Linggam Memalukan Institusi Guaman di Malaysia!

Nukilan Khairul Faizi bin Ahmad Kamil | 1/25/2008 08:15:00 AM | 0 Pandangan »

VK Linggam cukup mudah untuk menepis isi kandungan klip video yang menjadi kontroversi ketika ini dengan berkata..."Ikut suka aku la apa yang aku nak kata, ini rumah aku!"

Apa agaknya persepsi pelanggan yang pernah berurusan dengan dia ni. Mungkinkah apa yang dia pernah katakan sebelum ini semuanya mengarut dan yang mana pula yang tidak mengarut bila dia berkata-kata.

Linggam juga memberikan alasan bahawa dia suka menunjuk-nunjuk dan boleh berpura-pura bercakap dengan sesiapa sahaja. Kesian, punyalah nak menunjuk-nunjuk dan berpura-pura dia terpaksa bercakap selama 14 minit di telefon dihadapan Loh Mui Fah dan anaknya. Kalau begitu bukan nak menunjuk-nunjuk tapi Linggam boleh juga dikategorikan sebagai kurang waras @ sakit jiwa.

Mari kita tunggu apa lagi yang Linggam akan katakan untuk memutarbelitkan fakta dan kenyataannya.
Khairul Faizi Ahmad Kamil
----------------------------------------------
Lingam: Saya cakap untuk menunjuk-nunjuk saja - Malaysiakini
Beh Lih Yi Jan 24, 08 5:32pm

Peguam Datuk VK Lingam memberitahu suruhanjaya diraja yang menyiasat klip video mengenai pelantikan hakim bahawa terpulang kepadanya untuk "berpura-pura" bercakap dengan sesiapa sahaja yang dia suka.

“Saya boleh pilih tajuk yang sama suka. Malah, saya boleh berpura-pura bercakap dengan Presiden Bush kalau saya mahu," katanya.

Apabila ditanya oleh peguam yang mewakili Majlis Peguam, Ranjit Singh mengapa beliau memilih untuk berbual melalui telefon mengenai pelantikan hakim yang dirakam secara rahsia pada 2001, Lingam berkata beliau mengarut apa sahaja di rumahnya.

“Ia (perbualan itu) adalah di rumah saya. Rumah saya adalah kota saya. Saya rajanya. Saya boleh mengarut apa saja di rumah saya," katanya.

Apabila diasak berulangkali mengapa beliau memberitahu ahli perniagaan Loh Mui Fah bahawa beliau bercakap dengan Hakim Besar Malaya ketika itu, Tun Ahmad Fairuz Sheikh Abdul Halim, Lingam berkata, beliau tidak ingat memberitahu perkara itu kepada Loh.

Malah, katanya, jika beliau berkata demikian sekalipun, beliau hanya cakap untuk menunjuk-nunjuk sahaja.
Minggu lalu, Loh memberitahu suruhanjaya tersebut bahawa beliau berada di rumah Lingam apabila perbualan tersebut dirakamkan. Menurut Loh, apabila ditanya dengan siapa dia bercakap, Lingam memberitahunya, orang itu adalah Ahmad Fairuz.

Anaknya, Gwo Burne juga memberitahu suruhanjaya tersebut bahawa dia yang merakam perbualan telefon Lingam tersebut.

Dalam keterangannya sebelum ini, Lingam tidak dapat menyatakan sama ada lelaki yang berbual melalui telefon dalam klip video tersebut adalah beliau.

Sebaliknya, Lingam memberitahu suruhanjaya siasatan diraja itu bahawa orang berkenaan "nampak seperti saya, suaranya macam saya".

0 Pandangan