Apabila Hati Sudah Terguris...

Nukilan Khairul Faizi bin Ahmad Kamil | 7/21/2008 11:26:00 PM | 0 Pandangan »

Saya pasti, banyak hati yang terguris dengan apa yang berlaku sejak petang semalam. Bermula dengan pendedahan Pak Lah bahawa terdapat pimpinan PAS yang datang bertemu dengan beliau untuk tujuan muzakarah, kenyataan Presiden PAS pada tengah malam semalam yang mengakui bahawa telah ada pertemuan yang dibuat untuk bertemu dengan Pak Lah dan kenyataan Tuan Guru Mursyidul Am PAS yang minta muzakarah ini dihentikan segera.
.
Apabila Pak Lah menyebut bahawa telah berlakunya perbincangan ataupun muzakarah di antara beliau dengan beberapa pimpinan tertinggi PAS yang tidak melibatkan TG Nik Aziz, ramai yang tertanya-tanya apakah sebenarnya yang telah berlaku. Ada seorang kawan memberitahu saya bahawa tidak mungkin Pak Lah sanggup berbohong dengan kenyataan ini kerana ia telah disiarkan kepada ramai. Saya telah menyatakan kepadanya bahawa tidak perlu percaya bahawa ada pertemuan rasmi dibuat kerana kalau ada pun ia adalah pertemuan tidak rasmi dan melibatkan individu tertentu yang sudah pastinya tidak melibatkan Pak Lah.
.
Kemudian, saya telah membaca kenyataan rasmi daripada Presiden PAS bahawa memang wujud pertemuan yang dimaksudkan oleh Pak Lah dan TG Haji Hadi telah menyenaraikan nama-nama yang telah bertemu dengan Pak Lah untuk mengadakan perbincangan.
.
Secara jujurnya, saya terkejut dengan kenyataan Presiden PAS ini. Saya tidak terfikir sehingga pertemuan tersebut melibatkan Pak Lah sendiri. Saya memang terdengar bahawa ada pertemuan yang melibatkan individu tertentu di dalam PAS yang dibuat secara tidak formal di Parlimen dan di mana-mana lokasi tetapi ia tidaklah sampai dianggap satu pertemuan yang rasmi.
.
Saya telah pun membuat satu komentar terhadap isu muzakarah PAS dan UMNO. Secara umumnya, saya konsisten menyatakan bahawa saya tidak menolak hasrat untuk diadakan muzakarah tersebut demi kebaikan Islam. Saya cukup yakin bahawa sekiranya muzakarah ini diadakan secara ‘ live’ dengan membincangkan masa depan agama dan masa depan Melayu maka ahli UMNO akan mengambil keputusan untuk keluar daripada UMNO dan menyertai PAS.
.
Saya menyokong muzakarah yang tulen, tanpa membelakangkan pimpinan Pakatan Rakyat dan seluruh penyokong PAS. Saya percaya juga bahawa ahli PAS tidaklah bimbang sangat jika muzakarah tersebut diadakan dalam keadaan ia memberikan manfaat kepada ummah.
.
Namun, muzakarah yang diharapkan tidak begitu menjadi kerana telah ada beberapa pertemuan yang dibuat sebelum ini yang telah menimbulkan rasa curiga rakyat secara keseluruhannya.
.
Seorang jawatankuasa Kelab Penyokong PAS Negeri Perak yang saya temui pada hari Sabtu yang lalu telah menanyakan soalan kepada saya, kenapa PAS perlu mengadakan pertemuan dengan UMNO? Sedangkan, UMNO adalah sebuah parti yang nazak dan tidak membela semua kaum. Bayangkan, itu adalah lontaran yang dibuat oleh ahli kelab penyokong. Bagaimana pula dengan pandangan daripada ahli dan penyokong diperingkat bawah?
.
Saya yakin bahawa ramai yang terguris dengan pendedahan TG Haji Hadi Awang yang mengiakan pertemuan tersebut terjadi. Saya yakin begitu kerana saya juga yang terguris dengan kenyataan ini. Saya bukan terguris dengan TG Haji Hadi tetapi terguris kerana sememangnya telah ada pertemuan dibuat sebelum ini.
.
Bukan mudah untuk menjawab perkara ini kerana sebelum ini rata-rata pimpinan PAS menafikan bahawa terdapat pertemuan yang diwar-warkan di dalam masyarakat.
.
Suara kurang enak sudah mula kedengaran di peringkat bawah. Ketidakpuasan hati, rasa tertipu, kecewa dan sebagainya sudah tidak lekang daripada bibir penyokong PAS. Mereka telah terguris dengan apa yang berlaku.
.
Khairul Faizi Bin Ahmad Kamil
22 Julai 2008, 1.01 pagi

0 Pandangan