Harga Petrol & Diesel Bakal Naik Lagi?

Nukilan Khairul Faizi bin Ahmad Kamil | 6/03/2008 08:09:00 AM | 0 Pandangan »

Harga baru petrol Ogos - Berita Harian Online
Oleh Azman Zakaria, Anwar Hussin, Kamarulzaidi Kamis, Sazarina Shahrim dan Norliza Wasilan

.
KUALA LUMPUR: Pengguna mungkin terpaksa membayar lebih bagi petrol dan diesel mulai Ogos ini jika Jawatankuasa Kabinet Menangani Inflasi yang bermesyuarat hari ini memuktamadkan pelbagai cadangan bagi penstrukturan semula skim subsidi bahan api berkenaan.
.
Ketika membayangkan perkara itu, Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna, Datuk Shahrir Abdul Samad, berkata penstrukturan mekanisme baru skim subsidi bahan api itu sudah dikemukakan kepada Kementerian Kewangan dan akan diputuskan Jawatankuasa Kabinet Menangani Inflasi.
.
“Ia akan berlaku dan mungkin pada Ogos ini. Kita akan menggunakan masa dua bulan ini untuk melakukan kajian terperinci bagi penstrukturan semula skim subsidi," katanya pada sidang media di lobi Parlimen di sini, semalam.

Bagaimanapun, Perdana Menteri, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi yang diminta mengulas kenyataan Shahrir itu berkata, keputusan muktamad mengenai perkara berkaitan subsidi bahan api akan diumumkan esok.

Bercakap kepada pemberita selepas mempengerusikan mesyuarat kelapan Majlis Pembangunan Perusahaan Kecil dan Sederhana Kebangsaan di Bank Negara Malaysia petang semalam, Abdullah berkata Jawatankuasa Kabinet Menangani Inflasi akan bermesyuarat hari ini bagi memuktamadkan pelbagai cadangan untuk pertimbangan akhir mesyuarat jemaah menteri.

“Kita mahu memastikan apa juga keputusan yang akan dibuat adalah terbaik untuk rakyat,” katanya.

Beliau berkata, kerajaan juga mahu langkah yang akan diumumkan itu nanti berkuat kuasa serta-merta bagi mengelak spekulasi.

Abdullah yang juga Menteri Kewangan berkata, pengumuman itu sepatutnya dibuat Jumaat lalu, tetapi tidak dapat dilakukan berikutan beberapa menteri tidak dapat menghadiri mesyuarat Kabinet kerana menghadiri persidangan di luar negara.

Mengenai kenyataan Shahrir yang membayangkan harga petrol dan diesel akan naik mulai Ogos ini, Perdana Menteri berkata:

“Dia (Shahrir) kata ia satu kemungkinan. Apapun keputusan muktamad berkaitan subsidi dan minyak akan diumum Rabu ini (esok),” katanya.


Abdullah juga enggan mengulas ketika ditanya sama ada penguatkuasaan serta-merta keputusan yang akan diumum esok akan turut membabitkan kenaikan harga minyak. “Tak usah tanya semua itu, anda tunggulah... cuma tinggal sehari saja lagi (untuk pengumuman),” katanya.

Sebelum itu, Shahrir menjelaskan walaupun harga petrol dan diesel naik, subsidi minyak masih tetap dinikmati rakyat. Beliau juga memberi jaminan kenaikan itu tidak akan menjejaskan rakyat kerana penstrukturan semula skim subsidi dilakukan bagi menegakkan prinsip kesaksamaan dan keadilan.

“Skim subsidi baru ini adalah berdasarkan keperluan dan bukannya penggunaan. Pada hari ini, tiada sekatan kepada subsidi yang kita peroleh kerana ia berasaskan kepada penggunaan. Kalau kita menggunakan 200 liter sebulan pun, kita akan mendapat subsidi bagi setiap liter yang kita beli.

"Ia bermakna ia satu sistem subsidi yang tidak menjurus kepada penyelesaian masalah. Sepatutnya subsidi itu diberi kepada kumpulan yang memerlukan pertolongan," katanya.

Beliau berkata, penstrukturan semula itu adalah antara pendekatan kerajaan dalam menangani peningkatan beban tanggungan subsidi berikutan kenaikan harga minyak dunia.

Harga minyak dunia meningkat secara mendadak sehingga mencecah lebih AS$130 setong ketika ini. Shahrir berkata, subsidi yang ditanggung kerajaan untuk petrol, diesel dan LPG tahun ini dijangka mencecah RM56 bilion, berbanding RM37.4 bilion pada 2000 hingga tahun lalu.

Mengenai larangan penjualan petrol dan diesel kepada kenderaan asing di stesen minyak yang beroperasi dalam lingkungan 50 kilometer dari sempadan, beliau berkata ia hanya langkah sementara.

Katanya, larangan itu mungkin ditarik balik selepas sistem pengurusan subsidi bahan api yang sesuai diputuskan Jawatankuasa Kabinet Menangani Inflasi pada Ogos ini.

Beliau berkata, kerajaan bertindak demikian untuk mengurangkan ketirisan subsidi yang membabitkan kos tinggi dan seharusnya dinikmati rakyat negara ini, khususnya golongan berpendapatan rendah.

"Larangan penjualan itu sudah berkuat kuasa di sempadan Malaysia-Thailand mulai hari ini, manakala sempadan dengan Singapura pada 9 Jun," katanya sambil menambah larangan itu tidak membabitkan motosikal.

Shahrir mengakui menerima laporan bahawa beberapa kegiatan perniagaan rakyat tempatan di sempadan terjejas berikutan larangan itu, tetapi menegaskan kerajaan tetap melaksanakannya demi kebaikan semua pihak, terutama untuk mengurangkan penyaluran subsidi kepada mereka yang tidak berkaitan.

Larangan itu membabitkan semua stesen minyak dalam lingkungan 30 hingga 50 kilometer di sempadan Malaysia-Thailand meliputi Perlis, Kedah, utara Perak dan Kelantan serta Malaysia-Singapura, iaitu di beberapa daerah di Johor termasuk Kulai dan Johor Bahru.

Harga petrol di negara ini hanya RM1.92 seliter dan diesel (RM1.58), berbanding di Thailand RM4 seliter bagi petrol dan diesel RM3.50 seliter, Indonesia (RM2.57), Filipina (RM3.45), Singapura (RM5.07) dan United Kingdom (RM7.03).

0 Pandangan