PKR, DAP sepakat satu lawan satu tentang BN di Pulau Pinang - Malaysiakini
Athi Veeranggan Jan 9, 08 3:59pm
Parti pembangkang DAP dan PKR hari ini mengumumkan persepakatan dalam misi mereka untuk merampas Pulau Pinang dari Barisan Nasional (BN) dalam pilihanraya umum akan datang.
Sehubungan itu, kedua-dua parti tersebut menandatangani persetujuan untuk memastikan pertandingan satu lawan satu antara calon pembangkang dengan BN dalam pilihanraya umum nanti.
Di bawah perjanjian tersebut, DAP - yang sudah lama mengidam untuk memerintah Pulau Pinang - akan bertanding di tujuh daripada 13 kerusi Parlimen dan 19 daripada 40 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN). Manakala PKR dan sebuah lagi pembangkang - PAS - akan mengadakan rundingan untuk pengagihan baki kerusi Parlimen dan DUN di Pulau Pinang.
Dalam satu sidang akhbar di Pulau Pinang pagi tadi, Setiausaha Agung DAP, Lim Guan Eng berkata, partinya dan PKR telah mencapai persetujuan untuk tidak bertanding kerusi yang sama.Lim berkata, PKR dan DAP juga bersetuju untuk bekerjasama rapat sama ada di peringkat nasional atau negeri untuk memastikan kemenangan calon-calon pembangkang dalam pilihanraya umum kali ini.
"Kedua-dua parti telah mencapai kata sepakat. Sudah tiba masanya untuk bekerja keras bagi memastikan kejayaan kita di Pulau Pinang dalam pilihanraya umum nanti," kata Lim.
Ditanya mengapa kerusi DUN yang akan ditandingi DAP berkurangan kali ini berbanding 20 kerusi pada 2004, Lim berkata parti itu menerima politik berkompromi dan bekerjasama, daripada mengamalkan politik satu pihak yang telah menjejaskan hubungan antara kedua buah parti itu dalam pilihanraya lalu.
Ketua Umum PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim juga memberitahu sidang akhbar itu bahawa partinya kini akan memuktamadkan pengagihan baki kerusi itu dengan rakan komponennya dalam Barisan Alternatif - PAS.Menurutnya, pengumuman mengenainya akan dibuat kemudian.
"Bagi kerusi-kerusi lain yang membabitkan PAS, satu perbincangan akan diadakan dan pengumuman berasingan akan dibuat, dan (kita) berharap rakyat akan memberi sokongan kepada calon DAP supaya mereka menang di kawasan-kawasan yang telah diperuntukkan," katanya.
Anwar berkata, keputusan bersama itu dicapai berasaskan kepada persetujuan ahli-ahli parti itu di peringkat akar umbi bagi mewujudkan satu barisan pembangkang dalam pilihanraya umum akan datang.
"Kita akan pastikan bahawa ia merupakan pertandingan satu lawan satu antara kita dengan BN di semua kerusi, bukan sahaja di Pulau Pinang tetapi juga di seluruh negara," katanya.
Kata sepakat Persetujuan antara kedua-dua parti itu juga membolehkan DAP bertanding di Parlimen Batu Kawan manakala PKR akan bertanding di DUN Bukit Tambun. Kerusi itu terletak dalam kawasan Parlimen Batu Kawan.
Kerusi Batu Kawan sudah lama menjadi rebutan antara DAP dan PKR.
Pada 2004, kedua-dua parti itu bertanding di kerusi yang sama, menyebabkan undi pembangkang berpecah dan dimenangi oleh calon BN.Satu lagi persetujuan yang dicapai ialah pertukaran kerusi Pulau Tikus dan Kebun Bunga antara DAP dan PKR.
Ditanya mengapa kerusi Batu Kawan diserahkan kepada DAP walaupun ia dibantah oleh ahli-ahli PKR, Anwar berkata ahli partinya akan memahaminya bahawa untuk mencapai kata sepakat dalam sesuatu rundingan, tentulah ada kerusi yang dapat dan juga perlu beralah.
Pada 2004, berlaku bertandingan tiga penjuru antara DAP, PKR dan BN, termasuk di kerusi Parlimen Batu Kawan. Yang lainnya semuanya kerusi DUN - Bukit Tambun, Bagan Dalam dan Sungai Pinang - dimenangi oleh BN.
Perjanjian yang dicapai itu juga menyaksikan DAP bertanding di kerusi-kerusi di kawasan utara pulau yang majoriti pengundinya adalah kaum Cina, manakala PKR dan PAS akan menumpu ke kawasan majoriti pengundi Melayu di barat daya pulau tersebut.
Ia juga bakal menyaksikan DAP bertembung dengan MCA dan Gerakan manakala PKR/PAS akan berdepan dengan Umno.
Sidang akhbar pagi tadi turut dihadiri oleh pemimpin veteran DAP, Lim Kit Siang dan Setiausaha Agung PKR, Tan Sri Khalid Ibrahim.
Pemimpin pembangkang peringkat negeri Chow Kon Yeow (DAP) dan Zahrain Mohamed Hashim (PKR) turut hadir.
Kerusi DUN DAP
Ahli Dewan Undangan Negeri Sungai Puyu, yang juga bendahari DAP Pulau Pinang, Phee Poon Boh berkata, kompromi tersebut tidak harus dilihat sebagai satu kekalahan kepada DAP dan kemenangan kepada PKR.
"Ia mencerminkan realiti politik hari ini, iaitu untuk menubuhkan kerajaan negeri Pulau Pinang, semua parti perlu berkompromi dan berkerjasama bagi mendapatkan sokongan semua pengundi tanpa mengira kaum dan agama untuk menjamin kemenangan.
"DAP tidak boleh lagi berterusan bergantung kepada pengundi Cina untuk menang. Ia juga perlukan kedua-dua undi orang Melayu dan India," katanya.
Dalam sidang akhbar itu, Chow dan Zahrain menandatangani perjanjian mengenai pengagihan kerusi yang dipersetujui itu.Dalam satu kenyataan kemudiannya, Setiausaha Agung PKR, Tan Sri Khalid Ibrahim, PKR percaya persetujuan ini akan memberikan kesan yang sangat bermakna dalam usaha untuk memecahkan hegemoni BN dan Pulau Pinang sebagai salah satu negeri tumpuan parti itu.
"Keadilan tegas untuk menjalinkan kerjasama tulen dengan semua pihak yang komited kepada usaha mengubah lanskap politik Malaysia, melalui saluran demokrasi, kepada sebuah pentadbiran yang bersih, cekap dan amanah.
"Dengan itu, Keadilan menggesa pengundi di Pulau Pinang dan seluruh rakyat Malaysia mengambil peluang terbaik untuk menyelamatkan Malaysia dengan memberi sokongan dan undi kepada semua parti-parti politik yang berusaha menghadapi BN," katanya.
Pada masa ini, DAP mempunyai empat kerusi Parlimen di Pulau Pinang - Bagan, Bukit Mertajam, Tanjong dan Bukit Gelugor - dan satu kerusi DUN - Sungai Puyu.
Manakala PKR mempunyai satu kerusi Parlimen - Permatang Pauh yang diwakili oleh Presidennya, Datin Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail. PAS pula mempunyai satu kerusi DUN di Permatang Pasir.
Menurut kenyataan Khalid itu, kerusi Parlimen yang akan ditandingi oleh DAP ialah Bagan, Bukit Mentajam, Batu Kawan, Bukit Bendera, Tanjong, Jelutong dan Bukit Gelugor.
Manakala kerusi DUN pula ialah Sungai Puyu, Bagan Jermal, Bagan Dalam, Berapit, Padang Lalang, Perai, Jawi, Tanjong Bunga, Air Putih, Pulau Tikus, Padang Kota, Pengkalan Kota, KOMTAR, Datok Keramat, Sungai Pinang, Batu Lanchang, Seri Delima, Air Itam, Paya Terubong.
0 Pandangan
Post a Comment