ADUN Tenggaroh, Mersing Mati DiTembak

Nukilan Khairul Faizi bin Ahmad Kamil | 1/11/2008 08:30:00 PM | 1 Pandangan »



JOHOR BAHARU 11 Jan — Anggota Dewan Undangan Negeri kawasan Tenggaroh Datuk S. Krishnasamy ditemui mati dengan kesan luka tembakan dalam sebuah lif di bangunan MIC di Jalan Segget di sini hari ini.

Timbalan Pengerusi MIC Johor itu ditemui dalam keadaan berlumuran darah pada pukul 2.10 petang oleh Ketua Puteri MIC Johor R. Vithiyamohan, kata Timbalan Ketua Polis Johor, Datuk Mohd Mokhtar Mohd Sharif.
Krishnasamy, 61, dipercayai sedang menuju ke tingkat dua bangunan itu untuk menghadiri mesyuarat perhubungan MIC Johor.

Mohd Mokhtar berkata, polis telah menubuhkan sebuah pasukan khas untuk menyiasat dan meminta semua pihak supaya tidak membuat sebarang spekulasi mengenai kejadian itu.

“Biar polis buat siasatan,” katanya.

Polis belum menyatakan motif di sebalik kejadian itu. Tiada sebarang senjata api ditemui di dalam lif itu.

Menurut seorang saksi, beliau melihat seorang lelaki meninggalkan tempat kejadian dalam keadaan tergesa-gesa dengan menunggang sebuah motosikal.

Ini merupakan kali kedua seorang anggota dewan undangan negeri mati ditembak. Pada November 2000, wakil rakyat Lunas di Kedah, Dr Joe Fernandez, 54, ditembak oleh seorang pembonceng motosikal ketika beliau memberhentikan keretanya di satu persimpangan lampu isyarat di Bukit Mertajam.

Krishnasamy, yang juga anggota jawatankuasa pusat MIC, menjadi wakil rakyat Tenggaroh sejak pilihan raya umum 2004. Beliau juga adalah Ketua MIC bahagian Labis.

Ketua MIC cawangan Taman Datuk Chellem, S. Arumugam, berkata, bahawa sebelum ke bangunan MIC itu, Krishnasamy makan tengah hari bersama beliau dan tiga lagi pemimpin MIC bahagian di sebuah restoran di Jalan Trus, tidak jauh dari bangunan itu.

“Kami borak-borak sahaja, Datuk sempat makan nasi campur,” katanya.

Arumugam berkata, bahawa selepas makan tengah hari, Krishnasamy telah meminta diri untuk ke bangunan MIC kerana mahu menghadiri mesyuarat dan beliau sendiri turut beredar untuk menuju ke tempat sama dengan sebuah kereta lain.

Arumugam berkata, setibanya di tempat letak kereta di luar bangunan MIC itu, beliau terkejut apabila mendengar tangisan dua orang wanita di bangunan itu.

Vithiyamohan pula berkata, ketika beliau mahu menaiki lif di tingkat lima beliau terperanjat mendapati satu mayat dalam keadaan tertiarap di dalamnya.

Sehingga ini polis masih menyiasat untuk menentukan sama ada Krishnasamy ada membawa senjata api sendiri semasa kejadian.

Mayatnya telah dibawa ke Hospital Sultanah Aminah untuk bedah siasat.- Bernama

1 Pandangan

  1. Hasmah Markom // January 12, 2008 at 11:10 AM  

    Assalamualaikum wbt,

    Byak yang menjadi tanda tanya sejak akhir2 ini, Petanda yang jelas untuk semua rakyat yang mahukan perubahan!
    Bersiap sedialah untk masa yang lebih baik.