Jasa Polis Yang Mati dan Tercedera

Nukilan Khairul Faizi bin Ahmad Kamil | 10/29/2007 05:36:00 AM | 0 Pandangan »

Sukar untuk menyatakan tetapi inilah hakikatnya. Bila sesuatu tragedi berlaku maka barulah masing-masing nak bertindak.

Apabila mendiang L/Kpl Jaya Balan Krishman dari Ibupejabat Polis Daerah Gombak dan mendiang L/Kpl Alageson Malappan dari Jabatan Siasatan Jenayah, Ibupejabat Polis Kontinjen Kuala Lumpur terbunuh baru-baru ini, barulah isu kekurangan kelengkapan dibangkit oleh semua pihak.

Barulah orang tahu bahawa baju kalis peluru yang ada dalam PDRM tidak mencukupi. Bermakna, banyak jasa yang ditinggalkan oleh kedua-dua polis yang terbunuh ini. Sekiranya tidak berlaku kematian ini, mungkin kekurangan baju kalis peluru ini tidak timbul sama sekali.

Mungkin...selepas ini jika ada laporan bahawa pistol yang digunakan oleh polis ketika operasi tidak berfungsi sehingga menyebabkan polis terbunuh maka barulah masing-masing 'buat heboh' dan peruntukan untuk membeli pistol-pistol yang lebih canggih untuk menggantikan pistol-pistol lama diberikan.

Adakah ini caranya kita memimpin sebuah kerajaan?
-------------------------------------------
PDRM dapat RM150 juta beli kelengkapan operasi jenayah - Utusan Online
Oleh Diyana Rose Kamalludeen

BUKIT KAYU HITAM 28 Okt. – Kerajaan meluluskan peruntukan tambahan berjumlah RM150 juta kepada Polis Diraja Malaysia (PDRM) bagi tujuan membeli kelengkapan menjalankan operasi membanteras jenayah terutama baju kalis peluru.

Perdana Menteri, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi berkata, pihaknya memahami keperluan mendesak PDRM untuk melengkapkan segala kemudahan diperlukan dalam operasi serbuan bagi mengurangkan risiko bahaya kepada anggota polis yang terlibat.

Menurutnya, Jabatan Logistik PDRM juga telah diarahkan untuk membuat kajian bagi mengenal pasti jenis baju kalis peluru yang diperlukan mengikut kelajuan peluru.

“Sebaik sahaja Ketua Polis Negara, Tan Sri Musa Hassan mengemukakan permohonan untuk menambah peralatan yang sangat-sangat diperlukan, kerajaan telah meluluskan peruntukan RM150 juta.

‘‘Peruntukan tambahan ini dijangka dimanfaatkan untuk tujuan menambah sebarang keperluan pada waktu ini khususnya baju kalis peluru,” katanya pada sidang akhbar selepas melawat projek tanaman jagung komersial di bawah Wilayah Ekonomi Koridor Utara (Koridor Utara) di Bukit Tangga, di sini, hari ini.

0 Pandangan