Mungkinkah Pemilihan UMNO Bersih Daripada Politik Wang?

Nukilan Khairul Faizi bin Ahmad Kamil | 7/08/2008 08:59:00 AM | 0 Pandangan »

Seakan-akan terlupa bahawa sekarang ini adalah musim pemilihan UMNO dan telah pun bermula di peringkat cawangan dan bahagian. Sememangnya, pemilihan UMNO ini menarik kerana beberapa sebab. Pertamanya, UMNO adalah tunjang kepada BN. Keduanya, suasana pemilihan kepimpinan UMNO berlaku seperti mana pilihanraya umum. Tidak ada poster atau kempen rumah ke rumah tetapi pemilihan pucuk pimpinan parti akan menyebabkan kempen membeli undi berlaku.

Setakat keluar duit untuk membeli undi daripada perwakilan sudah menjadi kebiasaan dalam UMNO. Bergolok-gadai untuk memastikan bahawa calon-calon akan menang sudah menjadi kebiasaan. Jatuh-menjatuh dan memburukkan calon juga sudak menjadi kebiasaan.

Sebentar tadi, saya telah membaca berita tentang pemilihan UMNO Bahagian Muar yang disiarkan di dalam berita
Malaysiakini.com. Saya teringat, pernah arwah bapa saudara saya memberitahu ketika beliau bertanding jawatan Ketua UMNO Bahagian Muar sekitar lewat tahun 80-an dulu, beliau yang ketika itu adalah Setiausaha UMNO Bahagian Muar telah mencabar Ketua Bahagian kerana kononnya mendapat sokongan daripada akar umbi.

Namun, beliau telah tewas dalam pemilihan tersebut. Kata arwah, beliau kalah kerana calon yang satu lagi telah menggunakan RM 1 juta semasa berkempen. Saya tidak tahulah berapa jumlah wang yang telah ‘dilaburkan’ oleh arwah bapa saudara saya tetapi itulah realitinya, no money no talk’.

Janganlah berangan untuk menjadi pemimpin di dalam UMNO jika tidak ada wang untuk disuapkan ke mulut perwakilan. Pemimpin UMNO jika tidak beruang (berwang) janganlah cuba-cuba nak calonkan diri bertanding sebagai pemimpin dalam UMNO. Ini kerana, pangkat di dalam UMNO adalah penentu kepada aliran turunnya kuasa dan pengadihan kuasa dan projek.

Bab ini memang UMNO tidak boleh nak elakkan atau tutup mulut. Seluruh dunia tahu UMNO dan Politik Wang (Rasuah) tidak dapat dipisahkan. Buatlah apa sahaja undang-undang dan peraturan, rasuah di dalam UMNO ibarat isi dan kuku. Sebab itulah Mat Ezam Noor bersama dengan prinsipnya kembali semula kepangkuan UMNO kerana UMNO sememangnya lubuk rasuah. Mungkin bagi Mat Ezam, membasmi rasuah lebih mudah jika duduk di dalam UMNO. Kalau diluar, susah untuk mendapatkan bukti, tetapi jika di dalam silap-silap Mat Ezam pun akan dihulurkan sampul surat untuk menyokong pemimpin tertentu. Maka, mudahlah Mat Ezam untuk membawa bukti ini kepada BPR bahawa terdapat kes rasuah di dalam UMNO.

Tapi, tak tahulah, setakat ini Mat Ezam sudah bertemu atau tidak calon-calon UMNO yang hulur-menghulur. Takut-takut, setelah selesai pemilihan UMNO nanti, Mat Ezam akan berkata beliau tidak menemui langsung mana-mana calon-calon di dalam pemilihan UMNO hulur-menghulur. Mat Ezam akan kata UMNO bersih, lebih bersih daripada BERSIH. Mat Ezam pun akan tarik balik semua kenyataannya sebelum ini sama ada ketika beliau sebagai Ketua AMK ataupun sebagai Pengerusi GERAK.Beliau akan membuat kenyataan bahawa UMNO sudah dibersihkan daripada gejala rasuah dan politik wang.

Itu semua andaian sahaja terhadap Mat Ezam, juara membasmi rasuah. Semoga ianya tidak menjadi seperti itu. Mat Ezam perlu membuktikan bahawa beliau masih lagi pemegang tali pinggang kejuaraan heavyweight dalam membasmi rasuah di Malaysia.

Berbalik kepada pemilihan kepimpinan UMNO. Saya percaya, ketika ini di mana-mana bahagian UMNO yang telah ditubuhkan secara sah sedang melobi untuk menentukan siapa yang akan menjadi Ketua Bahagian, Timbalan dan seterusnya ke semua jawatan yang dipertandingkan. Kem-kem sudah dibentuk untuk memastikan bahawa daripada Ketua sehinggalah ke jawatan yang terendah di dalam bahagian mesti dipastikan bahawa calon tersebut adalah calon daripada kem yang sama.

Jika tidak berlaku pertembungan maka legalah perasaan aggota kem tersebut namun bila berlaku pertembungan, sesuatu perlu dilakukan untuk memastikan bahawa calon daripada kem mereka tidak akan tewas nanti.

Begitu juga dengan kepimpinan wanita, pemuda dan puteri, pemilihan kepimpinan sayap ini perlu juga diberkan perhatian. Setidak-tidaknya, ketua-ketua sayap ini mestilah daripada kem yang sama supaya segala urusan selepas pemilihan parti ini akan dapat berjalan dengan lancar.

Pemilihan yang lepas, ramai dikalangan calon yang menang telah diambil tindakan kerana terlibat dalam politik wang termasuk Naib Presiden sendiri terlibat. Pemilihan kali ini lebih hangat keran UMNO berada pada tahap yang lemah seperti lemahnya Pak Lah. Maka, kepimpinan lama mesti ditolak dengan apa jua keadaan. Kita tunggu sajalah nanti, siapa pula selepas ini yang akan menjadi ’mangsa’ kekotoran di dalam pemilihan UMNO.
.
Khairul Faizi Bin Ahmad Kamil
8 Julai 2008, 8.59 pagi
p/s : POLITIK WANG lebih lunak digunakan daripada RASUAH. Penggunaan perkataan RASUAH menampakkan ia satu perbuat yang berdosa tetapi POLITIK WANG lebih kepada salah laku. Sama juga dengan penggunaan perkataan KHINZIR, jika guna perkataan BABI nampak kenajisannya tetapi bila sebut KHINZIR nampak seperti arnab sahaja. Sebab itu KJ tak rasa apa-apa bila sebut Projek KHINZIR Raksasa tetapi naik angin bila Haji Mahfuz kata Projek BABI Negara.

0 Pandangan