Sejak beberapa tahun yang lalu, khususnya selepas Unit Amal telah melalui zaman 're-branding' dengan menukar imej dan warna rasminya yang telah pun dapat dilihat oleh kita semua terutamanya selepas kecemerlangan Umnit Amal mengawal himpunan Aman BERSIH pada bulan November tahun lalu.
Bukan berniat untuk mengatakan bahawa Unit Amal yang berada di bawah Dewan Pemuda PAS sebagai pasukan yang hebat namun gerakerja Unit Amal atau dikenali sebagai Tentera Merah di Johor selepas berjaya membantu dalam operasi banjir besar di Johor pada tahun 2006 & 2007 telah diperakui sehingga ianya telah disebut di dalam sidang DUN Johor oleh wakil kerajaan.
Unit Amal adalah dianggotai oleh ahli PAS daripada peringkat remaja sehinggalah melangkaui usia pemuda iaitu 40 tahun. Mereka berkhidmat di dalam Unit Amal tanpa mendapat apa-apa jua elaun seperti mana RELA dan seumpamanya, namun di atas slogan dan niat "Beramal Kerana Allah" menjadi satu pegangan yang cukup utuh oleh mereka.
Mereka bekerja tanpa memikirkan apakah habuan yang mereka akan perolehi. Apa yang pastinya, menjadi ahli Unit Amal adalah merupakan satu kebanggaan.
Mereka bertindak mengikut arahan, bukan membuat tindakan sesuka hati mereka. Bila suka mereka buat atau bila malas mereka tinggalkan. Ini termasuklah pengarahan kepada pasukan Unit Amal untuk meninggalkan himpunan PROTES baru-baru ini di Stadium Kelana Jaya. Tanpa banyak mempersoalkan keputusan yang telah dibuat oleh Dewan Pemuda, mereka akur meninggalkan tempat tersebut.
Bermakna, ia adalah satu tindakan yang tepat sama sekali. Tidak ada kesangsian lagi terhadap tindakan mereka ini.
Apabila saya membaca berita bahawa Unit Amal PAS dipersalahkan di atas kekecohan yang berlaku ketika himpunan PROTES, saya cukup kesal dengan dakwaan ini lebih-lebih lagi berita ini diperolehi daripada 'satu sumber" yang seolah-olahnya mendedahkan segala bentuk perbincangan yang telah dibuat di dalam mesyuarat post-mortem PROTES tersebut.
Saya mohon untuk mendapatkan maklumat daripada mana Malaysiakini mendapatkan sumber tersebut. Boleh jadi, "satu sumber" itu bukannya ahli mesyuarat dan berkemungkinan juga berniat tidak baik terhadap Unit Amal ini.
Harap perkara ini diberikan perhatian.
Sekian
Khairul Faizi Bin Ahmad Kamil
Exco Dewan Pemuda PAS Pusat
10 Julai 2008, 12.29 malam
------------------------------------------------
Kecoh: Unit Amal PAS disalahkan - Malaysiakini
Jimadie Shah Othman Jul 9, 08 2:52pm
Jimadie Shah Othman Jul 9, 08 2:52pm
kemaskini 4:43pm Unit Amal PAS menjadi sasaran kritikan anggota Gabungan Memprotes Kenaikan Harga Minyak (Protes) susulan kekecohan di pentas sewaktu persembahan pemuzik Carburetor Dung di perhimpunan membantah kenaikan harga minyak, Ahad lalu. Unit khas bawah Dewan Pemuda PAS ini dipersalahkan kerana memboikot kawalan keselamatan di stadium Kelana Jaya sebelum konsert tersebut.
Satu sumber memberitahu Malaysiakini, mereka dianggap "telah meninggalkan medan perang" dan "jika unit ini ada, keadaan dipercayai akan lebih terkawal.
"Dalam mesyuarat gabungan itu lewat petang semalam, isu penarikan Unit Amal PAS daripada tugasnya itu dibangkitkan sendiri oleh penyelaras Protes dan juga bendahari PAS Dr Mohd Hatta Ramli dan sekretariatnya Aiman Athirah al-Jundi, juga setiausaha Muslimat.
"Perkara itu mula-mula ditimbulkan oleh PAS, Dr Hatta dan Aiman Ahthirah sendiri," kata sumber itu lagi.
Wakil unit itu, yang turut hadir dalam mesyuarat dua jam bagi menilai perhimpunan tersebut, mengakui kesilapan mereka.
Namun begitu, Malaysiakini difahamkan mesyuarat menuding ke arah ketua Pemuda PAS Wilayah Persekutuan, Kamaruzaman Mohamad - yang tidak hadir dalam mesyuarat itu - kerana dikatakan telah mengarahkan anggota unit tersebut menarik diri.
Semalam, dewan itu berkata pihaknya "tidak sesekali berasa kesal" dengan tindakan Unit Amal menarik diri di pertengahan perhimpunan itu."Pemuda sememangnya mengambil risiko apabila menarik diri dan kami bersedia dihukum jika jelas kami bersalah.
"Tapi sebelum itu, kami ingin nyatakan bahawa kami tidak sesekali berasa kesal dengan tindakan itu," kata ketua penerangannya Herman Shamsudeen di blog pergerakan itu (dppwp.wordpress.com).
Malaysiakini juga difahamkan persembahan Carburetor Dung itu diteruskan selepas kekosongan akibat kegagalan mengisi slot hiburan yang ditugaskan kepada Kamaruzaman.
"Sepatutnya ada persembahan nasyid dan dikir barat pada hari itu tetapi Kamaruzaman gagal membawa kumpulan itu," kata sumber lagi, yang mengetahui butiran mesyuarat Protes di ibu pejabat PAS malam tadi. Kedua-dua kumpulan itu dipercayai ingin dibawa dari Kelantan tetapi membatalkankan penyertaan kerana perhimpunan itu tidak mempunyai permit polis, kata sumber.
Mesyuarat juga mengenal pasti tidak ada persefahaman dan pembahagian jelas antara Unit Amal dan Skuad Angkatan Muda PKR menyebabkan kawalan keselamatan tidak berjalan lancar."Tidak ada pembahagian yang betul-betul jelas antara kedua-dua unit. Masing-masing buat hal masing-masing," tambah sumber.
Dr Mohd Hatta, dihubungi sejak semalam, enggan mengulas lanjut isu tersebut.
0 Pandangan
Post a Comment