PERJUANGAN ADALAH PERLAKSANAAN KATA-KATA

Nukilan Khairul Faizi bin Ahmad Kamil | 6/17/2007 12:01:00 AM | 0 Pandangan »


Dilantik sebagai exco Dewan Pemuda PAS Pusat sebenarnya merupakan amanah yang cukup besar untuk dipikul lebih-lebih lagi diamanahkan untuk mempengerusikan Lajnah Integrasi Nasional. Agak termenung seketika untuk memberikan jawapan terhadap perlantikan tersebut memandangkan amanah yang tersusun di Johor sudah cukup menguji kemampuan diri.

Perkara yang paling pasti adalah saya akan meninggalkan jawatan di dalam PASTI sebagai Timbalan Ketua Pengarah (Pengurusan) walaupun di sudut hati memanglah agak berat untuk melangkah pergi daripada teman seperjuangan sejak lapan tahun yang lalu. Bermula dengan Timbalan Pengarah PASTI Johor (1999), Pengarah PASTI Johor (2000-2005), Pengerusi Nazir Pusat (2003-2005), Setiausaha PASTI Pusat (2005-2006) dan Timbalan Ketua Pengarah (2006-2007) sudah tentunya meninggalkan kesan yang tidak mungkin dapat dilupakan. Namun, ruang untuk PASTI melatih pimpinan pelapis perlu diberi keutamaan.

PASTI adalah tapak mulanya saya menceburkan diri sebagai petugas sepenuh masa dalam PAS. Atas dorongan dan idea Ketua Dewan Pemuda PAS Johor ketika itu saudara Mazlan Bin Aliman telah menyebabkan saya meletakkan jawatan sebagai Jurutera Muda, meninggalkan pekerjaan dan kehidupan yang selesa kepada kehidupan sekadar seadanya.

Dengan penglibatan sebagai petugas sepenuh masa ini memudahkan saya berulang alik ke pejabat PASTI di Kuala Lumpur hampir setiap minggu untuk menguruskan pentadbiran pejabat. Staf di pejabat PASTI Pusat seperti Kamarul Arif, Syutina, Suhaida dan Ahli Lembaga Pengarah PASTI sepenuh masa Kak Khairiah sudah seperti keluarga saya namun segalanya pasti akan berakhir.

Sebelum meninggalkan PASTI, beberapa urusan perlu saya bereskan dengan segera supaya pengganti saya nanti tidak terpinga-pinga apabila memulakan tugasnya. Saya telahpun memaklumkan kepada Ketua Pengarah PASTI agar memberikan saya ruang terakhir ini dan saya akan mengakhiri tugas saya pada Sambutan Hari Guru PASTI di Kelantan akhir bulan ini. Selepas daripada itu, biarlah saya pergi dengan tenang.

Kita tinggalkan dulu tentang PASTI. Bicara saya kali ini akan menjurus kepada peranan yang perlu saya jana dalam menggerakkan lajnah Integrasi Nasional DPPP. Agak ‘pening’ juga pada mulanya untuk memikirkan peranan ini namun setelah mendapatkan nasihat daripada kekanda Mazlan Aliman saya cuba merangka beberapa pendekatan yang mungkin akan memberikan ruang kepada DPPP berperanan dalam menjuarai perpaduan dalam negara.

Kebetulan, dalam pengajian saya ketika ini saya sedang belajar dalam mata Pelajaran Hubungan Etnik yang banyak membicarakan tentang integrasi nasional. Hidup pasti berubah, penulisan pasti berlainan, bicara pasti bertukar nada dan yang paling pastinya ruangan untuk menulis tentang PASTI dan pendidikan dalam blog ini akan berkurangan.

Apapun, saya mengharapkan sahabat-sahabat dalam memberikan pandangan, idea dan sokongan kepada saya untuk memacu Lajnah Integrasi Nasional ini. Selain daripada merancang untuk melaksanakan beberapa program saya juga sedang merangka beberapa penulisan berkaitan dengan perkara ini dan saya akan siarkan di dalam blog ini khususnya dan lain-lain media nanti.

Salam perjuangan untuk semua.

Khairul Faizi Ahmad Kamil
Ketua Lajnah Integrasi Nasional Dewan Pemuda PAS Pusat
http://minda-kembara.blogspot.com
019-7701830

0 Pandangan