Syabas Kerajaan Selangor, Tahniah Rakyat Selangor

Nukilan Khairul Faizi bin Ahmad Kamil | 6/11/2008 06:37:00 PM | 0 Pandangan »

Syabas dan tahniah saya ucapkan kepada kerajaan dan rakyat Selangor.


Kerajaan Selangor yang dipimpin oleh Pakatan Rakyat telah berjaya menunaikan janji untuk memberikan air secara percuma kepada rakyat tidak kiralah sama ada ketika pilihanraya umum yang lalu mereka telah mengundi PR ataupun BN.

Tidak perlu menunjukkan kad keahlian parti kepada SYABAS untuk membuktikan bahawa pengguna adalah ahli PKR, PAS atau DAP untuk mendapatkan air percuma ini, ataupun perlu menyorokkan identiti bahawa pengguna adalah ahli UMNO/BN kerana kerajaan PR tidak akan menindas mana-mana golongan dalam kerajaan yang dipimpinnya.

Jangan lupa, yang mendapat air percuma ini termasuklah YB Dr Khir Toyo, Ketua Pembangkang dan mantan MB Selangor. Saya yakin beliau juga tidak dikecualikan daripada menikmati air percuma ini.

Ucapan tahniah ini juga saya tujukan kepada rakyat Selangor yang berani membuat perubahan untuk menikmati kehidupan yang lebih selesa dengan kebajikan rakyat diperlihara. Sebagai manusia, sememangnya kita perlukan kehidupan yang lebih bermakna dengan segala bentuk kemudahan.

Setidak-tidaknya, rakyat Selangor dapat menarik nafas lega walaupun masih sesak lagi nafasnya kesan daripada kenaikan harga minyak baru-baru ini. Nasib rakyat di Selangor lebih baik daripada rakyat dinegeri yang lain yang masih ditadbir oleh BN.

Kami di Johor Darul Takzim ini yang uri UMNO pun ditanam di sini tidak dapat menikmati air percuma seperti rakyat di Selangor. Kerajaan Johor bukannya tidak ada bekalan air yang banyak ataupun kerajaan yang miskin tetapi untuk membincangkan dalam sidang DUN Johor bagaimana untuk kerajaan negeri memberikan air percuma tidak pernah dibincangkan.

Mana tidaknya, air yang ada dijual kepada Singapura yang baru mendapatkan hak pulau Pedra Branca (Pulau Batu Putih) baru-baru ini dengan harga 3 sen 1000 liter. Sudahlah rugi air semurah itu dijual kepada Singapura, inikan lagi nak berikan air kepada rakyat Johor.

Tak apa, tak apa...PAS ada dua ADUN dan DAP ada 4 ADUN di Johor. Saya akan minta YB Dr Mohamad Taslim dan YB Dr Sheikh Ibrahim dan YB Eng Lam Hwu (DAP - Mengkibol) untuk membwa perkara ini dalam sidang DUN Johor yang akan bermula pada 19 Jun 2008 yang akan datang.

Kami di Johor pun mahukan air PERCUMA!

Khairul Faizi Bin Ahmad Kamil
11 Jun 2008, 7.02 malam

-----------------------------------------------
S'gor dapat air percuma, akhirnya - Malaysiakini
Muda Mohd Noor Jun 11, 08 5:31pm

Kira-kira sejuta penduduk Selangor akan mendapat bekalan air percuma, seperti dijanjikan, mulai 1 Jun selepas kerajaan negeri menyelesaikan rundingan dengan Syarikat Bekalan Air Selangor (Syabas) pagi ini.

Manifesto Pakatan Rakyat untuk memberikan 20 meter padu air secara percuma - atau potongan RM11.40 - akan diteruskan kepada pengguna domestik bermeter individu, demikian diumumkan oleh menteri besar.

Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim berkata beliau telah berjaya mencapai persetujuan tersebut dengan ketua pegawai eksekuif Syabas, Datuk Ruslan Hassan dan presiden Kumpulan Darul Ehsan Bhd (KDEB), Datuk Abd Karim Munisar.

Syabas kelmarin menolak permintaan kerajaan negeri untuk berbuat demikian, termasuk selepas berunding dengan KDEB, sebuah syarikat milik kerajaan Selangor yang terlibat dengan syarikat pengurusan air tersebut.

Ruslan berkata Syabas tidak bersetuju dengan kandungan surat akujanji bersyarat KDEB yang ditandatangani pada 6 Jun lalu dan dihantar kepada syarikat itu pagi Isnin.

Ruslan berkata cadangan KDEB secara langsung menjejaskan aliran tunai Syabas dan boleh menjejaskan operasi syarikat itu.

Abdul Khalid berkata bil air yang mengandungi potongan itu akan diterima mulai 15 Jun ini, manakala pengguna yang telah mendapat bil lama sebelum tarikh tersebut akan menerima potongan yang sama dalam bil bulan depan.

0 Pandangan