Siapakah Peguam ini?

Nukilan Khairul Faizi bin Ahmad Kamil | 1/26/2008 04:59:00 PM | 0 Pandangan »

Siapa agaknya Tetuan Azman Ibrahim yang dituduh ini? Pastinya Pemuda UMNO Bahagian Kluang dapat memberikan jawapannya...

Peguam tak mengaku seleweng RM637,500

BATU PAHAT: Seorang peguam mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen 1, di sini, semalam terhadap pertuduhan menggelapkan sekeping cek bernilai RM637,500 milik pelanggannya, Koperasi Kemajuan Tanah Negeri Johor, Cawangan Kluang, dua tahun lalu.
Tertuduh, Azman Ibrahim, 38, yang tidak diwakili peguam mengaku tidak bersalah dan meminta dibicarakan selepas pertuduhan dibacakan Pegawai Pendakwa, Asisten Superintendan Junainah M Kasbolah.


Hakim Abu Bakar Katar, memerintahkan tertuduh diikat jamin RM10,000 dengan seorang penjamin dan menetap-kan 26 Mac ini sebagai tarikh perbicaraan kes berkenaan.


Abu Bakar juga memerintahkan pasport tertuduh diserahkan kepada mahkamah sehingga perbicaraan kes berkenaan selesai.


Mengikut kertas pertuduhan, Azman dari Tetuan Zachery & Azman, dituduh menerima sekeping cek yang diserahkan wakil Koperasi Kemajuan Tanah Negeri Johor, cawangan Kluang, Raob Ahmad.


Tertuduh menerima cek berkenaan di pejabat koperasi itu di No 8, Tingkat 1, Jalan Persiaran Datuk Ismail Hassan, Kluang, antara jam 10 pagi hingga 12 tengah hari pada 26 Februari 2005.


Raob menyerahkan cek berkenaan kepada tertuduh yang juga peguam panel koperasi itu sebagai bayaran untuk membeli bangunan Mintzen Sdn Bhd.


Bagaimanapun, pada 4 Mei 2007, Raob yang juga Bendahari Koperasi Kemajuan Tanah Negeri Johor, cawangan Kluang membuat laporan polis selepas mengesyaki tertuduh menggelapkan cek berkenaan.


Tertuduh ditahan sepasukan anggota Bahagian Siasatan Jenayah Komersial Ibu Pejabat Polis Daerah Kluang, di kediamannya di Taman Permata, di sini, kira-kira jam 7.30 pagi semalam.

0 Pandangan