UMNO Bahagian Muar Dilanda Tsunami!

Nukilan Khairul Faizi bin Ahmad Kamil | 4/12/2008 04:59:00 PM | 0 Pandangan »

Setelah puas mendesak agar satu mesyuarat Agong luar biasa (EGM) diadakan oleh UMNO Bahagian Muar diadakan, nampaknya harapan yang diletakkan oleh Jawatankuasa UMNO Bahagian Muar semakin pudar sehingga mereka mengancam untuk meletakkan jawatan beramai-ramai.

Tsunami pertama yang melanda bahagian ini apabila mereka kehilangan kerusi Dun Maharani dan hampir-hampir kehilangan kerusi Parlimen Muar. Ramai dikalangan pemimpin UMNO di sana yang terkejut apabila mereka tidak berjaya mempertahankan kerusi Maharani.

Walaupun Maharani adalah kerusi 'favourite' PAS pada pilihanraya umum ke 12 yang lalu tetapi kehilangan kerusi ini membuatkan pimpinan UMNO seperti cacing kepanasan. Segala usaha telah dilakukan untuk memastikan bahawa DUN sasaran PAS ini tidak akan terlepas, namun mungkin strategi yang digunakan pada kali ini tidak menjadi.

Pengundi daripada kaum bukan melayu dilihat telah membantu PAS dalam kemenangan ini tetapi bagaimana pula dengan pengundi melayu yang berkarat biru selama ini memberikan sokongan kepada UMNO? Kenapa banyak saluran yang UMNO menang sebelum ini bertukar arah kepada PAS?

Ada yang menyatakan bahawa UMNO/BN tersilap langkah meletakkan calon yang sama sedangkan rekodnya sudah semakin jatuh. Biasalah, bila dah lama memimpin, macam-macam yang tak elok dipandang oleh rakyat.

Namun realitinya, pimpinan UMNO ini mahukan segala kemusykilan, kekusutan dan kekeliruan ini diselesaikan dalam EGM yang sepatutnya mereka telahpun lalui.

Saya percaya, UMNO Muar akan mengalami Tsunami kedua dalam tempoh terdekat ini kerana Ketua UMNO bahagian dan pimpinan UMNO tertinggi peringkat Bahagian Muar tidak berani untuk berdepan dengan realiti.

PAS Kawasan Muar bersedialah, jika tsunami di Acheh dulu menyebabkan ramai yang kehilangan nyawa tetapi tsunami di Muar akan menyebabkan ramai dikalangan ahli UMNO 'menyeberang' ke Parti Islam SeMalaysia (PAS).

Khairul Faizi Bin Ahmad Kamil
12 April 2008, 5.15 petang
-----------------------------------------------------------

EGM: 26 AJK Muar ancam letak jawatan - Malaysiakini
Nash Rahman Apr 12, 08 2:02pm


Seramai 26 ahli jawatankuasa (AJK) Umno bahagian Muar akan meletak jawatan beramai-ramai jika kepemimpinan bahagian itu gagal mengadakan mesyuarat agung luar biasa (EGM) untuk membincangkan krisis yang melanda Umno sekarang ekoran kekalahan teruk parti itu dalam pilihanraya umum 8 Mac lalu.

Salah seorang anggota jawatankuasa berkenaan, Hassan Sulaiman Ninam Shah berkata, majoriti AJK bahagian telah mendesak supaya EGM diadakan dan surat mengenainya telah dihantar kepada setiausaha Umno bahagian pada 1 April.

Menurutnya, Umno bahagian mempunyai masa 14 hari untuk memanggil EGM tersebut tetapi sehingga hari ini, tiada surat dikeluarkan untuk mengadakanya.Ekoran itu, kata beliau, pihaknya akan menunggu sehingga berakhir tempoh 14 hari tersebut (Isnin), sebelum membawa perkara itu kepada Majlis Tertinggi (MT) Umno.

"Sekiranya MT juga gagal mengarahkan EGM diadakan, kami 26 AJK Umno bahagian Muar bersetuju akan meletakkan jawatan secara beramai-ramai," katanya kepada Malaysiakini hari ini.

Hassan yang juga anak kepada bekas pengerusi tetap Umno, Tan Sri Sulaiman Ninam Shah berkata, Perkara 14.6 perlembagaan parti menyebut, sekiranya lebih dua pertiga AJK bahagian menyokong EGM diadakan, maka setiausaha bahagian mesti mengeluarkan notis untuk mengadakannya.

"Tetapi hingga sekarang tiada notis yang dikeluarkan. Kita akan tunggu hingga tamat tempoh 14 hari. Apabila setiausaha bahagian tidak hantar notis, MT kena ambil alih.

Letak jawatan

"Kita nak tengok sama ada MT berani atau tidak mengarahkan EGM diadakan. Jika gagal berbuat demikian, kami akan meletak jawatan secara beramai-ramai," tambahnya.

Hassan juga mendakwa bahawa ketua bahagian berkenaan telah menghantar mesej SMS kepada kalangan 26 ahli AJK meminta mereka menarik balik desakan untuk mengadakan EGM tersebut.

Awal bulan ini, 84 daripada 133 cawangan Umno di bahagian itu bersetuju EGM diadakan untuk membincangkan beberapa isu tentang parti selepas prestasi buruk Umno dalam pilihanraya umum 8 Mac.

Ia kemudiannya disokong oleh 26 daripada 33 ahli jawatankuasa bahagian yang menandatangani persetujuan meminta bahagian mengadakan EGM dalam tempoh 14 hari mulai 1 April lepas. Isu yang akan dibincangkan termasuklah cadangan menghapuskan kuota pencalonan 30 peratus bagi jawatan presiden Umno pada pemilihan agung Disember ini.

Dalam pilihanraya umum lalu, Barisan Nasional (BN) menang 140 kerusi parlimen tetapi gagal mempertahankan penguasaan dua pertiga di Dewan Rakyat.

BN juga kehilangan empat negeri - Kedah, Pulau Pinang, Perak dan Selangor - kepada barisan pembangkang yang terdiri daripada PKR, PAS dan DAP. Manakala PAS berjaya mengekalkan Kelantan dengan tambahan kerusi.

Beliau juga mempertikaikan tindakan 26 ketua bahagian Umno Johor yang menyatakan sokongan mereka kepada Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi semalam."Siapa yang beri mereka mandat kerana setahu saya, tidak sebuah pun bahagian Umno di Johor yang mengadakan mesyuarat untuk menyatakan sokongan kepada Pak Lah.
Mahu bercakap benar


"Mengapa Menteri Besar, Datuk Seri Abdul Ghani Othman tidak beritahu Pak Lah yang ada antara ketua bahagian yang menghadiri perjumpaan dengan beliau minggu lalu, mahu Pak Lah berundur...," soalnya.


Beliau juga menegaskan bahawa Abdullah, Datuk Seri Najib Tun Razak dan semua anggota MT perlu meletakkan jawatan sebagai bertanggungjawab terhadap kekalahan teruk BN dalam pilihanraya umum lalu.


Hassan yakin, ramai lagi ahli Umno yang sependapat dengannya bahawa pucuk pimpinan tertinggi Umno harus bertanggungjawab terhadap kekalahan parti.


"Saya menyokong penuh saranan yang dibuat oleh setiausaha Umno Pahang, Datuk Ahmad Tajuddin Sulaiman, supaya Pak Lah, Datuk Najib dan semua ahli MT letak jawatan...," katanya.Ahmad Tajuddin kemudiannya telah meletakkan jawatannya berkuatkuasa serta-merta.


Bagaimanapun, tegas Hassan, ahli biasa seperti beliau tidak diberi tempat dalam media untuk menyatakan pandangan mereka. "Sudah puas saya bercakap tetapi pihak media tidak pernah melaporkan. "Saya mahu menyatakan pandangan sebenar ahli-ahli di peringkat akar umbi...saya sedia dikenakan apa juga tindakan kerana bercakap benar," katanya.

0 Pandangan