Perhimpunan 15,000 ahli dan penyokong MIC - Malaysiakini
Jan 3, 08 4:01pm
Kira-kira 15,000 ahli dan penyokong MIC akan berhimpun di Kuala Lumpur pada 20 Januari ini untuk menzahirkan sokongan kepada Barisan Nasional (BN) dan Perdana Menteri, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi.
Menurut Presiden MIC, Datuk Seri S Samy Vellu perhimpunan tersebut - yang akan diadakan di Stadium Badminton di Cheras - merupakan siri pertama perhimpunan anjuran MIC di seluruh negara untuk mengukuhkan kekuatan parti dan menyuokong BN menjelang pilihanraya umum akan datang.
Selain Abdullah, katanya, Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Abdul Razak juga akan dijemput menghadirinya.
"Perhimpunan yang sama akan diadakan di semua negeri secara berperingkat-peringkat," katanya dalam laporan Bernama.
Samy Vellu berkata perdana menteri juga akan menyampaikan ucapan penting di perhimpunan 20 Januari depan.
Perdana Menteri, katanya, dijangka menekankan pentingnya perpaduan dikekalkan dalam negara yang berbilang kaum dan agama.
Menurutnya lagi, semua perhimpunan tersebut bertujuan untuk menjelaskan kepada ahli-ahli parti dan masyarakat India tentang perjuangan, pencapaian dan cabaran-cabaran yang dihadapi oleh mereka untuk menghantar isyarat kepada pembangkang bahawa masyarakat India sentiasa berdiri teguh di belakang BN.
Samy Vellu berkata, ahli-ahli MIC bersatu dalam berdepan dengan percubaan pihak-pihak tertentu untuk mencetuskan isu-isu perkauman dan agama untuk kepentingan agenda politik mereka sendiri.
Pembangkang dikecam
Beliau juga mengecam parti-parti pembangkang yang menggunakan kuil-kuil Hindu untuk mencetuskan isu-isu perkauman dan agama.
Katanya, wujud trend baru di mana mereka mendapatkan beberapa orang India untuk mengadakan ceramah politik di kuil kerana mereka tahu ramai penganut Hindu akan datang bersembahyang.
Oleh itu, katanya, kaum India mesti memikirkan masa depan mereka dan kebaikan negara dan tidak membiarkan diri mereka diperdayakan oleh pembangkang.
MIC dan kepimpinannya berdepan dengan tekanan yang besar selepas kemunculan Hindraf (Hindu Rights Action Force).Pada 25 November lalu, Hindraf telah menganjurkan perhimpunan rakyat yang disertai oleh kira-kira 30,000 orang. Hindraf menuduh MIC gagal mewakili kaum India, tetapi parti itu menafikannya.
Selain itu, Hindraf juga mendakwa, kerajaan telah meminggirkan masyarakat India dan juga mendakwa mereka menjadi mangsa 'pemansuhan etnik'.
Berikutan itu, lima pemimpin Hindraf telah ditahan di bawah Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA).
0 Pandangan
Post a Comment