Sejak beberapa minggu yang lalu, saya sering mengikuti kenyataan yang dikeluarkan oleh Datuk Noraini Ahmad, Timbalan Menteri Sumber Manusia yang akan meninggalkan jawatan sebagai Ketua Puteri tidak berapa lama lagi.
Ketua Puteri UMNO kedua selepas Datuk Azalina Othman ini saya dapati agak lemah dalam menyampaikan maklumat dan dilihat secara rambang sahaja membuat kenyataan.
Sebelum ini ahli Parlimen Parit Sulong ini telah menegah kakitangan awam daripada membuat kerja sambilan kerana ia adalah bertentangan dengan perjanjian dengan JPA. Saya membuat teguran kepada beliau melalui blog ini agar lebih mengambil tindakan yang proaktif untuk berbincang dengan JPA agar kelonggoran diberikan kepada kakitangan awam ini kerana desakan ekonomi semakin mencengkam kehidupan mereka.
Beberapa hari selepas daripada itu, Datuk Noraini mengumumkan pula bahawa kakitangan awam boleh menjalankan kerja sambilan ataupun part time job setelah Menteri Sumber Manusia melonggarkan syarat tersebut, mungkin selepas mengadakan perbincangan dengan JPA.
Yang terbaru, Datuk Noraini cuba merendahkan martabat mahasiswa dengan menyatakan bahawa terdapat graduan yang tidak mengetahui apa itu 'resume'. Saya bersetuju dengan tindakan beliau untuk mengadakan panduan untuk menyediakan resume dan ia adalah satu tindakan yang sangat baik walaupun sebenarnya jika kita menggunakan enjin pencarian google.com, kita akan bertemu dengan 243,000,000 laman yang menyediakan ruangan bagaimana untuk menyediakan resume ini.
Diharap mahasiswa dapat membuat komentar terhadap kenyataan Datuk Noraini ini sama ada mereka bersetuju ataupun tidak dengan kenyataan ini.
Khairul Faizi Bin Ahmad Kamil
24 Jun 2008, 9.33 pagi
------------------------------------------
Siswazah tak tahu ‘resume’ - Harian Metro Online
BATU PAHAT: Kurang pengetahuan menyediakan ‘resume’ ketika memohon pekerjaan dikenal pasti antara kelemahan utama menyebabkan siswazah gagal mendapat pekerjaan sesuai dengan kelayakan mereka.
Malah lebih teruk lagi, ada di kalangan graduan di luar negara bukan saja tidak mengetahui maklumat yang perlu diisi, malah tidak mengetahui apa sebenarnya ‘resume’.
Timbalan Menteri Sumber Manusia, Datuk Noraini Ahmad, berkata beliau sendiri melalui pengalaman itu ketika bertemu beberapa graduan tahun akhir di sebuah universiti luar negara, beberapa tahun lalu.
“Ketika itu, saya bersama rakan dalam pertubuhan bukan kerajaan (NGO) berjumpa pelajar tahun akhir di luar negara dan kami mengadakan taklimat mengajar mereka bagaimana cara menyediakan ‘resume’.
“Amat menyedihkan apabila kita tanya, ada antara mereka yang tidak memahami apa itu ‘resume’ dan inilah kelemahan yang harus kita atasi,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Perasmian Hari Terbuka dan Karnival Pekerjaan di Pusat Latihan Teknologi Tinggi (ADTEC), di sini, semalam.
Sehubungan itu, Noraini berkata, panduan mengenai cara penyediaan ‘resume’ yang betul menjadi keutamaan pihaknya dalam setiap karnival pekerjaan yang diadakan di seluruh negara.
“Selain itu, kita mahu pencari pekerja lebih banyak membaca akhbar untuk menambah ilmu pengetahuan am mereka kerana pernah juga berlaku, ada yang tidak tahu nama pemimpin negara ketika ditanya penemuduga,” katanya.
hmmm...dari kaca mata saya mahasiswa bukan tidak tahu apa itu resume, tetapi mereka kurang tahu bagaimana mencantikkan resume. inilah penilaian saya sebagai pengedit resume.
Terima kasih atas pandangan anda, hidayah!
jangan terlalu menitikberatkan "resume" dunia, berikan juga kesempatan kepada diri untuk mempercantikkan "resume" akhirat.