Apabila Sudah Tertekan, Pak Lah Buka Pekong Di Dada.

Nukilan Khairul Faizi bin Ahmad Kamil | 4/06/2008 06:52:00 PM | 1 Pandangan »

Pak Lah sudah mula bersuara, kali ini beliau telah mula menjawab serangan daripada Tengku Razaleigh Hamzah dan Tun Dr Mahathir. Setelah berminggu-minggu Ku Li & TDM membuat serangan bertubi-tubi ke arah Pak Lah, akhirnya Pak Lah membalas bedilan kedua-dua tokoh veteran UMNO ini dengan pelbagai peluruh yang sebenarnya menikam diri sendiri.

Pak Lah mungkin tahu jawapan yang beliau berikan sebagai balasan daripada serangan ini akan merobek segala kelemahan UMNO/BN tetapi apakan daya Pak Lah tidak mempunyai pilihan melainkan 'membocorkan' segala rahsia dan kebusukan dalam UMNO selama ini.

Berita bertajuk "Ku Li punca UMNO kalah di Kelantan" dilihat sebagai balasan terhadap serangan Ku Li yang cuba merendahkan imej Pak Lah yang cukup merudum ketika ini. Dengan mengungkit segala kesilapan dan kelemahan Ku Li semasa memimpin UMNO Kelantan dan peranan Ku Li sehingga PAS terus memerintah Kelantan terus dijadikan hujah untuk melemahkan Ku Li, lebih-lebih lagi Ku Li ketika ini sedang menawarkan pakej yang menarik kepada pimpinan UMNO di peringkat bahagian untuk mencalonkan beliau sebagai bakal Presiden UMNO yang baru. Ini membuatkan Pak Lah cukup tidak selesa dan kepanasan.

Bukan sekadar Ku Li menjadi sasaran tetapi TDM juga dikritik kerana kerap mengeluarkan kenyataan yang tidak menguntung BN tetapi lebih memberikan harapan kepada parti pembangkang.

Pak Lah juga mendedahkan bahawa beliau tahu tindakan yang telah dibuat oleh TDM menyekat Tun Hussien Onn daripada diberikan liputan dalam media selepas tidak lagi menjadi PM dan siapa yang bertanggungjawab terhdap operasi lalang.

Ayuh Pak Lah! Dedahkan kesemuanya. Kami juga ingin tahu siapa yang bertangungjawab dalam operasi Memali sehingga menyebabkan Ust Ibrahim Libya terbunuh syahid dalam serangan tersebut. Dedahkan segala-galanya. Dedahkan segala kepincangan dan keburukan yang pernah UMNO pernah lakukan termasuklah dosa-dosa UMNO terhadap orang Melayu.

Pastinya, TDM dan Ku Li tidak akan berdiam diri terhadap penyataan Pak Lah ini. Mereka berdua juga ada 'sejarah' Pak Lah yang disimpan untuk didedahkan dan masa sudahpun sangat sesuai sekarang ini.

Sama-sama kita tunggu...

Khairul Faizi Bin Ahmad Kamil
6 April 2008, 6.59 petang

----------------------------------------

PM: Ku Li punca Umno kalah di K'tan - Malaysiakini
Apr 6, 08 4:50pm


Presiden Umno, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi menasihatkan bekas naib presiden Umno, Tengku Razaleigh supaya 'melihat diri sendiri' kerana beliau pernah menjadi punca kekalahan Umno di Kelantan pada 1990.

Malah, tegas Abdullah, salah sebuah kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) dalam kawasan parlimen Tengku Razaleigh juga jatuh ke tangan pembangkang dalam pilihanraya umum 8 Mac lalu.

Kerusi tersebut ialah Galas di mana calon Barisan Nasional (BN) dari Umno, Saufi Deraman gagal mempertahankannya dan tewas kepada calon PAS Che Hashim Sulaiman.Che Hashim menang dengan majoriti 646 undi. Pada 2004, Saufi menewaskan Che Hashim dengan majoriti 1,729 undi.Parlimen Gua Musang mempunyai tiga kerusi DUN - Galas, Nenggeri dan Paloh.

Tengku Razaleigh berjaya mempertahankan kerusi parlimennya itu dengan 4,394 berbanding dengan 6,598 undi pada 2004.Dalam pilihanraya umum 1990, Tengku Razaleigh yang ketika itu menjadi presiden parti Semangat 46 (S46) telah menyertai barisan pembangkang yang dikenali sebagai Angkatan Perpaduan Ummah (APU) bersama PAS dan Berjaya.

S46 merupakan parti serpihan Umno yang ditubuhkan oleh Tengku Razaleigh apabila Umno diharamkan selepas beliau gagal menumbangkan Tun Dr Mahathir Mohamad untuk jawatan presiden Umno pada 1987.

Perhimpunan khas
APU berjaya merampas Kelantan dari BN dan PAS dan S46 menubuhkan kerajaan campuran di negeri tersebut.Bagaimanapun, Tengku Razaleigh kembali ke pangkuan Umno kemudiannya selepas S46 dibubarkan selepas beliau dan Dr Mahathir saling maaf bermaafan.

Menjawab soalan di sidang akhbar selepas mengadakan perjumpaan dengan ketua penerangan Umno bahagian di ibunegara hari ini, Abdullah berkata, Tengku Razaleigh pernah dilantik sebagai pengerusi badan perhubungan Umno Kelantan, tetapi beliau juga gagal mengembalikan negeri itu ke tangan BN.

Presiden Umno itu juga kecewa kerana beliau dimaklumkan bahawa Tengku Razaleigh 'tidak membantu' Umno Kelantan pilihanraya umum yang baru lalu.

Jumaat lalu, Umno bahagian Gua Musang telah mengadakan perhimpunan khas bagi membincangkan prestasi buruk Umno dalam pilihanraya umum 8 Mac lalu dan meluluskan usul menggesa Umno pusat mengadakan perhimpunan agung luar biasa (EGM) bagi membincangkan isu yang sama, serta mencadangkan beberapa pindaan perlembagaan, termasuk memansuhkan kuota pencalonan.

Tengku Razaleigh juga telah menyatakan hasratnya yang sedia dicalonkan bertanding jawatan presiden menentang Abdullah dalam pemilihan Umno Disember depan.

Sementara itu, Abdullah juga berkata, beliau tidak faham sikap dengan Dr Mahathir yang seolah-olah bersikap 'berdolak-dalih' dalam pendiriannya terhadap kerajaan dan pembangkang.

'Keluar arahan'

"Bila kita (Barisan Nasional) menang besar dalam pilihanraya umum 2004, beliau kata ini kuat sangat, tak elok, mesti ada pembangkang, seolah-olah beliau dapat terima pembangkang sepanjang masa," kata Abdullah.

"Bila pembangkang naik (menang besar), saya ingat beliau nak merayakannya, (tapi), beliau hentam kita balik..."Mengapa boleh jadi begini, nampaknya menang banyak pun tak boleh... sikitpun tak boleh...(jadi) apa yang boleh?" tegas Abdullah lagi.

Selain itu, kata Abdullah, beliau juga didakwa terlalu berkuasa sehingga ahli kabinet dan Ahli Majlis Tertinggi Umno tidak berani bersuara, sedangkan menurut beliau lagi, pelbagai sekatan dan arahan dibuat oleh Dr Mahathir sewaktu beliau masih berkuasa.

“Kononnya zaman saya tidak ada kebebasan semua orang takut tapi depa kata saya lembik tapi orang takut kat si lembik seolah-olah dalam kabinet bodoh belaka Khairy (Jamaluddin) seorang yang pandai yang menentukan segala-galanya
“Tuduhan-tuduhan yang tidak ada batas… hentam begitu sahaja. Apakah pada masa dulu tidak ada sekatan-sekatan tertentu… bila Dr Mahahtir mengambil alih jawatan dari Tun Hussein (Onn) saya tahu reporter semua dipanggil jangan beri berita kepada Tun Hussein, jangan tunjuk gambar Tun Hussein. Operasi lalang siapa yang bertanggungjawab saya tahu, bukan saya tak tahu," katanya.

Menurut Abdullah lagi, pada zaman Dr Mahahtir, arahan dibuat dari masa ke semasa agar orang tertentu tidak dipilih.

Kini, katanya, ahli-ahli umno sudah berani bercakap memberi pelbagai kisah dan peristiwa yang berlaku masa dulu semasa Dr Mahathir masih berkuasa.

1 Pandangan

  1. Canser vs B17 // April 6, 2008 at 11:39 PM  

    Alhamdulillah,

    Akhirnya kebenaran mengatasi kebatilan, perang dah bermula....

    Bagi saya biarlah orang2 tua nyanyuk ni bergaduh sesama sendiri sambil merobek dan membuka pekong masing2.

    Saya masih menanti kesudahan cerita Memali yang menyayat hati, AL-FATIHAH kepada Ustaz Ibrahim Libya dan para shahidin.

    AL-FATIHAH....
    Dari AimanCRS