Bermulanya Kejatuhan Politik Mohd Ali Rustam.

Nukilan Khairul Faizi bin Ahmad Kamil | 10/28/2007 11:14:00 AM | 0 Pandangan »

Apabila Pak Lah mengarahkan supaya para pegawainya supaya menyiasat ucapan Mohd Ali itu sewaktu merasmikan konvensyen PPP Melaka pada 15 Oktober lalu bermakna mulanya kejatuhan Ali Rustam dalam karier politiknya. Tidak kiranya sebagai pemimpin UMNO atau pemimpin sebuah kerajaan yang penuh dengan sejarah tetapi yang pastinya Ali Rustam sudah boleh berkira-kira untuk menghitung hari dalam hidupnya.

Ali Rustam yang berani untuk mencabar dan mengecam PPP yang cuba didakwa membuat ucapan yang mengecam PPP kerana "mengugut" kerajaan BN untuk mendapatkan lebih banyak kerusi dalam pilihanraya umum akan datang.

Ali Rustam sememangnya seorang pemimpin yang berani untuk melakukan pelbagai tindakan yang beliau kira sebagai tindakan yang mampu mempertahankan kerajaan UMNO/BN khususnya di Melaka. Walaupun kadang-kadang tindakannya dilihat sebagai tindakan yang 'bodoh dan gila' tetapi beliau memang berani untuk melakukannya.

Satu ketika dulu, pernah berlaku di Melaka bagaimana setiap ceramah pembangkang terutamanya PAS diganggu dengan mengadakan ceramah yang sama ditempat dan masa yang sama. Ada ketikanya, ceramah PAS dan ceramah UMNO Melaka diadakan bersebelahan sahaja semata-mata ceramah PAS diganggu.

Itulah kehebatan Ali Rustam. Bukan semua Menteri Besar dan Ketua Menteri yang ada kehebatan seperti itu. Bukan mudah sebenarnya tindakan beliau itu.

Keberanian beliau untuk mempertahankan 'prinsip' beliau telah mendorong beliau untuk mengecam pimpinan dan ahli PPP dalam satu majlis rasmi yang dianjurkan oleh PPP sendiri. Di atas prinsip 'berani kerana benar' beliau mencabar untuk PPP keluar sahaja daripada BN. Mujurlah ketika itu tiada ahli PPP di Melaka yang membaling kerusi kepada beliau.

Kini, laporan telah dibuat oleh PPP kepada Pak Lah dan Pak Lah minta ianya disiasat. Apakah tindakan yang bakal Pak Lah akan buat kepada Naib Presiden UMNO itu? Adakah Pak Lah berani mengenakan tindikan dalam keadaan Pak Lah sendiri kini tersepit dengan tekanan daripada parti-parti politik komponen BN?

Adakah Ali Rustam apabila dikenakan tindakan nanti akan bertindak seperti Hang Tuah yang akan taat setia kepada pemimpin walaupun dihukum bunuh atau akan bertindak seperti Hang Jebat yang berani mempertahankan saudaranya atas prinsip keadilan dan kebenaran.

Kita akan lihat nanti siapa yang akan terkena dan dikenakan.

Khairul Faizi Bin Ahmad Kamil

-------------------------------------------------------------
JPM siasat ucapan Ali Rustam mengecam PPP - MalaysiakiniAndrew Ong
Oct 28, 07 12:02am


Para pegawai dari Jabatan Perdana Menteri telah menemui pegawai Parti Progresif Rakyat (PPP) sebagai sebahagian daripada siasatan terhadap ucapan Naib Presiden Umno, Datuk Mohd Ali Rustam yang mengecam parti komponen Barisan Nasional (BN) tersebut.

Satu sumber PPP memberitahu Malaysiakini bahawa pegawai dari Jabatan Perdana Menteri mahu mendapatkan bukti rakaman video ucapan Mohd Ali itu. "Saya diberitahu bahawa perdana menteri mahu melihat dan mendengar apa yang dkatakan oleh Mohd Ali," kata sumber tersebut.

Sumber itu berkata, para pegawai PPP telah cuba meminta ahli-ahli parti itu atau individu lain yang mempunyai rakaman ucapan Mohd Ali itu supaya tampil kehadapan. "Sesetengah mereka takut untuk berbuat demikian. Mereka tidak mahu dilhat seolah-olah menentang kerajaan," katanya.

Bagaimanapun, sumber itu berkata, para pegawai Jabatan Perdana Menteri tidak akan menghadapi masalah untuk mendapatkan bahan buktinya kerana terdapat lebih 500 saksi yang mendengar
ucapan Mohd Ali itu. Sebelum ini, sumber-sumber media telah mengesahkan bahawa Mohd Ali telah meminta mereka supaya tidak melaporkan bahagian ucapan itu.

Rabu lalu, akhbar the Sun melaporkan Perdana Menteri, Datuk Seri Minister Abdullah Ahmad Badawi telah mengarah para pegawainya supaya menyiasat ucapan Mohd Ali itu sewaktu merasmikan konvensyen PPP Melaka pada 15 Oktober lalu.

Mohd Ali didakwa membuat ucapan yang mengecam PPP kerana "mengugut" kerajaan BN untuk mendapatkan lebih banyak kerusi dalam pilihanraya umum akan datang.

Para saksi berkata, beberapa ahli parti itu bertindak meninggalkan dewan kerana membantah ucapan Mohd Ali itu. Mohd Ali berkata, PPP boleh keluar dari BN.

Sambil menuding jari ke arah para pewakilan, beliau berkata mereka semua boleh keluar dari BN, sama ada hari ini atau esok dan mengapa harus menunggu hingga pilihanraya umum.

Kecewa dengan ucapan terbuka Mohd Ali yang merupakan pemimpin ketiga tertinggi Umno, PPP telah membuat aduan rasmi kepada Abdullah, yang juga presiden Umno, beberapa hari kemudiannya.

Hasil siasatan tersebut dijangka dibincangkan dalam mesyuarat Majlis Tertinggi Umno (MT).

0 Pandangan