Kerusi UMNO mana yang akan diserah kepada PPP?

Nukilan Khairul Faizi bin Ahmad Kamil | 10/21/2007 10:48:00 PM | 0 Pandangan »

Pemimpin kesayangan rakyat yang bernama Abdullah Ahmad Badawi sekali lagi memainkan peranannya sebagai pemimpin Islam Hadhari yang sederhana, pemimpin yang mampu menjadi imam dan mampu juga memegang bahu seorang pelakon wanita terkenal negara (Malaysia Boleh???) untuk mencari 'damai abadi' dalam menentukan kehendak parti komponen Barisan Nasional (BN).

Pastinya, janji Pak Lah semasa merasmikan Perhimpunan Agung PPP di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC) hari ini untuk mempertimbangkan tambahan kerusi untuk PPP dalam pilihanraya umum akan datang menggusarkan seluruh ahli UMNO kerana pilihanraya umum yang akan datang berlaku dalam keadaan tiada persempadanan semula kepada mana-mana Parlimen.

Mana tidak gusarnya, apabila Pak Lah bersedia mempertimbangkan kerusi untuk PPP, sudah tentu ada di antara kerusi yang telah ditandingi oleh mana-mana parti komponen BN termasuk UMNO akan diserahkan kepada PPP. Mungkinkah Gerakan dengan rela hati untuk menyerahkan kerusi tradisinya? Ataupun MCA dengan rasa penuh bangga melepaskan kerusi kepada PPP?. Apakah MIC tidak keberatan menghadiahkan kerusi miliknya kepada PPP?

Jadi, parti manakah yang akan berkorban atau dikorbankan demi perpaduan BN kalau tidak UMNO? Tidak mustahil ini akan berlaku. UMNO sememangnya sudah masak dengan pengorbanan seperti ini. Pemimpin UMNO lebih rela mengorbankan hak mereka daripada berdepan dengan segala bentuk ugutan, gertakan dan kata dua daripada parti komponen BN yang lain.

Kerusi Parlimen dan DUN mana yang menjadi kerusi UMNO yang akan diberikan kepada PPP? Tentunya UMNO di peringkat bahagian sudah mula mencongak terhadap perkara ini. Sama-samalah kita nantikan lanjutan daripada kenyataan Pak Lah ini. Ketua Menteri Melaka, Datuk MOhdAli Rustam sudah tentu akan berkeras mempertahankan kerusi-kerusi UMNO di Melaka walaupun dia sendiri belum tentu selamat kedudukannya.

Khairul Faizi Bin Ahmad Kamil

http://minda-kembara.blogspot.com/
-------------------------------------
BN sedia timbang tambah kerusi PPP, kata PM - Malaysiakini

Oct 21, 07 5:03pm
Perdana Menteri, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi berkata Barisan Nasional (BN) bersedia menimbang permintaan Parti Progresif Rakyat Malaysia (PPP) untuk mendapatkan kerusi tambahan dalam pilihanraya akan datang.

PPP telah menghantar surat kepada Jawatankuasa Pengurusan BN meminta supaya parti itu, yang ditubuhkan 54 tahun lalu, diperuntukkan sekurang-kurangnya satu kerusi di setiap negeri.

Dalam pilihanraya umum lalu, PPP hanya mendapat satu kerusi Parlimen di Taiping (diwakili Presidennya, Datuk M Kayveas) dan satu kerusi DUN di Pasir Berdamar di Teluk Intan. Calon DUN itu bagaimanapun tewas kepada calon DAP.

PPP yang mempunyai 530,222 ahli, pernah memenangi empat kerusi Parlimen dan 12 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN), sebelum menyertai BN pada 1972.
Berucap merasmikan Perhimpunan Agung PPP di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC) hari ini, Abdullah yang juga Pengerusi BN berkata:

"Tadi (presiden PPP) Datuk M.Kayveas ada cakap pasal pertambahan kerusi. Dia kata surat dah dihantar kepada Jawatankuasa Pengurusan Barisan Nasional dan saya kata kalau dah dihantar, kita akan timbangkan perkara itu."

Abdullah turut memuji PPP yang mengemukakan permintaan untuk kerusi tambahan itu kepada saluran yang betul, iaitu kepada jawatankuasa pengurusan BN, demikian menurut laporan Bernama.

"Itulah cara kita. Kita tak perlu timbulkan sebarang tekanan untuk apa-apa pun tuntutan kerana kita semua bersaudara," katanya.

Mesti muafakat Beliau berkata parti komponen di bawah BN merupakan sebuah keluarga besar dan pertikaian di khalayak umum adalah sesuatu yang tidak baik. "Kalau kita kelahi, orang tak suka tengok famili gaduh atau tak stabil dan kita mesti muafakat dan bekerjasama. Orang yang tentang kita semua ingin lihat kita berpecah belah," katanya.

Perdana Menteri turut mengulas pandangan yang dibangkitkan Kayveas dalam ucapannya bahawa aktiviti BN tidak harus difokuskan kepada tiga parti komponen utama BN sahaja iaitu Umno, MCA dan MIC.

"Saya tak setuju kerajaan BN untuk segelintir saja. Kalau itu pegangan kita, BN hari ini sudah lama lingkup dan kita akan kalah dalam pilihanraya," katanya.

Beliau berkata, kerajaan sekarang merupakan sebuah kerajaan yang dimajukan dan dijayakan oleh semua parti komponen BN yang dianggotai anak watan pelbagai kaum. Menyentuh cadangan PPP yang mahukan caj perkhidmatan Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) dimansuhkan, beliau berkata:

"Kalau perkara itu membawa kesusahan, saya bersedia untuk meneliti perkara itu."

PPP meminta kerajaan untuk memberikan pinjaman PTPTN tanpa sebarang caj perkhidmatan memandangkan PTPTN merupakan satu tabung pusingan.

0 Pandangan