Sekalung ucapan tahniah buat Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat yang baru, Dr Ng Yen Yen kerana mewujudkan aktiviti baru untuk Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) iaitu Program Mencari.
Mengikut berita yang saya baca daripada ruangan Berita Harian Online pada hari ini, JKM bukan lagi menunggu rakyat yang susah untuk datang ke JKM mengadu masalah tetapi JKM sendiri akan 'turun padang' mengenal pasti golongan yang sepatutnya mendapatkan bantuan daripada kerajaan.

Saya melihat baru pendekatan baru ini adalah sesuatu yang sememangnya perlu dilakukan oleh JKM kerana ia adalah tugas kerajaan untuk membantu mereka yang memerlukan bantuan.

Selama ini, pegawai JKM lebih banyak menunggu aduan daripada masyarakat yang perlu tampil ke pejabat JKM yang berdekatan bagi memohon bantuan. Bayangkan, sekiranya masyarakat yang tinggal jauh di pedalaman yang hidupnya susah, sudah tentu ia adalah satu penyeksaan kepada mereka.

Saya berpandangan, JKM bukan sahaja perlu bekerjasama dengan NGO, ketua-ketua kampung dan pemimpin masyarakat sahaja untuk merealisasikan matlamat ini tercapai tetapi jaringan kepada parti politik sama ada parti daripada Pakatan Rakyat atau Barisan Nasional perlu diwujudkan untuk memudahkan urusan pengaduan dilaksanakan.

Sebagai contoh, PAS di negeri Johor telah mula menubuhkan Pusat Aduan Rakyat di peringkat DUN di seluruh negeri, sudah tentu dengan kerjasama JKM dengan PAR ini akan memudahkan lagi kerajaan untuk mendapatkan maklumat orang susah dan seterusnya memberikan bantuan kepada mereka.

Nasihat saya kepada Dr Ng Yen Yen, pendekatan baru yang cuba beliau lakukan sebagai Menteri Pembangunan Wanita, Kelarga dan Masyarakat yang baru, jangan ada kekangan dan halangan terhadap mana-mana individu yang dikira layak untuk menerima bantuan dan hak mereka hanya kerana mereka tidak menyokong parti pemerintah. Kerana masyarakat yang susah ini bukannya ahli UMNO/MCA/MIC atau mana-mana ahli komponen BN maka mereka dinafikan hak untuk mendapat bantuan. Jika perkara ini berlaku maka tiada ertinya transformasi kebajikan yang cuba dilaksanakan dalam JKM.

Saya yakin dan percaya pimpinan PAS tidak mempunyai masalah untuk bekerjasama dengan JKM dalam melaksanakan hasrat ini kerana sememangnya matlamat PAS adalah melaksanakan Negara Berkebajikan seperti mana yang telah dinyatakan dalam manifesto pilihanraya umum ke 12 yang lalu.

Khairul Faizi Bin Ahmad Kamil
Exco Dewan Pemuda PAS Pusat
1 Jun 2008, 8.05 pagi

---------------------------------------------

JKM lancar program cari orang susah - Berita Harian Online
Oleh Rohaniza Idris dan Siti Nur Almizan Aripin

KUALA LUMPUR: Kini orang susah akan dicari, bukan lagi mereka mencari Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) untuk mendapat bantuan berikutan pelaksanaan Program Cari oleh Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat mulai hari ini.
.
Menterinya, Datuk Dr Ng Yen Yen, berkata menerusi program berkenaan pegawai JKM akan turun padang mencari dan mengenal pasti mereka yang memerlukan bantuan tanpa menunggu permohonan mereka.
.
Katanya, langkah itu selaras usaha kementerian untuk melakukan transformasi kebajikan dan memperluaskan perkhidmatan kebajikan (kebajikan produktif) ke seluruh negara.

“Saya akan pastikan ada kesedaran dan kerjasama pemimpin masyarakat. Saya mahu mereka cari kakitangan kebajikan yang ada di seluruh negara dan daftarkan orang yang layak mendapat bantuan.

“Kementerian kita tidak boleh bergerak sendirian, pegawai kita memang tidak cukup... kita hanya ada 5,700 kakitangan saja. Jadi saya rayu pemimpin masyarakat, ketua kampung, jiran tetangga dan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) menyalurkan maklumat orang yang memerlukan bantuan ini,” katanya kepada Berita Minggu.

Dr Ng berkata, menerusi program itu, mereka yang memerlukan bantuan akan dapat dibantu dan tidak timbul lagi paparan dalam media mengenai penderitaan kerana kemiskinan.

Katanya, ketika ini, apabila ada paparan media mengenai kesusahan orang, JKM sentiasa dipersalahkan sedangkan mereka tidak mengetahui ada kes seumpama itu.

“Dalam sesetengah kes, orang miskin ini tidak memohon atau menampilkan diri. Ada yang malu meminta bantuan dan sesetengahnya berpindah randah kerana malu dengan kemiskinan mereka sehingga sukar kita mengesan kumpulan ini,” katanya.

0 Pandangan