TRAGEDI DI KAMPUNG TENGAH KLUANG, JOHOR

Nukilan Khairul Faizi bin Ahmad Kamil | 8/10/2007 01:11:00 AM | 0 Pandangan »

Hari ini kita dikejutkan dengan berita kematian lima sekeluarga yang terbunuh dalam satu kebakaran rumah berkembar yang berlaku di Kampung Tengah Kluang di negeri Johor.

Mereka yang terbunuh adalah Kasmuri Jasman, 44, isterinya Sufiah Abdul Karim, 41, dua anak lelaki mereka, Hishamuddin, 13, dan Nizammuddin, 9, serta anak perempuan, Nurul Macella, 8.

Kesemua mayat telah ditemui berada dalam rumah tersebut. Mayat Kasmuri yang rentung dijumpai bersama mayat anaknya, Hishammuddin di dalam bilik air rumah kayu setingkat itu.
Mayat Hishammuddin dijumpai tersorok di bawah singki bilik air itu. Mayat Sufiah dijumpai menindih anak bongsunya, Nurul Macella manakala mayat Nizammuddin di sisi mereka.

Pimpinan PAS Kawasan Kluang diketuai oleh Yang Di Pertuanya, Tuan Haji Zainudin Gadzali, Mohd Nor Mohamad (TYDP), Nor Ain Sakib (NYDP), Khairul Anuar Ahmad Kamil (Ketua Pemuda PAS Kawasan) dan beberapa pimpinan PAS yang lain telah hadir ke lokasi seawal pagi bagi melihat sendiri kejadian yang sangat menyedihkan ini.

Difahamkan bahawa sudah beberapa hari keluarga tersebut bergelap kerana bekalan elektrik telah dipotong oleh Tenaga Nasional Berhad (TNB) kerana masalah tunggakan pembayaran. Jiran tetangga mangsa memberitahu bahawa Allahyarham Kasmuri terpaksa melewatkan pembayaran bil yang tertunggak kerana ingin menjelaskan bayaran-bayaran yuran anak-anak beliau terutamanya yang sedang menuntut di menara gading.

Tiga anak pasangan malang itu iaitu Salahuddin, lingkungan 20-an menuntut di Kolej Universiti Tun Hussein Onn (Kuittho); Faizah Nor, lingkungan 20an di Universiti Putra Malaysia (UPM) dan Juliana, 19, penuntut matrikulasi di Universiti Sains Malaysia (USM).

PAS Kawasan Kluang merakamkan ucapan takziah kepada anak-anak dan keluarga mangsa dan berharap peristiwa ini dapat diterima dengan redha.

Haji Zainuddin ketika ditemui diperkarangan rumah tersebut berkata kebakaran mungkin berpunca daripada lilin yang digunakan oleh mangsa kerana ketiadaan bekalan elektrik.

Beliau berkata, inilah yang sebenarnya dihadapi oleh rakyat ketika ini yang dihimpit dengan masalah ekonomi.

“Saya percaya bahawa Allahyarham Kasmuri terpaksa merelakan bekalan elektriknya dipotong semata-mata ingin menyelesaikan masalah perbelanjaan anak-anaknya yang menuntut di pusat pengajian tinggi” katanya.

“Inilah nilai pembangunan yang terpaksa dihadapi oleh rakyat yang terpaksa mengikat perut sedangkan terdapat pemimpin yang hidup dalam kemewahan” katanya lagi.
Kesemua jenazah mangsa dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Belahan Tampuk, Rengit, Batu Pahat selepas selesai proses bedah siasat petang tadi.
Berita oleh : Ketua Penerangan PAS Kawasan Kluang.
Pasukan Bomba sedang menyiasat punca sebenar kebakaran

Murid sekolah tidak melepaskan peluang untuk melihat sendiri lokasi kebakaran setelah mendapat maklumat daripada guru di sekolah.

Orang ramai bertali arus hadir ke tempat kejadian sehingga ke lewat petang tadi.

0 Pandangan