Berlaku Adil Terhadap Isteri

Nukilan Khairul Faizi bin Ahmad Kamil | 4/06/2008 07:21:00 PM | 1 Pandangan »

Berlaku adil terhadap isteri


ISLAM satu-satunya agama di bumi ini membenarkan poligami tetapi melarang sama sekali poliandri.Benarkah berpoligami itu memberikan keistimewaan kepada lelaki atau apakah larangan melakukan poliandri mencabul hak wanita?

Poligami bermaksud seorang lelaki mempunyai lebih daripada seorang isteri, manakala poliandri, wanita berkahwin dengan lebih seorang lelaki dalam satu-satu masa.

Walaupun poligami merujuk perkahwinan berbilang isteri, Islam hanya membenarkannya empat isteri dalam satu-satu masa, sebagaimana dijelaskan dalam al-Quran bermaksud:

"Maka berkahwinlah dengan sesiapa yang kamu berkenan dari perempuan (lain): dua, tiga atau empat. Kemudian jika kamu bimbang tidak akan berlaku adil maka (berkahwinlah dengan) seorang sahaja, atau (kahwinilah) hamba-hamba perempuan yang kamu miliki. Yang demikian itu adalah lebih dekat supaya kamu tidak melakukan kezaliman." (an-Nisa':3)

Sebelum al-Quran diturunkan, poligami berlaku tanpa batasan. Justeru ramai lelaki mempunyai ramai isteri, malah ada yang mempunyai beratus-ratus orang isteri pada satu masa. Selepas kedatangan Islam, ditetapkan peraturan sehingga empat orang saja dengan syarat dapat berlaku adil terhadap isteri-isteri yang dikahwini.

Islam datang untuk mengawal amalan beristeri ramai yang tidak terbatas, seperti pada zaman Jahiliyah satu ketika dulu kepada amalan lebih bersistem, lebih bertanggungjawab dan membela wanita.

Dalam satu kisah, seorang lelaki mempunyai 11 isteri dan apabila memeluk Islam, dia bertanya kepada Nabi Muhammad s.a.w: "Apa yang saya patut lakukan terhadap isteri-isteri saya?

"Nabi Muhammad s.a.w menjawab: "Cerai mereka kecuali empat."Walaupun Islam membenarkan lelaki mempunyai lebih seorang isteri, ada syarat yang perlu dipatuhi, iaitu suami diwajibkan berlaku adil terhadap isteri-isteri dan memberikan layanan sebaik mungkin.

Poligami bukanlah satu peraturan yang mesti diikuti, sebaliknya satu pengecualian. Ramai orang membuat andaian ia satu kewajipan bagi seorang lelaki Muslim untuk mempunyai isteri lebih daripada seorang.

Penceramah bebas, Mohd Rani Awang Besar, berkata berpoligami adalah harus kepada mereka yang berkemampuan.

"Apabila poligami dipraktikkan dengan cara yang baik, mereka mendapat pahala dan begitulah sebaliknya."Macam mana poligami yang mendapat pahala?

"Poligami yang mendapat pahala ialah yang ada tanggungjawab, cukup nafkah zahir dan batin, iaitu giliran bermalam, manakala persoalan disetubuhi atau tidak, ia tidak dikaitkan kerana menjadi perkara rahsia," katanya.

Beliau berkata, adil bukan bermaksud sama rata, seperti jika isteri pertama mendapat RM300, lalu isteri kedua perlu diberikan RM300 juga.

"Sebaliknya adil ialah membuat pertimbangan sewajarnya, mengikut keperluan, jika isteri pertama mempunyai anak lebih ramai perlulah diberikan perbelanjaan lebih besar, manakala isteri kedua kurang sedikit jika tanggungan tidak ramai.

"Begitu juga rumah kediaman, adil tidak semestinya sama besar, cuma mengikut keperluan isteri dan kemampuan," katanya. Dalam hal yang sama Allah berfirman:

"Dan kamu tidak akan dapat berlaku adil di antara isteri-isterimu sekalipun kamu bersungguh-sungguh; oleh itu janganlah kamu cenderung dengan melampau-lampau sehingga kamu biarkan isteri yang lain seperti benda yang tergantung; dan jika kamu memperbaiki dan memelihara diri, maka sesungguhnya Allah Maha Pengampun, lagi Maha Mengasihani." (an-Nisa: 129)

Ayat di atas menegaskan manusia tidak dapat berlaku adil sekalipun bersungguh-sungguh, seolah-olah berlaku percanggahan dengan ayat sebelum itu yang menekankan prinsip berlaku adil dan bagi mereka yang kurang memahami ayat al-Quran mungkin keliru.

Menjelaskan perkara ini Mohd Rani berkata, ayat di atas merujuk kepada keadilan yang hakiki dalam pembahagian kasih sayang.

"Adil membahagikan kasih sayang itu adalah perkara rahsia bagi suami. Kasih dan hak kecintaan itu adalah hak suami kerana ia adalah syarat rohaniah," katanya yang juga bekas imam Masjid Saidina Abu Bakar, Bangsar, Kuala Lumpur.

Mohd Rani berkata, suami yang berpoligami perlu mematuhi syarat ketat, misalnya pembahagian masa perlu sama, tidak boleh dipanjangkan dan dipendekkan sesuka hati.

"Jika terlambat pulang suami kena minta maaf, kena berterus terang, menceritakan masalah dihadapi sehingga menyebabkannya terlewat pulang ke rumah.

"Berpoligami ada peraturan yang ketat, bukan boleh dilebihkan pada rumah isteri pertama atau isteri kedua saja, malah kedua-duanya kena adil dari dari segi pembahagian masa, jika tidak haram hukumnya," katanya.

Justeru, disebabkan sukar untuk berlaku adil terhadap isteri, kebanyakan lelaki memilih beristeri seorang.

Alasan untuk berbilang isteri dalam Islam pada asalnya bukan untuk memberikan kepuasan seks kepada suami semata-mata, tetapi untuk menjaga kebajikan balu, malah membela mereka yang menjadi yatim.

Selain itu, poligami adalah jalan penyelesaian kepada isteri yang mandul dan tidak memberikan peluang kepada suami untuk bergelar bapa.Orang bukan Islam terpedaya dengan dakyah poligami satu penindasan kepada wanita.

Mereka membuat kesimpulan yang silap terhadap Nabi Muhammad s.a.w, tanpa membuat kajian secara jujur. Jika diteliti kehidupan Nabi Muhammad, baginda mengahwini seorang wanita, Khadijah dan terus memberikan tumpuan pada isterinya itu dari usianya 24 tahun hingga 50 tahun. Hanya selepas kematian isterinya, nabi mengahwini wanita lain.

Sebab di sebalik Nabi mengahwini lebih seorang wanita ialah untuk menyebarkan Islam dan membantu menyampaikan dakwah Islam.

Ia sangat jelas sekali, kerana jika perkahwinannya semata-mata memenuhi tuntutan biologi, baginda tidak perlu menunggu sehingga usianya 50 tahun untuk mengahwini isteri-isteri lain.

Perkahwinannya mempunyai banyak hikmah, seperti membantu balu yang kematian suami yang syahid ketika memperjuangkan Islam dan merapatkan persaudaraan dengan sahabat seperti Abu Bakar as-Sidiq.

Statistik Jakim menunjukkan bilangan pasangan berpoligami tidak begitu ketara, malah purata bagi 10 tahun berakhir 2004 hanya 1,500 kes poligami setiap tahun. Paling banyak pada 2002 dengan 2,604 kes.

1 Pandangan

  1. matinza // April 7, 2008 at 12:13 AM  

    Poligami juga dapat menghindar masyarakat daripada masalah sosial dan maksiat yang berleluasa.

    Seharusnya, Mahkamah Syariah memberi perhatian khusus terhadap setiap permohonan untuk berpoligami agar mereka yang berkelayakan dan berniat baik tidak dibiarkan tertekan dengan proses yang remeh temeh.