Dr Rosli Allani Menulis...

Nukilan Khairul Faizi bin Ahmad Kamil | 1/10/2008 11:06:00 AM | 0 Pandangan »

Antara mabuk seorang pemimpin dan penagih - Malaysiakini
Dr Rosli Allani Jan 9, 08 2:40pm


Dunia politik Malaysia digegarkan dengan pengakuan tulus ikhlas Menteri Kesihatan Dr Chua Soi Lek bahawa beliaulah lelaki dalam pita rakaman yang diedarkan di Johor tempohari. Pita rakaman itu mungkin telah beredar ke seluruh dunia pada masa ini.Ledakan teknologi maklumat menyaksikan satu lagi peristiwa yang jelas membawa mesej rakyat - tindakan tidak bermoral, apatah lagi di kalangan mereka yang diangkat sebagai pemimpin - tidak dapat diterima walau apa cara dan alasan sekalipun. Kenyataan beliau selepas mengumumkan peletakan semua jawatan dalam kerajaan dan MCA, sememangnya wajar dijadikan iktibar. Beliau bukanlah orang yang pertama dan terakhir yang akan melalui sepak terajang politik dn terpelanting keluar. Kerajinan dan komitmennya kepada tugas mencemaskan pesaing politik yang lain. Itulah tanggapannya.

Namun semuanya adalah jelas, komitmen seseorang - walau sebesar mana sekalipun - akan berakhir dengan penghinaan dan kecaman sekiranya permasalahan moral dan perlakuan sumbang mereka menjadi juadah umum. Kerana juadah itu, walaupun sedap dan mengasyikkan untuk dibaca dan dilihat, amatlah menghanyirkan. Ciri-ciri pemimpin yang diingini rakyat itu jelas - bersih, tidak menyalahi tanggapan umum walau seperibadi mana pun dia.

Namun, sejauh mana rakyat marhain hari ini menilai bersihnya seorang pemimpin? Kadang-kadang mereka merasakan tiada pilihan yang lebih baik untuk menyandarkan sebuah harapan. Mereka lebih suka mengikut arus. Mengharapkan segalanya kekal baik, walaupun sikap baik dan jahat seseorang itu boleh berubah.

Mereka amat yakin kepada orang yang sangat baik akan kekal baik, tetapi rata-rata individu yang ada adalah di antara dua ekstrim - yang boleh pergi ke kiri dan ke kanan. Begitulah hakikat kehidupan.

Kita secara umumnya menilai seorang penagih sebagai golongan terbuang dan hina, sampah dan perosak masyarakat. Mungkin amat jarang sekali kita memberi mereka peluang kedua. Namun, tidak sedikit pemimpin yang disangsikan keperibadian mereka terus diberi peluang kedua dan ketiga, atau untuk kesekian kalinya, kerana masyarakat tidak menilai tahap kerosakan yang dibawa oleh mereka.

Mungkin hanya dengan tangisan mereka, dengan berpakaian mahal dan kemas, dengan secebis janji manis, cairlah hati penilai. Persepsi manusia berubah berdasarkan pengamatan dan pemerhatian mereka.

Chua menunjukkan contoh yang baik. Beliau bukan berhenti untuk tidak membebankan kerajaan BN yang sudah cukup terbeban. Beliau seorang yang berprinsip. Berani buat berani tanggung. Beliau memohon kemaafan.

Beliau bertindak berdasarkan norma dan pandangan masyarakat bila berhadapan dengan salahlaku yang beliau lakukan. Mabuknya sesetengah pemimpin, mereka sanggup melawan arus. Mereka bertindak di luar norma kehidupan kerana mereka yakin mereka berada jauh di atas melebihi segala kuasa di bumi.

Antara mabuk seorang pemimpin dan penagih, bezanya, mabuk seorang pemimpin, mereka dalam syurga dan kenikmatan dunia, dihormati dan disanjungi. Mabuk seorang penagih, kebanyakan mereka di dalam dunia mereka yang penuh duri dan liku, dibenci dan dikeji.
Siapakah sebenarnya yang bersalah?
* Penulis adalah Pengerusi Lajnah Antarabangsa Dewan Pemuda PAS Pusat

0 Pandangan