Saya baru terbaca berita Muktahir daripada MStarOnline tentang kemungkinan Parti Pembangkang akan diberikan ruang berkempen di RTM semasa pilihanraya Umum nanti.
Adalah lebih baik rasanya Datuk Ahmad Zahid Hamidi tidak membuat apa-apa kenyataan berkaitan dengan peluang pemimpin parti politik selain daripada Barisan Nasional (BN) untuk muncul memberikan pandangan dalam kempen pilihanraya di RTM daripada membuat kenyataan sekadar untuk mengkaji sama ada ia berfaedah untuk rakyat atau tidak. Malah, pelbagai perseptif negatif telah dilontarkan sebelum ianya dikaji dengan teliti.
Seakan sudah sebati rasanya bahawa media massa dan media elektronik dikuasai atau dikawal oleh BN sama ada ketika kempen pilihanraya atau diluar kempen pilihanraya. Ruang demokrasi yang sangat terbatas ini walaupun seringkali dipertikaikan dan dibantah namun BN tetap menganggap bahawa media milik kerajaan adalah milik mereka sendiri.
Sebelum sempat peluang diberikan kepada pemimpin pembangkang untuk muncul berkempen dikaca televisyen atau diruang udara, Datuk Zahid telah meletakkan syarat dan prasangka yang buruk kepada mereka terlebih dahulu.
Datuk Zahid ternyata bimbang sekiranya pemimpin parti pembangkang diberikan peluang ini, sokongan rakyat akan goyah terhadap kerajaan. Datuk Zahid seolah-olahnya beranggapan bahawa rakyat Malaysia mudah terpukau dan tertipu dengan kata-kata pemimpin pembangkang ini.
Datuk Zahid...rakyat Malaysia bukannya buta dan tuli. Rakyat Malaysia cukup matang untuk menilai di antara kaca dan permata. Apa yang Datuk risaukan sebenarnya? Saya percaya rakyat Malaysia mampu membuat penilaian dengan akal yang waras, bukan memilih pemimpin parti yang bakal mewakili mereka dengan membuta-tuli sahaja.
Datuk Zahid...mungkin Datuk menganggap persepsi positif rakyat kepada pemerintah pada hari ini positif, itu pandangan dan anggapan Datuk tapi Datuk juga harus ingat bahawa rakyat yang Datuk anggap mereka positif kepada kerajaan ini sebenarnya cukup tertekan dengan perkembangan akhir-akhir ini.
Mungkin Datuk rasa dengan kenaikan harga barang yang melambung tinggi pada hari ini menyembabkan rakyat cukup gembira, mungkin Datuk mengangap dengan jenayah yang semakin meningkat menyebabkan rakyat dapat tidur lena setiap malam, mungkin Datuk percaya bahawa rasuah dan salah guna kuasa dikalangan pemimpin kerajaan pada hari ini disukai oleh rakyat. Namun semua itu adalah anggapan Datuk sahaja.
Cukuplah Datuk Zahid...jangan bercakap seperti kanak-kanak sekolah yang masih belum matang. Lebih baik diam daripada menyakitkan hati orang lain.
Khairul Faizi Bin Ahmad Kamil
019-7701830
---------------------------------------------------------------------------------
Kemungkinan pembangkang berkempen guna RTM dikaji
TELUK INTAN: Kementerian Penerangan akan meneliti faedahnya kepada rakyat sekiranya pemimpin pembangkang diberi peluang muncul untuk berkempen menerusi RTM menjelang pilihan raya nanti, kata Timbalan Menteri Penerangan Datuk Ahmad Zahid Hamidi.
Katanya pemimpin parti pembangkang tidak akan dibenarkan muncul di RTM untuk berkempen sekiranya mereka menimbulkan masalah kepada rakyat dengan memburukkan lagi sesuatu isu.
"Kita bimbang sekiranya mereka hanya ingin menterjemahkan apa kehendak parti mereka tanpa memikirkan masyarakat, maka ia akan merosakkan persepsi rakyat yang selama ini positif memberi sokongan kepada kerajaan," katanya kepada pemberita malam tadi pada majlis meraikan Pegawai Daerah Hilir Perak Azimuddin Mohd Rafie sempena persaraannya.
Ahmad Zahid berkata RTM pernah memberi peluang kepada tokoh parti pembangkang untuk mengambil bahagian dalam program Debat Perdana tetapi ada yang menolaknya "mungkin kerana rasa bimbang".
"Tetapi apabila pilihan raya, mereka ingin pula tampil di RTM," katanya.' BERNAMA
0 Pandangan
Post a Comment