Zahid: Islam hadhari faktor kekalahan BN? - The StarOnline
04-04-2008 08:36:31 PM
oleh ARIFFUDDIN ISHAK
KUALA LUMPUR: Ramai pihak berpendapat bahawa prestasi merosot parti Barisan Nasional (BN) dalam pilihan raya umum lalu adalah disebabkan oleh prinsip Islam Hadhari, kata Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Dr Ahmad Zahid Hamidi.
“Jika dalam pilihan raya 2004, ramai yang beranggapan kemenangan BN disumbangkan oleh Islam Hadhari, maka kekalahan BN dalam pilihan raya baru-baru ini juga disebabkan Islam Hadhari,” katanya.
Oleh yang demikian, ia menjadi tanggungjawab Institut Kefahaman Islam Malaysia (IKIM), sebagai badan yang berwibawa serta berautoriti untuk menjelaskan kepada semua pihak mengenai prinsip Islam hadhari yang diperkenalkan Perdana Menteri, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi.
“IKIM akan menjalankan penelitian dan penyelidikan serta memperbetulkan mengenai konsep ketamadunan yang gagal difahami oleh ramai pihak,” katanya kepada pemberita selepas melawat IKIM di Jalan Duta, hari ini, Jumaat.
Zahid juga beranggapan kemerosotan ini disumbangkan oleh banyak faktor antaranya dengan meletakkan ‘wajah’ atau kefahaman yang berbeza terhadap Islam hadhari.
“Jangan takut apabila kita sebut mengenai Islam...jangan fobia kerana kita akan pastikan penampilan prinsip Islam hadhari boleh diguna pakai oleh semua orang termasuk bukan Islam”.
0 Pandangan
Post a Comment