Hindraf 5 lancar mogok lapar -Malaysiakini
Soon Li Tsin Jan 10, 08 3:13pm
Lima orang pemimpin Hindraf yang ditahan di bawah Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) akan mengadakan mogok lapar mulai 20 Januari ini.
P Uthayakumar, R Kenghadharan, M Manoharan, V Ganabathirau dan T Vasanthakumar kini sedang ditahan di pusat tahanan Kamunting, Perak.
Peguam mereka, M Kulasegaran memberitahu hari ini bahawa kelima-limanya akan mengadakan mogok lapar itu sebagai membantah penahanan mereka tanpa bicara.Mogok itu akan diadakan selama lima hari, mulai jam 7.30 pagi 20 Januari hingga 7 malam 25 Januari.
Menurut Kulasegaran, mereka juga menggesa rakyat Malaysia supaya menyertai mengadakan mogok lapar tersebut.
Mengenai keadaan mereka, Kulasegaran berkata, kelima-lima dalam keadaan baik tetapi Kenghadharan - seorang vegetarian - menghadapi kesukaran dengan makanan yang disediakan.Ini bukanlah mogok lapar pertama yang diadakan berhubung dengan penahanan mereka.
Hujung tahun lalu, seorang aktivis Singapura, Seelan Palay, 23, mengadakan mogok lapar dan hanya minum air selama lima hari - sehari bagi setiap seorang pemimpin HIndraf yang ditahan - di luar bangunan Suruhanjaya Tinggi Malaysia di republik tersebut.
Pemimpin Hindraf berkenaan ditahan di bawah ISA selepas mereka menganjurkan perhimpunan yang dihadiri kira-kira 30,000 orang, sebahagian besarnya kaum India, di ibunegara pada 25 November lalu.
Berikutan itu, pemimpin dan penyokong Hindraf telah didakwa di mahkamah atas tuduhan menghasut, melakukan khianat dan menyertai perhimpunan haram.Pada 13 Disember tahun lalu, Uthayakumar, Kenghadharan, Manoharan, Ganabathirau dan Vasanthakumar ditahan di bawah ISA - selepas kerajaan mengaitkan pergerakan itu dengan kumpulan pengganas di luar negeri.
Sementara itu, tuduhan yang mengaitkan mereka dengan pengganas akan didengar oleh badan penasihat ISA yang akan bersidang pada 14 Januari ini di kem tersebut.
“Badan penasihat itu akan mendengar tuduhan (mengenai aktiviti keganasan) terhadap mereka. Ia merupakan persidangan tertutup, tetapi kelima-lima pemimpin Hindraf itu akan diwakili oleh peguam mereka," kata Kulasegaran. berita asal
0 Pandangan
Post a Comment