Al-Fatihah...

Nukilan Khairul Faizi bin Ahmad Kamil | 8/15/2007 08:23:00 PM | 0 Pandangan »

JOHOR BAHRU, 13 Ogos (Hrkh) – Pemergian ke rahmatullah Pengerusi Perhubungan KeADILan Johor, Abdul Razak Ahmad adalah satu kehilangan besar bagi rakyat dan perjuangan menegakkan keadilan bahkan kehilangan beliau amat sukar dicari ganti.

Demikian luahan beberapa pemimpin parti politik negeri ini yang ditemui pada majlis ceramah yang diadakan di Taman Senai Utama, dekat sini, malam tadi.

Luahan yang sama turut di ucapkan Ketua Umum PKR, Dato’ Seri Anwar Ibrahim, semasa berceramah pada majlis yang sama.

Menurutnya, semangat serta keikhlasan Allahyarham Abdul Razak membela nasib rakyat sangat dikagumi dan kehilangan ini amat sukar dicari ganti.

“Kita kehilangan seorang pejuang yang jujur dan ikhlas membela nasib rakyat, sepanjang hayatnya telah diabdikan untuk membela golongan rakyat yang tertindas dan dizalimi seperti penduduk setinggan, peniaga kecil yang sentiasa dihambat pihak berkuasa dan juga rakyat yang dinafikan hak mereka.

“Allahyarham adalah seorang pejuang yang sentiasa berpegang teguh kepada prinsip perjuangan selain pemimpin yang berjiwa rakyat.

“Saya mengenali Allahyarham sejak saya Ketua Pemuda Umno sehingga Timbalan Presiden Umno, sebelum saya dipecat; namun apa yang membanggakan saya, beliau masih terus kekal dengan prinsip perjuangannya membela rakyat, sedikit pun prinsip ini tidak berubah malah terus dipegang sehingga ke akhir hayatnya.

“Allahyarham telah kembali ke pangkuan Allah sebagai pejuang yang dihormati dan disegani sama ada oleh kawan mahu pun lawan, semuga rohnya ditempatkan di kalangan orang-orang beriman.

Pesuruhjaya PAS Johor, Dato’ Dr Mahfods Mohamad, ketika ditemui berkata: “Walau pun saya baru mengenali Allahyarham secara dekat sejak Allahyarham dilantik Pengerusi PKR Johor, beberapa bulan lalu, tetapi saya telah pun mengenali beliau sebagai aktivis yang memperjuangkan hak rakyat sejak beliau mengetuai PSRM lagi.

“Apa yang lebih menariknya Allahyarham bukanlah asing dengan perjuangan Islam khususnya di negeri ini kerana datuk beliau, Allahyarham Haji Ariffin Alias, merupakan Pesuruhjaya PAS Johor yang pertama.

“Bagi pihak PAS Johor, saya juga mengucapkan takziah yang amat mendalam kepada keluarga Allahyarham dan mendoakan semug
a keluarga Allahyarham menerima ujian ini dengan tabah dan penuh kesabaran.

“Selain itu kita juga mendoakan semuga roh Allahyarham dimasukkan ke dalam golongan orang-orang yang beriman."

Dr Mahfods juga melahirkan harapan agar hubungan baik serta kerjasama PAS dan KeADILan di negeri ini akan terus terjalin erat dengan pelantikan pengerusi KeADILan yang baru dalam masa terdekat ini bagi meneruskan kesinambungan perjuangan rakyat di negeri ini.

Pengerusi DAP Johor, Dr Boo Cheng Haw, pula mengganggap Abdul Razak sebagai Mahaguru atau Mentor beliau terutama apabila membabitkan soal politik dan undang-undang.

“Saya masih ingat lagi ketika saya baru menyertai dunia politik dahulu, beliau menjadi tempat rujukan saya, sama ada perkara yang berkaitan politik atau pun undang-undang.
“Satu sifat beliau yang sangat saya kagumi dan hormati ialah beliau tidak lokek dengan ilmu yang beliau ada; beliau sentiasa bersedia untuk berkongsi ilmu dan pengalaman dengan sesiapa sahaja.

“Saya merasa amat sedih dengan pemergian beliau ini, beliau adalah seorang rakan baik saya dan beliau juga pejuang yang jujur dan ikhlas, saya sudah lama berjuang bersama beliau dan kehilangan ini sudah tentu amat dirasakan.

“Bagi pihak DAP Johor, saya mengucapkan takziah kepada keluarga Abdul Razak serta berkongsi kesedihan dengan keluarga beliau di atas pemergiannya," ujar Boo.

Allahyarham Abdul Razak Ahmad, 62, telah kembali ke rahmatullah pada kira-kira jam 1.20 petang, Ahad semalam di Hospital Sultanah Aminah Johor Bahru, disebabkan serangan jantung.

Allahyarham meninggalkan seorang balu, Hajah Kintan Mohd Amin, serta dua anak dan tiga cucu, jenazahnya telah selamat dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Mahmoodiah, dekat sini.

Lebih 500 yang terdiri dari sanak saudara, sahabat handai serta teman-teman seperjuangan serta pimpinan dari PAS, DAP dan KeADILan telah hadir memberi penghormatan terakhir kepada Allahyarham sebelum jenazah disemadikan pada kira-kira jam 5.30 petang hari yang sama.

Abdul Razak Ahmad bukanlah nama asing bagi rakyat dan juga kalangan pejuang keadilan rakyat khususnya di Johor, bahkan komitmen serta keikhlasan beliau mengabdikan diri dalam memperjuangkan nasib rakyat sejak lebih 40 tahun lalu turut menjadi inspirasi serta dorongan kepada pemimpin-pemimpin pembangkang di negeri ini.
Sesuai dengan profesyennya sebagai peguam, amalan tradisi membela rakyat ini terus diamalkan tidak kira sama ada di dalam atau di luar mahkamah.

Abdul Razak yang juga bekas Pengerusi PSRM Johor, mula berkecimpung dalam dunia politik dan kerja-kerja kebajikan khususnya membela nasib rakyat yang tertindas dan dinafikan hak oleh pemerintah sebaik menamatkan pengajian undang-undang di Universiti Singapura pada tahun-tahun 1963-1966.

Beliau pernah bertugas dalam Perkhidmatan Awam Negeri Johor(JCS)sebagai Penolong Setiausaha Kerajaan Negeri dan kemudiannya Timbalan Pengarah Tanah dan Galian, namun semangat untuk membela nasib rakyat tidak menghalang beliau untuk terus berbuat demikian.

Tekanan demi tekanan dihadapi berikutan penglibatannya dalam kerja-kerja kemasyarakatan yang dianggap menentang dasar kerajaan sedangkan beliau adalah pegawai kerajaan, akhirnya beliau diarah berhenti dari perkhidmatan dan meninggalkan Johor dalam tempoh 24 jam, oleh MB Johor pada masa itu, Tan Sri Othman Saat.

Antara tindakan berani dan nekad pernah beliau lakukan sepanjang penglibatannya sebagai aktivis politik ialah menentang lawatan Perdana Menteri Israel, Chem Herzog, ke Singapura pada 1986.

Beliau bersama beberapa aktivis PSRM lain dengan nekad telah berbaring di atas landasan keretapi Johor Bahru, bagi menyatakan bantahan terhadap lawatan seorang pemimpin yang disifatkannya sebagai zalim dan ganas terhadap umat Islam.

Sejak penglibatannya dengan PSRM lebih kurang 30 tahun lalu, beliau telah beberapa kali bertanding dalam pilihan raya sama ada pilihan raya umum atau pilihan raya kecil tetapi beliau tidak pernah menang.

Namun semangat juangnya yang begitu tinggi tidak sesekali melemahkan prinsipnya untuk terus berjuang membela nasib rakyat.

Berikutan dari percantuman PKR dan PRM (sebelum ini dikenali sebagai PSRM) pada 2005, Allahyarham kemudiannya telah dilantik Pengerusi KeADILan Johor bagi sesi 2007-2010, menggantikan Dr Zaleha Mustaffa.

Semoga Allah mencucuri rahmat ke atas rohnya. Al-Fatihah.

0 Pandangan