Gelombang Ketiga Pepecahan UMNO

Nukilan Khairul Faizi bin Ahmad Kamil | 4/05/2008 04:47:00 PM | 0 Pandangan »

WAJAH & NOTA: Umno dilanda gelombang perpecahan ketiga

05-04-2008 02:26:25 PM
oleh G.MANIMARAN

TIDAK dapat dinafikan ujian pascapilihan raya umum 1969 berulang dalam Umno.Sejak keputusan pilihan raya umum yang ke-12 sebulan lalu, Umno terus berhadapan dengan ujian demi ujian pascapilihan raya umum, yang kelihatan paling hebat berbanding 39 tahun yang lalu.

Hampir setiap hari kritikan, kecaman, pandangan dan saranan diketengahkan untuk memperkukuhkan Umno selaku parti komponen dominan dalam Barisan Nasional (BN).

Umno pernah berhadapan dengan krisis dalaman selepas keputusan pilihan raya umum 1969. Ia diperkukuhkan dengan strategi dalaman ketika segelintir ahli Umno termasuk Tun Dr. Mahathir Mohamad telah mendesak Tunku Abdul Rahman Putra Al-Haj supaya meletakkan jawatan sebagai langkah memikul tanggungjawab atas prestasi buruk Umno dan BN ketika itu.

Hari ini suasana yang hampir sama berulang. Ketika ada pihak yang mendesak supaya Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi meletakkan jawatannya sebagai Perdana Menteri dan Presiden Umno, terdapat juga kumpulan yang mendesak diadakan Perhimpunan Agung Khas Umno bagi membincangkan strategi menyusun semula dan memperkukuhkan Umno.

Umno Bahagian Gua Musang meluluskan usul tersebut kelmarin. Bahagian itu juga menyifatkan Umno berada dalam keadaan darurat.Selepas pilihan raya 1969, Umno buat pertama kali telah berhadapan dengan krisis besar iaitu pada tahun 1988 – keputusan mahkamah ekoran pemilihan parti kira-kira setahun sebelum itu.

Pemilihan parti pada tahun 1987 membawa kepada pecahan paling serius dalam Umno. Pecahan ini secara langsung membawa kepada kewujudan parti serpihan – Semangat 46 pimpinan Tengku Razaleigh Hamzah yang mencabar Dr. Mahathir bagi jawatan nombor satu.

Tun Musa Hitam, timbalan kepada Dr. Mahathir melepaskan jawatan pada 1986. Detik-detik ini telah melemahkan Umno, yang disaksikan dengan trend sokongan dalam pilihan raya umum tahun 1990. Cabaran gandingan Tengku Razaleigh dan Musa mencabar kepimpinan Dr. Mahathir merupakan antara perkembangan yang telah melemahkan Umno pada tahun-tahun berikutnya.

Pecahan tersebut juga dikatakan menjadi faktor penting dalam ‘jurang’ sokongan orang Melayu kepada Umno dalam pilihan raya umum 1990. BN kehilangan Kelantan kepada pembangkang – Pas – salah satu parti komponen utama pakatan pembangkang ketikan itu.

BN mengalami kemerosotan undi populariti meskipun hanya kehilangan satu negeri. BN kekal mendapat sokongan menerusi parti-parti komponennya yang sebahagian besar merupakan pihak yang mewakili masyarakat bukan Melayu.

Sepuluh tahun kemudian Umno sekali lagi berhadapan dengan krisis. Dr. Mahathir memecat Datuk Seri Anwar Ibrahim, ketika itu Timbalan Perdana Menteri, Timbalan Presiden dan Menteri Kewangan, pada September 1998.

Tindakan ini sekali lagi memecahkan sokongan padu yang dibina dengan kemasukan semula kumpulan serpihan ke dalam Umno dan pembubaran S46.Kesan kemerosotan sokongan kepada Umno berulang dalam pilihan raya umum 1999. BN kehilangan negeri kedua kepada Pas – Terengganu. Pas menguasai negeri itu dengan sokongan yang beralih kepada pembangkang.

Penyokong dan ahli yang keluar daripada Umno membawa kepada penubuhan Parti Keadilan Nasional (kini Parti Keadilan Rakyat). Sebahagian penyokong Umno yang beralih sokongan masih belum kembali ke pangkuan parti, dan dirumitkan dengan keputusan pilihan raya umum 2008.Terengganu dirampas kembali dalam pilihan raya umum 2004 – pilihan raya umum pertama di bawah kepimpinan Abdullah sebagai Perdana Menteri.

Sokongan padu itu dijangka mampu berkekalan dalam pilihan raya umum 2008 pada 8 Mac lalu. Malangnya prestasi dan pencapaian sebaliknya yang diterima.BN kehilangan lima negeri termasuk gagal merampas Kelantan. Negeri-negeri lain ialah Perak, Pulau Pinang, Kedah dan Selangor.

Sepuluh daripada 11 kerusi Parlimen di Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur jatuh kepada pembangkang.Pada pilihan raya 2004, Umno mendapat 109 kerusi Parlimen dan 302 kerusi Dewan Undangan Negeri. Empat tahun kemudian, Umno hanya memiliki 79 kerusi di Parlimen dan 239 kerusi Dewan Undangan Negeri.

Prestasi ini dicapai ketika Umno tidak berhadapan dengan krisis disebabkan perpecahan dalaman parti, sebaliknya ekoran pelbagai sebab dalaman dan luaran yang lain. Pelbagai sebab dalaman dan luaran ini digunakan oleh pihak-pihak tertentu untuk mendesak Abdullah meletakkan jawatan. Abdullah telah mengulangi tidak akan tunduk kepada desakan sedemikian.

Kini wujud kritikan demi kritikan yang mempertikaikan keupayaan pemimpin-pemimpin tertinggi.Malah sudah wujud kenyataan bahawa pemimpin tertinggi termasuk Abdullah akan dicabar. Dalam senarai ini ialah Tengku Razaleigh yang menyatakan kesediaan jika mendapat sokongan untuk berbuat demikian. Umno akan mengadakan pemilihan pada Disember ini.

Langkah itu juga telah menggerakkan kesediaan pihak-pihak lain untuk bertanding jawatan-jawatan lain. Ketika Datuk Seri Hishammuddin Huseein menyatakan kesediaan tidak akan mempertahankan jawatannya sebagai Ketua Pemuda Umno, timbul persoalan siapa yang bakal mengisi kekosongan tersebut.

Hishammuddin sudah lama dikatakan akan merebut jawatan Naib Presiden kelak. Dua anggota Kabinet daripada Umno, Datuk Seri Mohamed Nazri Aziz (Menteri di Jabatan Perdana Menteri) dan Datuk Ahmad Shabery Cheek (Menteri Penerangan) menggesa supaya ahli-ahli Umno jangan memusnahkan Umno sekali lagi.Kenyataan kedua-dua mereka secara tidak langsung merujuk kepada Dr. Mahathir dan mereka yang mendesak supaya Abdullah meletakkan jawatan.

Perkembangan sepanjang sebulan lalu menunjukkan bahawa Umno berada dalam persimpangan menuju usaha memperkukuhkan parti. Setiap pihak yang memberikan pandangan mahu mengembalikan kegemilangan Umno.

Mereka mewajarkan pandangan dengan mengatakan bahawa Umno perlu kekal relevan dalam landskap politik negara.Jika itu alasan dan sebab atas tindakan mereka, usaha sedemikian perlu mengelakkan gelombang perpecahan atau kemusnahan peringkat ketiga dalam Umno. Sepanjang lebih dua dekad lalu, Umno berhadapan dengan kitaran krisis setiap 10 tahun.

Kemelut politik yang melanda Umno pada 1988 dan 1998 yang membawa kepada kemerosotan sokongan dalam pilihan raya umum 1990 dan 1999 perlu dielakkan.

Dan ia masih boleh dielakkan untuk kekal relevan. Krisis dalaman Umno juga merupakan krisis bagi BN. Oleh itu pemimpin-pemimpin Umno memikul tanggungjawab berat untuk kekal relevan dalam landskap politik nasional.

0 Pandangan