Pelan Tindakan Peralihan Pak Lah?

Nukilan Khairul Faizi bin Ahmad Kamil | 4/12/2008 10:05:00 AM | 0 Pandangan »

Pernah satu masa dahulu, Tun Dr Mahathir berjurai-jurai menitiskan air mata dalam perhimpunan Agong UMNO kerana mengumumkan bahawa beliau meletakkan jawatan sebagai Presiden UMNO. Kepimpinan UMNO ketika itu tidak bersetuju dengan pengumuman yang pastinya mengejutkan banyak pihak. Ramai juga yang menangis dan bersedih dengan pengumuman TDM pada masa itu.

Apabila dipujuk, dirayu oleh pimpinan UMNO termasuklah agenda yang tidak dapat dilupakan oleh Rafidah Aziz yang berkeras agar TDM menarik balik hasratnya meletakkan jawatan.

Akhirnya, satu pelan tindakan peralihan diwujudkan agar TDM meninggalkan UMNO dalam keadaan yang terbaik tanpa meninggalkan parut dan nanah. Sehingga ke hari terakhir TDM bertugas sebagai Perdana Menteri Malaysia, TDM telah diberikan penghormatan oleh penyokong setianya (Jangan lupa, pada hari yang sama Pemuda BA membuat laporan terhadap TDM!)

Tiba-tiba kita dikejutkan dengan pengumuman Pak Lah bahawa Najib akan menggantikan tempat beliau. Mungkin selama ini Pak Lah tidak berapa perasan bahawa Najib adalah Timbalan Perdana Menteri atau Najib sendiri tidak sedarkan perkara itu tetapi Pak Lah terpaksa mengumumkan perkara tersebut.

Semalam, dalam lawatan kerja Pak Lah bertemu dengan UMNO negeri Johor, Umno Johor menyarankan agar Pak Lah menyediakan
Pelan Tindakan Peralihan supaya masyarakat akan berasa lega dengan perkembangan tersebut. Pak Lah menyambut sasaran tersebut dengan menyatakan bahawa pelan tersebut akan disediakan secepat mungkin.

Kesian Pak Lah, mungkin Pak Lah tidaklah beriya-iya sangat untuk melepaskan jawatannya sebagai Presiden UMNO atau Perdana Menteri Malaysia tetapi nampaknya ‘skrip’ yang ditulisnya tidak menarik minat ahli UMNO untuk memohon agar Pak Lah jangan meletakkan jawatan.

Mungkin Pak Lah berhasrat agar kehadirannya ke Johor yang merupakan kubu kuat UMNO di dalam dunia akan menghasilkan harapan baru kepada Pak Lah untuk kekal sebagai Presiden dan UMNO Johor akan mendesak agar Pak Lah kekal sebagai pemimpin namun harapan tersebut punah apabila UMNO Johor pula yang meminta Pak Lah menyediakan pelan tindakan.

Secara tidak langsungnyn menunjukkan bahawa Pak Lah sememangnya sudah tidak diterima lagi walaupun di negeri yang UMNOnya sangat kuat.

Rasanya, Pak Lah perlu belajar dari TDM untuk mengambil hati pemimpin UMNO agar dapat kekal dengan lebih lama lagi. Semalam, jika Pak Lah mengangis dalam pertemuan dengan UMNO Johor dan disiarkan dalam Buletin Utama mungkin Datuk Ghani tak sampai hati untuk minta pelan tindakan peralihan tetapi bila Ghani melihat Pak Lah tak berubah-ubah daripada perangai lama, UMNO Johor minta pelan tindakan.

Agaknya, permintaan UMNO Johor telah membuatkan Pak Lah terkedu sehingga tak semena-mena nama Wilayah Pembangunan Iskandar ditukarkan kepada Iskandar Malaysia.
Khairul Faizi Bin Ahmad Kamil
12 April 2008, 10.14 pagi

0 Pandangan