Bala Subramaniam ada di SEBUAH NEGARA ITU

Nukilan Khairul Faizi bin Ahmad Kamil | 7/10/2008 01:51:00 AM | 1 Pandangan »

Ternyata PDRM memang cekap kerana menemui penyiasat persendirian yang juga pernah berkhidmat sebagai seorang SB sebelum ini dan Bala telah dikesan sedang berada di "Negara Itu". Mungkin disebabkan atas faktor keselamatan maka lokasi di mana Bala berada sekarang tidak dapat didedahkan kepada umum.

Sama jugalah keadaannya dengan Saiful Bukhari juga tidak dapat didedahkan dimana lokasi beliau berada kerana faktor keselamatan. Manalah rahu, ada pihak-pihak tertentu yang cuba mengancam keselamatan mereka kerana terlibat dalam suasana kemelut politik Malaysia ketika ini maka 'tempat persembunyian' mereka perlu dirahsiakan.

Apa yang pasti ketika ini, pihak polis tahu di mana Bala sedang berada. Mengikut maklumat, Bala sedang berada di "Negara Itu". Boleh jadi Negara Itu adalah negara luar ataupun mungkin boleh jadi "Negara Itu" adalah Malaysia kerana Datuk Mohd Bakri berkata Bala berada di "Negara Itu" tanpa menyebut nama negara tersebut.

Mula-mula saya bimbang Bala tidak dapat dikesan seperti mana pemimpin Kerajaan Langit daripada Trengganu yang tidak dapat dikesan sehingga ke hari ini. Barangkali Ayah Pin juga berada di "Negara Itu" ataupun sememangnya Ayah Pin sudah berangkat ke Kerajaan Langit tetapi terbuktilah bahawa Bala sudah dijumpai. Jadi, tak mungkin Ayah Pin berada di "Negara Itu" kerana jika Ayah Pin berada di sana maka sudah pastinya bahawa Ayah Pin juga telah ditemui.

Kiranya, lama juga Bala menghilangkan diri sehingga anak saudaranya terpaksa membuat laporan polis di atas kehilangan pakcik kesayangannya ini. Manalah tahu Bala ditangkap, dikurung atau dibelasah oleh pihak-pihak tertentu sehingga dihilangkan daripada muka bumi. Ramai yang tidak tahu ke mana dia pergi sehinggalah berita yang saya baca daripada Malaysiakini bahawa Bala sedang berada di "Negara Itu". Berbeza dengan Datuk Sri Anwar Ibrahim yang senang-senang sahaja di kesan sedang mendapatkan perlindungan di Kedutaan Turki walaupun cuba dirahsiakan daripada pengetahuan umum.

Sama juga dengan Saiful Bukhari, 'pening kepala' untuk mengesan di mana dia berada.

Tak apalah, lagipun untuk apa DSAI melarikan diri jika beliau berada dipihak yang benar? Kata orang-orang tua, berani kerana benar, takut kerana salah. DSAI boleh ambil keputusan untuk cabut lari ke luar negara, menyorok di mana-mana negara supaya tidak dapat di kesan tetapi ia tidak akan menyelesaikan masalah. Lagipun, jika di Negara Itu pun Bala dapat dicari, inikan lagi negara lain yang bertamadun.

Maka, siapa yang lari sekarang ini jika tidak Saiful dan Bala? Jika anda berdua berada dipihak yang benar, tidak perlulah lari-lari dan menyorok di "Negara Itu". Rakyat Malaysia adalah rakyat bertamadun, apa yang perlu dibimbangkan.

Saya harap agar Bala keluarlah daripada "Negara Itu". Kesian kepada anak saudara anda yang bimbang dengan keselamatan anda jika anda rasa anda dipihak yang benar. Buat penjelasan kepada umum terhadap dua akuan sumpah yang telah dibuat sebelum ini. Tidak kisahlah yang mana benar yang mana palsu kerana kedua-duanya telah dibuat oleh anda sendiri. Ceritalah kepada kami rakyat Malaysia kisah sebenar, the untold true story.

Khairul Faizi Bin Ahmad Kamil
Exco Dewan Pemuda PAS Pusat
10 Julai 2008, 2.17 pagi

--------------------------------------
Polis berjaya kesan Bala - Malaysiakini
Jul 9, 08 8:17pm

Polis telah mengesan penyiasat persendirian P.Balasubramaniam di sebuah negara, selepas dilaporkan hilang sejak Jumaat lalu, dan mengambil keterangan daripadanya berhubung dua akuan bersumpahnya serta kehilangannya.

Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman Datuk Mohd Bakri Zinin berkata proses mengambil keterangan daripada Balasubramaniam itu dibuat oleh beberapa pegawai polis dari Bukit Aman yang dihantar ke negara berkenaan.

Bagaimanapun, menurut laporan Bernama, beliau enggan menyatakan negara mana Balasubramaniam berada pada ketika ini, dipercayai bagi mengelak daripada gangguan oleh mana-mana pihak.

"Kita telah menghantar beberapa pegawai ke negara berkenaan bagi mengambil keterangan daripada Balasubramaniam dan beliau kini masih berada di negara itu," katanya ketika dihubungi di sini hari ini.

Mohd Bakri berkata polis berjaya mengesan Balasubramaniam hasil maklumat dari pihak berkuasa negara berkenaan.


Perlu masa

Ditanya bilakah pihak polis berjaya mengesan Balasubramaniam, beliau berkata: "Tidak perlu tahu bila tarikhnya, yang pasti pegawai kita telah berada di negara berkenaan dan mengambil percakapan Bala".

Mohd Bakri berkata polis memerlukan masa untuk menjalankan siasatan dengan telus dan profesional."Beri kami (polis) ruang untuk jalankan siasatan, jangan terlalu memberi tekanan hingga menyukarkan kerja polis," katanya.

Balasubramaniam dalam akuan bersumpah pertama bertarikh 1 Julai membuat pelbagai dakwaan yang mengaitkan Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak dengan kes pembunuhan wanita Mongolia, Altantuya Shaaribuu.

Bagaimanapun, beliau menarik balik tuduhan itu dalam akuan bersumpah keduanya pada 3 Julai lalu.

Anak saudara Balasubramaniam, R. Kumaresan membuat laporan polis di Balai Polis Dearah Brickfields pada Sabtu lalu selepas gagal mengesan Balasubramaniam dan keluarganya. Selepas lima hari menghilang, penyiasat persendirian itu buat pertama kalinya menghubungi Kumaresan malam semalam dan memaklumkan beliau dan keluarganya berada dalam keadaan selamat.

1 Pandangan

  1. risyams // July 11, 2008 at 3:24 AM  

    sememangnya PDRM sebuah unit yang cekap...