Tiba-tiba kita dikejutkan dengan berita kematian lima beranak di Kluang Johor yang mati dalam satu kebakaran yang sangat menyayatkan hati. Seluruh negara memberikan tumpuan kepada tragedi ini dalam suasana kerajaan sedang bersedia untuk menyambut ulang tahun kemerdekaan kali yang ke lima puluh.
Lihatlah laporan-laporan yang disiarkan dalam media cetak sepanjang hari semalam. Utusan Malaysia dengan tajuk “Miskin punca rentung -- Tidak mampu bayar bil elektrik sebabkan 5 beranak maut” membayangkan kepada kita bertapa kesempitan hidup yang dihadapi oleh keluarga mangsa dan rakyat pada hari ini.
Lihatlah laporan-laporan yang disiarkan dalam media cetak sepanjang hari semalam. Utusan Malaysia dengan tajuk “Miskin punca rentung -- Tidak mampu bayar bil elektrik sebabkan 5 beranak maut” membayangkan kepada kita bertapa kesempitan hidup yang dihadapi oleh keluarga mangsa dan rakyat pada hari ini.
Apabila saya dihubungi oleh Timbalan Yang Di Pertua PAS Kluang yang tinggal berhampiran dengan lokasi kejadian, saya beranggapan bahawa kemungkinan kebakaran tersebut tidak melibatkan kehilangan nyawa kerana sebelum daripada peristiwa ini, terdapat sebuah rumah yang terbakar hangus di kampung yang sama . Namun apabila saya tiba di sana saya terkejut apabila kehadiran masyarakat terlalu ramai dan barulah saya tahu kebakaran tersebut telah mengorbankan lima nyawa.
Saya lahir, membesar dan menetap di Kluang sehingga ke hari ini. Pada mulanya saya tidak terasa peristiwa ini besar impaknya mungkin kerana saya tinggal di sini sehinggalah apabila ramai yang menghantar SMS dan menghubungi saya selepas peristiwa ini disiarkan dalam Buletin 1.30 tengahari di TV3.
Pimpinan PAS Kawasan Kluang yang peka dengan kejadian seperti ini sentiasa silih berganti daripada awal pagi sehinggalah ke lewat petang berada di tempat kejadian.
Ada beberapa perkara yang perlu kita lihat secara mendalam terhadap peristiwa ini melalui pengamatan saya apabila berada di tempat kejadian dan menerusi berita yang dilaporkan dalam media.
i. Allahyarham Kasmuri Jasman bekerja sebagai kakitangan syarikat Malaysian Mosaics Sdn Bhd di Kluang manakala Allahyarham Sufiah Abdul Karim bekerja sebagai pembantu kedai makan.
ii. Pendapatan Kasmuri adalah sebanyak RM 1,800 sebulan.
iii. Kasmuri mempunyai tujuh orang anak dengan tiga daripadanya sedang menuntut di institusi pengajian tinggi.
iv. Mereka sekeluarga tinggal di rumah sewa dua bilik dengan kadar sewa RM200 sebulan.
v. bekalan elektrik ke rumah itu baru dipotong lima hari kerana Kasmuri tidak dapat menjelaskan tunggakan bil sebanyak RM800.
vi. Sejak lima hari lalu keluarga itu menggunakan api lilin untuk menerangi rumah dan dikatakan menjadi punca kepada kebakaran.
Pada pengamatan saya, Allahyarham Kasmuri adalah seorang suami yang dan ayah yang bertanggungjawab dan prihatin kepada isteri dan anak-anak. Dalam kesempitan hidup untuk menyara isteri dan anak-anak, Kasmuri tidak menjadikan semua itu sebagai alasan untuk menyekat anak-anak meneruskan pengajian di peringkat yang tinggi.
Tiga orang anak-anaknya berada di institusi pengajian tinggi tempatan iaitu anak sulungnya, Faezah, 20, di Universiti Putra Malaysia (UPM), Serdang; Salahuddin, 19, pelajar jurusan kejuruteraan elektrik di Universiti Tun Hussein Malaysia (UTHM), Batu Pahat dan Juliana, 18, pelajar kolej matrikulasi di Pulau Pinang.
Sebagai seorang ayah yang ingin melihat kejayaan anak-anak dalam pendidikan dan kehidupan masa hadapan, bergelap pada malam hari kerana tidak mampu membayar bil elektrik yang tertunggak sebanyak RM 800 bukanlah satu masalah kepadanya. Bukan saya menyokong tindakannya untuk tidak membayar bil elektrik tetapi saya berbangga kerana beliau sanggup berkorban untuk anak-anaknya. (tiba-tiba air mata saya mengalir kerana teringat kepada aruah ayah saya yang sanggup berhutang untuk memastikan anak-anaknya berjaya dalam pelajaran)
Itu adalah kisah pengorbanan seorang ayah yang akhirnya terkorban dengan apa yang dikorbankannya. Begitu juga dengan Allahyarham Sufiah Abdul Karim yang terpaksa bekerja sebagai pembantu kedai makan semata-mata untuk meringankan bebanan yang ditanggung oleh suaminya. Ketaatan kepada suami dan kasih sayang kepada anak-anak menjadi dorongan kepadanya untuk menjadi isteri dan ibu yang tabah dalam menghadapi ujian hidup.
Inilah sebenarnya kisah kehidupan rakyat dalam negara kita. Berapa ramai lagikah yang akan menerima nasib yang sama. Hidup rakyat semakin hari semakin tertekan. RM 1,800 bukanlah satu nilai yang tinggi pada masa ini. Harga barangan melambung tinggi, kos pendidikan semakin tinggi dan kos kehidupan semakin naik. Kos pembiayaan anak-anak di menara gading semakin tinggi sedangkan biasiswa semacam tidak ada lagi.
Bayangkan, dengan pendapatan RM 1,800 dianggap sebagai miskin, bagaimana pula dengan pendapatan rakyat yang rendah daripada itu?
0 Pandangan
Post a Comment