Umno Johor tidak menghalang mana-mana Umno Bahagian di negeri ini jika mereka memutuskan untuk mengadakan mesyuarat khas perwakilan (EGM).

Menteri Besar dan Pengerusi Perhubungan Umno Johor Datuk Abdul Ghani Othman berkata Umno Bahagian mempunyai peruntukan di dalam perlembagaan parti untuk mengadakan EGM jika mereka merasakannya perlu.

"Mereka (Umno Bahagian) mempunyai peruntukan di dalam perlembagaan Umno yang perlu dipenuhi oleh mana-mana bahagian untuk mengadakan mesyuarat khas perwakilan.

"Bagaimanapun perkara (mengenai EGM) itu tidak dibincangkan oleh mesyuarat Badan Perhubungan Umno Johor hari ini," katanya kepada pemberita selepas mesyurat terbabit yang diadakan di Ibu Pejabat Umno Johor di sini, hari Sabtu.

Abdul Ghani berkata demikian ketika mengulas mengenai cadangan Ketua Umno Bahagian Gua Musang Tengku Razaleigh Hamzah supaya bahagian-bahagian Umno mengadakan EGM meminta Majlis Tertinggi Umno mengadakan Perhimpunan Agung Khas untuk membincangkan prestasi parti pada pilihan raya umum lepas.

Bagaimanapun beliau berpendapat, adalah lebih sesuai jika anggota Umno yang mahu menyatakan pendirian dan pandangan berbuat demikian ketika mesyuarat-mesyuarat agung Umno di peringkat cawangan serta bahagian tahun ini.

"Kita mempunyai proses untuk ahli membuat pendirian dan pandangan pada mesyuarat cawangan dan bahagian," katanya.

Beberapa Umno Bahagian di Johor sebelum ini seperti Umno Bahagian Muar dan Batu Pahat telah pun menyatakan pendirian mereka untuk mengadakan mesyuarat khas perwakilan bagi membincangkan beberapa isu berkenaan kedudukan parti selepas pilihan raya umum ke-12 ini.

Turut hadir pada mesyuarat itu Naib Presiden Umno Tan Sri Muhyiddin Yassin dan anggota-anggota Majlis Tertinggi Umno termasuk Datuk Seri Syed Hamid Albar, Datuk Shahrir Abdul Samad dan Datuk Mohamed Khaled Nordin.

Pada Pilihan Raya Umum yang lepas, Barisan Nasional di Johor memenangi 25 dari 26 kerusi Parlimen yang dipertandingkan dan 50 dari 56 kerusi Dewan Undangan Negeri.-- BERNAMA

0 Pandangan